Sayup-sayup kedengaran bunyi loceng pintu. Walaupun aku keletihan, aku terus bangun. Aku tidak mahu mengganggu Cathy. Pastinya dia juga keletihan. Aku tidak dapat mengagak siapa yang berada di luar sana tengah malam ini. Tidak mungkin Nicky kerana tentu dia akan membukanya sendiri menggunakan kuncinya sendiri. Tetapi mungkin juga kerana Cathy telah menguncinya dari dalam sejak awal tadi.
"Assalamualaikum, kami dari Bahagian Pencegah Maksiat." Kata seorang lelaki yang berserban dihadapan sekali.
"Waalaikum salam. Apa hal Encik?" Aku menjawabnya. Jantungku berdebar-debar. Habis pecah tembelang aku dan Cathy kali ini.
"Kami dapat aduan ada berlaku kejadian maksiat di sini. Boleh kami masuk." Dia terus masuk tanpa menunggu jawapan dariku.
"Siapa ada lagi di dalam?"
Belum pun sempat aku menjawab, Cathy keluar dari biliknya setelah pintu biliknya diketuk oleh anggota rombongan itu. Dia menggosok-gosok matanya menghampiriku.
"Kami berdua sahaja Encik." Tergagap-gagap aku menjawabnya.
Lelaki berserban itu memandang kepada rakan-rakannya, mereka mengeleng-geleng kepala setelah memeriksa semua bilik yang ada, ternasuk dapur dan bilik mandi.
"Boleh bagi kad pengenalan dua-dua kamu." Secara spontan aku menuju ke bilikku, Cathy menuju ke biliknya. Aku rasa kebingungan, tadi kami tertidur di bilik Cathy dalam keadaan bogel selepas penat beradu tenaga. Tetapi kini kami menuju bilik berasingan. Mujur juga, tetapi seingat aku, pakaianku masih berada di biliknya, begitu juga dengan dompetku. Berpusing-pusing aku berpura-pura mencari dompet. Panik mula mencengkam fikiranku, seketika lagi pastinya terbongkar rahsia kami.
"Di poket belakang tu apa?" Salah seorang dari mereka bersuara.
Aku meraba-raba, membuka dompetku dan terus menyerahkannya kepada lelaki itu. Apabila aku keluar, Cathy sudah duduk di sofa, begitu juga dengan lelaki berserban itu. Aku lihat Cathy memakai track suit berwarna biru yang belum pernah aku lihat sebelum ini. Aku tidak berkata apa-apa.
"Boleh ikut kami ke balai." Kata seorang lelaki yang memakai jaket berwarna merah tua. Mungkin ketua mereka.
"Tapi apa salah kami Encik?" Aku memberanikan diri.
"Awak telah duduk berdua-dua dengan seorang wanita yang bukan muhrim."
"Tapi kami tak buat apa-apa."
"Semua orang cakap macam tu."
Lelaki berserban itu merapati lelaki yang bercakap itu dan berbisik sesuatu. Si ketua itu pula berbisik dengan orang-orangnya yang lain. Mereka menuju ke bilik tidur kami, memasang lampu dan mencari cari sesuatu. Mereka keluar semula dan menggeleng-geleng kepala.
"Ayah awak kerja apa?" Lelaki berserban itu bersuara, kad pengenalanku di tangannya.
"Jabatan Pertanian." Jawabku.
"Awak anak sulong dia kan?" Aku hanya mengangguk.
"Apa awak buat di sini?"
"Tadi kami mengikuti rombongan sekolah melawat keliling Penang. Saya hantar dia ke sini, rumah abangnya. Tapi abang dia pergi KL. Dia telefon bapa dia, bapa dia minta saya temankan sebab abang dia akan balik besok pagi."
"Ayah awak tau?"
"Tau, saya tanya dia dulu."
"Boleh bagi nombor telefon ayah awak?" Katanya sambil menghulurkan buku yang dipegangnya.
Aku menulis nombor telefon rumahku. Aku juga meminta Cathy nombor telefon Papa dan juga abangnya.
"Encik, mereka semua tahu kami ada di sini." Aku berkata sambil menghulurkan kembali buku tersebut. "Encik, kalau nak telefon pun, tolong jangan cakap dengan Umi saya, dia kurang sihat." Aku merayu, suaraku tersekat-sekat.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomanceRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.