Zek
Jantungku semakin kencang. Kini bunyi kasutnya semakin hampir. Aku meneguk airliur. Buku-buku yang aku pegang tadi untuk disusun semula ke dalam almari sudah aku letakkan semula.
"Hai," lembut suaranya menegurku sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam kelas.
"Hai," aku membalas. Mata kami bertembung, namun hanya sebentar.
Cathy letakkan beg dan blazer di tempatnya sebelum datang menghampiriku semuladi balik daun pintu almari itu. Aku hulurkan tanganku dan disambutnya. Terasa panas sekali kedua tangan kami. Tiada sebarang perkataan yang terucap ketika ini, hanya kedua pasang tangan yang baru berkenalan itu berpaut mesra. Tangannya sungguh lembut, gebu, licin dan panas sekali.
Aku menarik kedua tangannya itu dan mengucupnya dengan penuh mesra. Seketika kemudian dia pula mengucup tanganku. Terasa sekali panas bibirnya ketika menyentuh jari-jariku. Lama sekali dia mengucup kedua belah tanganku itu sebelum melepaskannya. Aku menariknya rapat kepadaku dan memeluk tubuhnya. Mulanya kami hanya berpeluk ringan, tetapi semakin lama semakin erat. Bahang panas yang menyelubungi kedua tubuh kami memberikan suatu nikmat yang sungguh istimewa. Pipinya yang gebu itu menyentuh pipiku. Tangan kananku yang merangkul tubuhnya menyentuh tali colinya dan mengusap-usap bahunya di situ. Begitu juga dengan tangan kiriku yang berada di pinggangnya yang ramping itu, menarik rapat lagi tubuhnya kepadaku.
Padaku kini seperti sudah tiada apa lagi di dunia ini, hanya tubuh panas Cathy yang sedang dalam pelukanku ini sahaja. Inikah nikmat cinta? Entahlah, tetapi ia memang memberi suatu perasaan yang sungguh nyaman dan istimewa. Kalau ikutkan hati, sampai petang pun aku sanggup begini.
Tiba-tiba Cathy mengucup pipiku dan melepaskan sedikit rangkulannya ke tubuhku. "I kena pergi," katanya ringkas. Kedua tangannya memegang kedua tanganku.
Aku tahu, dia bertugas di pintu masuk pagi ini. Tangannya melepaskan tanganku dan memekap pula di pipiku. Perlahan-lahan kedua bibir kami bertemu, Inilah nikmat bercinta, penuh syahdu dan sungguh indah. Terasa bagaikan kami melayang di angkasa, berpusing dan terbang di antara warna-warna pelangi. Kini aku juga memekapkan tanganku di kedua pipinya. Taupan kedua pasang bibir kami berterusan, menghisap dan mengulum bibir.
"I have to go," katanya sebaik sahaja bibir kami berenggang. Namun kami berkucupan beberapa kali lagi sebelum dia benar-benar pergi untuk menjalankan tugasnya. Masing-masing keberatan untuk berpisah. Keberatan untuk menghentikan kenikmatan dan kesyahduan yang baru kami tempuhi ini.
Keberatan untuk meninggalkan kasih yang baru kami padu ini.
Aku menarik nafas panjang, tersandar di daun pintu almari yang menjadi saksi cinta kami ini. Degupan kencang jantungku masih terasa, begitu juga dengan kelembutan bibirnya, kehangatan tubuhnya, dan juga kepanasan cintanya.
Oh Cathy, I love you; ayat yang selalu aku bisikan sebelum tidur, kini aku bisikan sendirian. Bilakah kita akan berjumpa lagi? Mungkinkah besok? Tetapi besok giliranku di pintu masuk, bukan gilirannya. Selalunya dia tak kan datang awal sebegini jika tidak bertugas di sana.
Mungkin minggu depan sahaja kami dapat bersama lagi sebegini, bisik hatiku.
Sepanjang hari mata kami sering bertembung, setiap peluang untuknya memandang kebelakang pasti ditujukan kepadaku. Walaupun tanpa senyuman manisnya, aku dapat rasakan kehangatan cintanya. Aku juga kepanasan, tidak dapat duduk maupun menumpukan perhatianku kepada pelajaran, hanya terbayang dia dalam pelukanku. Daguku di bahunya,mencium pipinya yang putih bersih, rambutnya yang harum mewangi dan tubuhnya yang panas itu.
***
"Petang ni ada training dak?" suaraku bertanya suatu soalan yang tidak perlukan jawapan.
Tanpa aku sedari aku sudah berada di hadapan mejanya. Dia memandang tepat kepadaku dan aku mengalah.
"Mana ada. Hari ni kan Isnin," aku tahu, hanya mencari modal untuk berada hampir dengannya.
"Apasal?"
"Tak. Mula-mula tadi ingatkan hari ni Selasa, terlupa pulak nak bawa training bag," aku berpura-pura menepuk dahi, dan kami berdua tersenyum. Aku girang dan aku dapatrasakan dia pun begitu juga.
"I nak beli barang kat Central, boleh tolong temankan?"
"I seorang saja ka?"
"Ikut la. Tapi Pak Mat tu ada la. Tapi takkan dia nak ikut sama kot. I belanja you KFC," dia ingin mencari peluang untuk kami bersama, sepertimana aku juga.
Walaupun aku ingin bersamanya, aku merasa serba salah. Pasti ada rakan yang terserempak dengan kami nanti. Dan pastinya akan heboh di kelas ini besok.
"I'll confirm later," aku perlukan masa untuk berfikir. Kami baru lagi jalinkan perhubungan dan aku tidak mahu ianya heboh di sekolah.
"Cathy! You dah ambil tak kain langsir dan alas meja tu?" tiba-tiba Amri menghampiri kami.
"Ni yang I nak mintak tolong dekat Zek ni. You boleh ikut sama tak?"
"Petang ni sorry. I ada tuition pukul tiga. Ala, Zek seorang pun dah cukup. Tak kan berat satu pikul kot?"
"Ok lah, ok lah," aku akur dengan kehendak mereka. Setidak-tidaknya aku ada alasan kukuh untuk bersama Cathy.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomansRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.