Hari ini aku memilih pakaian yang paling istimewa. Kemeja Baleno berpetak-petak kuning air yang dihadiahkan oleh Umi sempena harijadiku beberapa minggu lalu dan seluar panjang John Master berwarna coklat cerah. Sambil menuruni tangga aku menyanyi-nyanyi lagu Senandung Nak Dara nyanyian seniman lama S. Effendy.
"Hai, lawa Abang Long hari ni," tegur adikku Zahariah, "Abang Long nak pi mana?"
"Nak pi Tanjung Juara, ada assignment sekolah."
"Ini mesti pi rumah Kak Long. Wan nak ikut sama!" ujar Zakuan.
Dia memang suka berkunjung ke Tanjung Juara kerana terdapat sebuah gerai yang menjual laksa yang sedap menjadi kegemarannya.
"Boleh, tapi sampai petang baru balik. Dah siap kerja sekolah ka?" Aku mengacah kerana aku tahu semalam dia merungut kerana banyak kerja sekolah yang belum habis dibuatnya. Besok pula dah nak sekolah.
"Abang Long, boleh bungkus bawak balik dak?" dia bertanya dengan lemah lembut sambil mengekoriku ke ruang makan.
"Tarak kick la makan laksa bungkus."
"Eleh, malas cakap malas, malu cakap malu, takut jatuh kelas, ataupun saja tak mau" dia menyindir.
Sesekali perkataan yang diluahkannya tidak setara dengan umurnya yang baru lapan tahun itu. Kami sekeluarga mengggelarnya senduk tambah kerana selain dari patah perkataan yang selalu disebut, ada saja ilhamnya menokok-tambah. Umi yang membawa teko kopi tersenyum dengan komen tersebut.
"Ya ada duit ka?" tanya Umi sambil menuang kopi ke cawanku.
"Ada." jawabku ringkas sambil menyuap bihun goreng.
Aku terpaksa keluar awal kerana perjalanan dari Sg Petani ke Tanjung Juara memakan masa setengah jam. Tetapi jadual perjalanan basnya pula satu jam sekali. Jika aku terlepas bas jam 8.30 nanti aku terpaksa menunggu lama sedangkan temujanjiku dengan Uncle Neoh ialah pada jam 9.30. Aku berjalan dengan laju sambil menggalas beg kecil menuju stesen bas. Aku membeli The Star untuk bacaan di atas bas nanti.
Tepat pada masanya, bas bergerak menuju destinasi. Penumpangnya tidaklah ramai, tidak sampai separuh. Aku duduk hampir di belakang bas, penumpang yang terakhir. Pemandangan di sepanjang perjalanan tidaklah menarik sangat, hanya kebun getah dan dusun sahaja di kiri kanan jalan. Hanya sekali sekala bas melewati perkampungan, berhenti untuk menurun dan mengambil penumpang.
Aku mengeluarkan buku nota dan menyemak semula soalan-soalan yang sudah aku catat semalam. Aku tahu bahawa setiap soalan yang akan aku ajukan nanti mestilah bernas dan tepat dengan kehendak maklumat yang perlu aku kumpulkan. Dan juga bukannya mudah untuk aku bertemu kembali dengan Uncle Neoh kerana jarang benar dia mempunyai masa lapang. Tetapi apa yang mustahak sekali ialah untuk memberi impression yang baik bagi diriku. Semoga beliau tertarik dengan tahap kematangan dan tingkah lakuku. Maklumlah bukan mudah untuk mendapat endorsement dari seseorang, lebih lagi dari seorang dari lain keturunan. Pada aku ini semua amatlah mustahak. Bukanlah untuk Uncle Neoh menerima aku sebagai kekasih anaknya, tetapi buat masa ini cukup sebagai seorang yang berwibawa dan boleh diterima dan dipercaya untuk menjadi kawan atau sahabat kepada anaknya.
Aku tahu persahabatan aku dengan Cathy tiada masalah, tetapi sekiranya melebihi dari tahap itu pasti akan menghadapi berbagai cabaran. Maklumlah aku beragama Islam manakala Cathy pula beragama Kristian. Selain dari pandangan keluarga masing-masing, entah apa pula komen masyarakat di sekeliling, terutamanya di sekolah. Dan tentu sekali cabaran yang paling hebat adalah bagi diri kami sendiri sebagai seorang individu. Bolehkah aku menerimanya sebagai seorang kekasih, isteri dan ibu kepada anak-anakku sedangkan sebelum ini segala latar belakang dan pendidikan kerohaniannya bersimpang jauh dari pegangan hidupku. Bolehkah dia menerimaku pula sebagai seorang kekasih, suami dan bapa kepada anak-anaknya. Sanggupkah dia korbankan segala apa yang dimilikinya, dilaluinya, dipelajarinya, dan dianutinya selama ini semata-mata untuk memilikiku. Sanggupkah aku memberi pulangan yang setimpal kepadanya atas segala pengorbanannya itu. Sememangnya tidak berdaya untuk aku gambarkan sejelasnya apa yang akan kami berdua hadapi dimasa hadapan. Tetapi apa yang aku pasti dimasa ini ialah tiada gadis lain yang berjaya menambat hatiku selain dari Cathy. Mungkin kerana ini ialah cinta pertama, cinta monyet ataupun puppy love, tetapi padaku cinta inilah sepatutnya dikekalkan hingga ke akhir hayat. Satu cinta yang mutakhir. Satu cinta agung yang abadi.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomanceRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.