Terasa berat benar beg Cathy. Entah apa yang dibawanya aku pun tak tahu. Mujur juga aku tidak perlu memanjat tangga. Jika tidak pasti tercabut kedua belah tanganku ini. Aku perhatikan Cathy menyandang beg aku dengan mudah sahaja, seolah-olah kosong sahaja. Lif yang kami naiki itu bergerak laju dan berhenti di tingkat 9. Cathy yang biasa di sini terus menuju ke pintu apartmen abangnya - 910. Setelah puas dia menekan butang di pintu itu, dia mencari kunci di dalam tas tangannya. Aku hanya menggalas beg berat tadi dan terus masuk ke ruang tamu. Aku menghenyakkan ponggongku ke atas sofa putih tanpa berkata-kata. Aku dah tak peduli, penat betul membawa beg tadi dari porch ke lobi ke lif dan dari lif ke ruang tamu ini. Mujur juga sebelum ini Pak Mat yang mengangkat hingga ke dalam bas.
Kehadiranku di sini atas jemputan Nicky sendiri, itu pun kerana dicabar oleh Cathy. Bila dia mendengar yang Cathy, aku dan rakan-rakan sekelas akan membuat lawatan sekitar Pulau Pinang, dia ketawa besar. Membuang masa dan tenaga sahaja jika mengikuti rombongan, lainlah jika dia yang menjadi pemandu pelancongnya, katanya. Cathy naik geram dengan cakap besarnya itu, mencabar Nicky untuk menunjukkan kelebihan yang ada pada dirinya yang lebih baik dan istimewa dari pemandu pelancong lain. Aku yang turut berada sama-sama pada hari Sabtu itu dijemput sebagai hakim. Satu hari bersama rombongan sekolah kami dan satu hari lagi bersama Nicky. Kebetulan pula ketika ini cuti sekolah, Uncle dan Auntie cuma tersenyum sahaja.
Cathy mengangkat gagang telefon dan mendail.
"Hello!, Nicky? Where are you?...Yes... I'm in your apartment right now... No. Ok... Ok. I'll call Papa after this. See you tomorrow. Bye bye." Kata Cathy terus meletakkan gagang.
Aku tahu bahawa abangnya tiada pada malam ini. Bagaimana dengan perancangan kami? Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 malam. Kami harus mengatur rancangan baru. Cathy menutup pintu dan duduk di sebelahku. Dia memegang dan meramas-ramas tanganku.
"Abang I ada di KL sekarang ini. Besok pagi baru dia balik."
"So?"
"I'll call Papa. I'll ask his opinion."
Aku hanya mengangguk sahaja. Cathy mengangkat telefon dari sebelahnya dan meletakkannya di atas ribaannya. Dia terus mendail.
"Hello... Mama, Papa ada?"
"Papa tak ada, dia pergi Alor Setar." Aku terdengar mamanya bercakap kerana gagang telefon itu berada hampir dengan telingaku.
Cathy kemudian bercakap panjang dengan Mamanya dalam dialek Kantonis. Aku hanya faham sedikit-sedikit. Yang pastinya dia ada menyebut namaku dan toilet. Aku hanya diam membisu, faham akan keadaan semasa. Cathy mendengar sahaja Mamanya bercakap untuk seketika sambil mengangguk-angguk.
"Ok Mama, I love you. Bye bye." Dia menamatkan perbualan itu.
"Zek," Cathy memulakan terjemahannya. "I dah bagitau Mama keadaan kita. Nicky akan balik pagi besok. Malam ini hanya kita berdua di apartmen ini. Mama bagi lampu hijau dengan syarat I kena pandai jaga diri. Dia dan Papa percaya dan mengharapkan you juga untuk menjaga I. Jangan harapkan pagar, pagar makan padi sudahlah."
"I tak tau lah Cathy, pagar makan padi atau padi makan pagar. Tapi yang I tau, perut I ni dah lapar."
Tepat jam 8.00, selepas mandi dan bersalin pakaian, kami turun. Awal-awal lagi Cathy sudah memberitahu bahawa pasembur di gerai nombor 2 sedap. Aku pun minat juga pasembur. Tetapi kami berjalan terus menyusuri Padang Kota Baru. Suasana di sini agak tenang, mungkin juga kerana di pertengahan bulan. Gerai-gerai makanan yang beraneka jenis dan rasa itu juga agak lengang dengan pelanggan. Sambil menikmati suasana tepi pantai dengan angin yang menghembus perlahan-lahan itu, kami menjenguk-jenguk juga jenis masakan yang ingin dinikmati malam ini, selain dari pasembur itu.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomanceRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.