Persahabatan aku dengan Cathy semakin erat. Kegiatan badminton yang kami sama-sama terlibat memberi banyak ketika untuk bersama. Walaupun jarang kami dapat berdua-duaan, padaku itu sudah mencukupi. Aku tidak banyak mengharap untuk memilikinya. Perbualan mengenai latar belakang antara kami berdua membuatkan aku tidak berani berangan tinggi. Mendapat Cathy sebagai seorang sahabat pun sudah merupakan satu rahmat yang besar bagi diriku.
Peperiksaan SPM akan yang kami hadapi di pengunjung tahun sedikit sebanyak mengurangkan sedikit pemujaan aku kepadanya. Sungguhpun kami masih dalam satu kelas, bersama mengikuti kelas-kelas tambahan di waktu petang, sama-sama terus bergiat dalam badminton, tetapi perbualan dan perbincangan kami lebih tertumpu mengenai pelajaran. Masing-masing mengatur strategi untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Pernah juga sekali sekala aku ingin menunjukkan kehandalanku dalam pelajaran semata-mata untuk memikat Cathy, tetapi aku akui ianya lebih kepada khayalan. Tekad dan azamku lebih banyak tertumpu kepada kejayaan untuk keluarga, terutama untuk Umi yang sering sakit dan adik-adikku.
Bagiku kini Cathy sebagai ilham dan pendorong untuk mencapai sesuatu keputusan yang terbaik, tidak lagi sebagai bahan pemujaan dan modal pelepas nafsuku. Sama ada aku dapat memilikinya atau tidak, itu lain bicara. Daripada pergaulanku dengannya aku dapat membuat tanggapan bahawa dia memang suka denganku, mungkin hanya kami tidak pernah membincangkan mengenai perasaan hati. Aku pun tidak kisah sangat kerana bukan itu yang menjadi keutamaanku pada masa ini.
Sesekali bila aku membandingkan pencapaian akademik aku dan dia, aku yakin dia juga berupaya untuk melangkah ke Tingkatan Enam. Memang itu yang aku harapkan agar persahabatan kami akan dapat diteruskan dan mungkin juga dapat melahirkan bibit-bibit cinta seperti yang aku impi-impikan.
Awal-awal lagi aku sudah bertekad untuk mendapat keputusan yang cemerlang, tetapi tidak akan membuat sebarang permohonan untuk membuat matrikulasi atau melanjutkan pelajaran ke ITM. Biarlah aku berada di sini sahaja hingga tamat Tingkatan Enam, berada bersama Umi, dan juga mungkin bersama Cathy. Aku tahu Walid dan Umi pasti membangkang keputusan aku ini, tetapi aku tahu mereka tidak akan menghampakan permintaan aku. Semasa SRP dulu pun akhirnya mereka terpaksa akur dengan kehendakku dan aku percaya kali ini pun mereka tidak keberatan. Sebagai balasan, aku perlu menghadiahkan kepada mereka satu keputusan yang cemerlang sebagai penawar.
Sebagai salah seorang pelajar terbaik di sekolah, aku telah diberi kepercayaan untuk memimpin satu kumpulan rakan-rakanku dalam study group, tetapi malangnya tidak termasuk Cathy. Aku kecewa juga kerana tidak dapat bersamanya, namun aku teruskan tanggungjawab itu sedaya upaya. Selain sebagai satu sumbangan kepada sekolah dan rakan-rakan, ianya juga berguna dalam persediaanku sendiri. Aku terpaksa belajar dua kali ganda untuk satu tujuan yang sama. Ini membuatkan aku mendapat lebih pemahaman, terutama dalam menghadapi soalan-soalan yang kadangkala memeningkan dari rakan sekumpulan.
Aku dengan Cathy selalu juga berbual, terutama di awal pagi. Aku lihat dia juga berkeyakinan untuk lulus dan menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam.
"Cathy, I nak cabar you. Kita lawan siapa yang dapat best result."
"Kalau I menang?"
"I akan cakap banyak-banyak masa kita sembang macam ni tahun depan." Aku tahu dia selalu mengatakan yang aku ini seorang yang pendiam.
"Kalau you menang?"
"You kena sembang dengan I banyak-banyak tahun depan."
"Ok. Kita lawan. Tapi I nak tambah satu syarat lagi kalau you menang."
"Apa dia?"
"You kena senyum banyak-banyak masa I cakap banyak-banyak dengan you."
"You nak kenakan I ka?"
"Takda lah. I tengok you ni serious sangat. I like your smile, you know."
Aku tersenyum.
"Ha, macam tu la."
Zek mencabarku. Aku tahu aku pelajar sederhana sahaja, dia pula memang seorang pelajar pintar. Aku tahu dia bukan bersikap angkuh atau memandang rendah kepadaku. Mungkin dia juga ingin melihat aku melangkah kaki ke Tingkatan Enam, sepertinya. Mungkin dia ingin aku terus dapat bersamanya. Mungkin dia berharap dapat terus berbual denganku, lebih rapat denganku, lebih mesra lagi. Jika itu semua keinginannya, itu jugalah keinginanku. Aku menyahut cabarannya, kerana aku tahu, sama ada aku menang atau kalah, semuanya berpihak kepadaku.
Kami akan terus dapat bersama begini. Walau bagaimanapun, aku perlu meningkatkan usahaku untuk lebih berjaya, untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Walaupun tidak dapat menandinginya, sekurang-kurangnya menghampiri pencapaiannya. Itu sahaja yang dapat aku lakukan di masa ini, setidak-tidaknya keluarganya tidak memandang rendah kepadaku. Mulai hari ini, aku berjanji untuk berusaha sedayaupaya untuk menandingi prestasi pelajaran Zek, biar dia dan keluarganya melihat akan keupayaanku. Dan semoga dia juga dapat berbangga.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomantikRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.