Hari ini aku bebas, bebas dari buku dan nota yang sentiasa mengikutiku sejak sekian lama. Semalam kertas terakhir peperiksaan STPMku. Umi atau pun Walid tidak mengejutkan aku untuk solat Subuh. Mungkin mereka memberi pelepasan bagiku.
Tetapi tiba-tiba aku terasa kekosongan. Bagaimana pula dengan Cathy. Bolehkah aku berjumpa lagi dengannya sekerap dulu. Selama setahun lebih kami berdua bagaikan belangkas. Habis sahaja sekolah kami bersama lagi dengan tuition di rumahku. Bolehkah dia menjenguk lagi ke rumahku selepas ini sekerap dulu. Setiap hujung minggu pula aku akan ke TJ, bersamanya mentelaah pelajaran. Kini bolehkah aku menjenguknya setiap minggu seperti dulu.
Aku tahu keluarga kami tiada halangan untuk dia datang atau aku kesana, tetapi pastinya pertemuan kami tidak sekerap dulu. Hari ini pun aku sudah rindu dengannya, bagaimana pula besok, lusa dan seterusnya. Adakah selepas bebas dari penyiksaan peperiksaan, timbul pula penyiksaan kerinduan. Memang tidak adil. Jika ku tahu begini akhirnya. Aku sanggup belajar dan belajar setiap hari semata-mata untuk senantiasa bersamanya, biarlah buku dan nota sentiasa tergenggam disebelah tanganku, asalkan disebelah lagi ada Cathy disampingku, membonceng motorsikalku.
Memang malas sekali untuk aku bangun, menghadapi hari-hari yang pastinya membosan dan menyiksakan. Ingin sahaja aku berkubang dan berkabung di bilikku ini sahaja.
"Abang Long. Dah bangkit belum?" Terdengar suara Zahariah.
"Kacau la. Abang Long nak tidur lebih sikit pun tak boleh."
"Boleh. Tapi jangan menyesal kalau Kak Long balik." Suara Zakuan pula.
"Wan jangan nak main-main Wan." Aku memberi amaran. Selalu sangat dia mempermainkan aku, walaupun didepan Walid dan Umi.
"Betul Abang Long. Kak Cathy ada dibawah tu." Kali ini aku percaya. Zahariah tidak pernah mengenakan aku.
"Ya lah. Abang Long nak mandi ni." Kataku bernada seperti terpaksa, tetapi jika boleh ketika ini juga aku mahu menapak turun bertemunya.
"Hai Cathy." Kataku bersahaja.
"Hai." Jawabnya ringkas, sambil meneguk kopi.
"Tengok ni, awal-awal lagi Cathy dah ada sini, tapi kita tu tak bangun tidur lagi." Umi berceloteh.
"Ala, sporting la Umi. Baru hari ni Ya bangkit lambat." Kataku ingin mendapat simpati, terutama dari Cathy. Tapi dia hanya tersenyum memandangku. Tetapi aku tahu benar, hatinya juga berkecamuk bagaikan hatiku juga.
"I nak pi Penang ni. Dua tiga hari lagi baru balik. Papa cakap dia nak jumpa dengan you. Mustahak kata dia."
"Bila?"
"Dua tiga hari la. Dia pun nak pi Penang jugak. Dia sekarang pi bank, jadi I turun sini nak bagitau pesan dia. Nanti bila kami balik sini, Cathy telefon ya?" Katanya lagi. Aku memandang Umi.
"Dah Uncle nak jumpa, pi la. Amboi, macam tak biasa pulak." Ujar Umi.
"Ok." Aku menjawab ringkas.
"Cathy, Papa Cathy dah sampai." Suara Walid memanggil dari hadapan.
"Ok lah. Cathy mintak diri dulu, Umi." Cathy bangun dan bersalaman dan berpeluk cium dengan Umi dan Zahariah. Aku cuma dapat memandang sahaja.
Kami semua bergerak ke ruang tamu. Walid sedang berbual dengan Uncle Neoh. Aku pun menghulur tangan dan bersalaman dengannya.
"Ada Cathy bagitau?"
"Dah Uncle. Nanti saya pergi." Kataku sambil mengangguk.
Cathy mencium tangan Walid sebelum mereka keluar. Uncle memerhati sambil tersenyum. Mereka dua beranak terus menaiki kereta.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomanceRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.