Jam di tanganku menunjukkan hampir pukul 10.00 pagi. Aku dan Cathy hanya berjalan kaki ke kawasan gok membakar bata merah dan juga arang, kawasan menyimpan barangan siap dan juga pejabat. Agak jauh juga antara satu dengan lain, dan jalannya juga dipagari belukar. Terasa juga kesunyian, tambahan pula tiada pekerja hari ini kerana bercuti. Itulah satu kelebihan bekerja di kampung. Jika ada kenduri, terutamanya melibatkan pekerjadi sini, habis kesemuanya bercuti. Uncle Neoh telah faham benar akan adat dan perangai pekerjanya. Dia tidak kisah sangat, kerana awal lagi dia sudah mengatur supaya pengeluarannya tidak terjejas. Apa yang mustahak baginya, semua pekerjanya berpuas hati dan dia sendiri berpuas hati. Tak kisah berapa hari pun nak cuti dalam sebulan. Mungkin sebab itulah Pak Mat dan pekerja-pekerja lain kekal bekerja dengannya hingga berbelas-belas tahun.
Hampir jam 11.00 kami tiba di pejabat. Pada luarannya agak biasa sahaja. Tetapi sebagai seorang tauke bata merah, keseluruhan bangunan itu dibuat dengan bata merah dan tidak disaluti dengan simen.
Mungkin sebagai satu langkah penjimatan dengan menggunakan bahan buatan sendiri dan juga sebagai satu daya tarikan kepada bakal pelanggan. Sebaik sahaja pintu dibuka Cathy, suasana di dalam cantik sekali, kemas dan teratur. Keseluruhan tingkapnya bercermin gelap, hanya cermin di bahagian atas tingkap sahaja berwarna cerah, memberikan suasana yang terang di keseluruhan ruang pejabat itu. Aku pasti Cathy yang memainkan peranan utama dalam mengatur dan menghias ruang pejabat.
Sebaik sahaja aku masuk, Cathy menguncinya dari dalam. Kadangkala ada orang gila datang, katanya.
Aku tidak dapat memberi komen, maklumlah tak biasa dengan tempat ini, cuma tersenyum sahaja. Lagi pun keadaan sekeliling agak lengang. Dia terus memeluk tanganku sambil menuju ke satu pintu.
"Ini bilik Papa." Dia memberitahu sambil membuka pintu yang berkunci itu.
Terdapat cermin gelap yang besar memisahkan bilik tersebut dengan pejabat tadi. Mungkin untuk memudahkan Uncle Neoh memerhati gelagat pekerjanya tanpa kelihatan. Didalam bilik ini, selain daripada meja yang agak besar dan kerusi yang empuk, terdapat juga sofa yang terletak rapat ke dinding bercermin gelap tadi. Terdapat juga dua pintu lagi disebelah kiri. Aku jangka mungkin bilik air dan setor. Bilik ini lengkap dengan TV danpemain VCD.
"Kadang-kadang Papa duduk dalam bilik ini sampai tengah malam. Makan minum pun kami kena hantar." Cathy memberi penerangan.
"Sekali tu dia tertidur sampai pagi baru balik."
Aku rasa kelucuan juga memandangkan rumahnya yang hampir tak sepelaung itu. Itulah sebabnya kebanyakan orang Cina berjaya dalam perniagaan, sanggup bersengkang mata bekerja untuk mencapai kejayaan. Tetapi orang Melayu cukup masa terus tutup kedai, walaupun kedai itu kepunyaannya sendiri. Hiasan dalam bilik itu sederhana sahaja tetapi kemas dan kelihatan tenang dengan warna-warna yang sesuai dan lembut. Cathy menunjukkan bilik air dan bilik rehat Papanya yang aku sangkakan setor tadi. Bilik itu siap dengan satu katil bujang. Patutlah Papanya boleh tertidur hingga ke pagi.
Aku yang terdiri mengikuti Cathy sejak masuk tadi disuruhnya duduk di kerusi empuk Papanya sambil menghadap meja besar. Aku keberatan kerana sememangnya aku tidak suka duduk di suatu tempat yang lazim diduduki oleh orang lain, terutamanya yang aku hormati. Di rumahku juga aku tidak akan duduk di kerusi malas Walid. Biar aku terlentang di lantai walaupun Walid tidak ada. Padaku itu adalah takhtanya, tempat yang memberi ketenangan kepada dirinya dan aku tidak mahu tempatnya itu dicerobohi orang lain terutamanya aku. Aku terus duduk di kerusi tamu, dan Cathy juga duduk di sebuah lagi kerusi disampingku.
Perbualan kami terus berkisar kepada sejarah keluarga dan perniagaan Uncle Neoh. Semua soalan-soalan yang aku senaraikan semalam aku ajukan kepada Cathy. Tiada masalah bagi Cathy kerana setiap langkah perniagaan Papanya tidak menjadi rahsia kepada anak-anaknya, Nicky dan Cathy.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomantizmRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.