Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Jam belum pun menunjukkan pukul 7.00 pagi, tetapi semua yang terlibat telah hadir. Masing-masing dengan gayanya tersendiri. Ada yang memakai seluar celoreng tentera, ada yang berseluar pendek American style dan berstokin panjang, ada yang berbaju bunga-bunga seolah-olah hendak pergi bersantai. Aku hanya memakai tracksuit pasukan badminton sekolah berwarna merah dan berjalur hijau.
Sebenarnya memang aku berharap semua ahli kumpulan memakai pakaian tersebut. Ini akan menunjukkan sifat satu hati kami, lagi pun ianya adalah lebih praktikal untuk aktiviti memanjat gunung. Tetapi bila aku lihat Cathy juga memakai tracksuit yang sama denganku, aku terus membuka track top, tinggal hanya kemeja-T berwarna putih sahaja. Tetapi aku sudah terlewat, pakaian kami berdua telah dilabelkan sebagai uniform tukang masak, sempena tugas kami menyediakan keperluan makanan. Aku tahu, lagi aku menepis, lagi kuat kutukan mereka. Aku dan Cathy hanya berdiam dan tersenyum sahaja. Sebenarnya kami tidak pernah pun berbincang mengenai pakaian yang akan dipakai atau dibawa, hanya mengikut garis panduanyang diberikan oleh Cikgu Samad.
Aku menggunakan haversack yang dihadiahkan oleh kawanku semasa berpindah dari Butterworth dahulu, haversack Polis kepunyaan bapanya. Cathy pula menggalas backpack yang aku agak baru dibelinya. Memang cantik dan canggih. Kalah semua orang lain. Sebaik sahaja Cikgu Samad sampai dan dimaklumkan semua hadir, kami menaiki bas yang sudah sedia menanti. Kesemuanya kami 20 orang, Cikgu Samad dan isterinya Cikgu Salmah yang juga mengajar di sekolah kami, Cikgu Teoh dan Cikgu Rama, pelajar lelaki seramai 10 orang dan pelajar perempuan seramai enam orang.
Kami sampai di kaki Gunung Jerai lebih kurang jam 8.30 pagi. Landrover yang disewa telah siap menanti. Kami memasukkan semua peralatan makanan dan perkhemahan ke dalamnya. Hanya Cikgu Salmah dan Azlina sahaja yang sukarela untuk menaikinya. Yang lain memilih untuk mendaki sendiri.
Kami dibahagikan kepada tiga kumpulan, lima perempuan dibahagikan kepada kumpulan A dan B dan yang lelakinya memenuhkan bilangan untuk menjadikan enam orang bagi satu kumpulan. Cikgu Samad dalam kumpulan A, begitu juga dengan Cathy dan Aini, Cikgu Teoh mengetuai kumpulan B sementara Cikgu Rama mengepalai kumpulan C di mana aku di tempatkan. Kami yang terpilih dalam kumpulan C nampak lebih cergas atau bertenaga. Kami ditugaskan untuk membantu mana-mana ahli yang menghadapi kesukaran kelak.
Setiap kumpulan bergerak selang 30 minit diketuai oleh Cikgu Samad yang sememangnya biasa sangat dengan Gunung Jerai kerana kampung halamannya tidak berapa jauh dari tempat kami memulakan pendakian ini. Beg yang aku bawa tidaklah berat sangat, hanya dua tiga pasang pakaianku dan beberapa peralatan kecemasan sahaja. Lain-lain keperluan semuanya aku sumbat bersama peralatan memasak dan makanan. Jimat sedikit tenaga aku.
Tepat jam 10.00 pagi, Cikgu Rama memberi isyarat untuk kumpulan kami bergerak. Beberapa orang dari kami bergerak pantas dengan penuh semangat. Walaupun diingati oleh Cikgu Rama supaya bergerak secara berkumpulan, mereka hanya membalas dengan sahutan sahaja. Dari awal lagi jarak antara orang pertama dengan aku yang terkebelakang sekali ialah kira-kira 20 meter. Cikgu Rama tidak dapat berkata apa-apa kerana setiap panggilannya dijawab oleh mereka walaupun kini sudah tidak kelihatan. Aku dan Cikgu Rama melangkah dengan kelajuan yang sederhana. Aku masih ingat pesanan Cikgu Samad bahawa perjalanan tersebut memakan masa lebih kurang dua jam sekiranya berjalan secara sederhana tanpa berhenti rehat yang lama. Aku rasa tidak perlu untuk memburu masa kerana menu kami tengah hari ini ialah roti sandwich dan kopi panas, tugas itu telah pun diserahkan kepada Cikgu Salmah dan Azlina.
Walaupun sudah jam 10.00, suasana di sepanjang perjalanan itu sejuk dan nyaman.Udara bersih dan persekelilingan yang menghijau membuatkan fikiranku tenang dan aman. Aku dan Cikgu Rama bersembang sepanjang perjalanan, untuk mengenali antara satu sama lain. Dia baru sahaja ditukarkan ke sekolah kami sejak awal tahun ini. Sebenarnya dia telah lama bercadang untuk berkenalan denganku kerana awal-awal lagi namaku sudah menjadi sebutan guru-guru di sekolah, dan aku pula hanya menyambung semula pelajaranku selepas keluar keputusan peperiksaan SPM awal bulan lepas. Aku merasa bangga juga kerana namaku telah dikenali awal sebelum bertemu dengan tuan tubuh.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
عاطفيةRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.