Aku masih tidur lagi apabila Umi mengejutkan aku. Rakan-rakan hoki aku sudah sampai untuk mengunjungi. Hampir 20 orang, penuh ruang tamu rumahku. Ramai yang terpaksa bersila di bawah, riuh rendah juga dibuatnya. Cathy juga ada. Aku tidak tahu bila yang mereka berpakat untuk datang ke rumahku berkumpulan begini. Aku berkemeja-T dan berseluar trek sahaja selepas membersihkan diri.
Semasa aku menuruni tangga, mereka memberi tepukan gemuruh kepadaku. Walaupun kepalaku masih pening-pening dan berdenyut, tetapi sudah rasa segar sedikit. Kami adalah satu pasukan, semangat dan azam kami adalah sama. Mungkin itu semua yang mempengaruhi diriku untuk lebih bertenaga apabila bersama-sama dengan mereka.
Cathy, Idah dan Kak Aini, Setiausaha Kelab Hoki kami, ke dapur membantu Umi menyediakan hidangan. Rupa-rupanya mereka turut membawa kueh-mueh untuk kami makan bersama. Walaupun mereka berkunjung ke rumah orang sakit, tetapi suasana amat ceria sekali. Maklumlah kami menang besar semalam dan juga menjadi juara peringkat daerah kami.
Karim pula menjadi penjaring terbanyak dengan lapan gol. Tetapi yang peliknya, semalam lima orang menjaringkan lima gol. Kini aku akui kenyataan Cikgu Samad bahawa rakan-rakanku mengamuk adalah suatu yang benar. Jika mengikut strategi kami, hanya penyerang sahaja yang sepatutnya dibantu untuk menjaring gol, tetapi semalam pemain-pemain haf pun turut menyerang dan menjaring gol. Aku rasa, jika aku cedera pada awal separuh pertama, mungkin banyak lagi gol dijaringkan.
Apabila Cathy, Idah dan Aini datang menyertai kami, Zaki dan Karim yang duduk sebelahku bangun dan menyuruh mereka pula duduk di sebelahku. Hari ini Cathy memakai turtleneck berwarna biru muda dan memakai entah kain ataupun skirt labuh hingga ke kaki. Aku malu, apa hal pula perlu diapit oleh dua gadis ini.
"Hai, apa pula cerita ni?" aku meluahkan perasaan.
"Alah Zek, kami bagi can pun takkan tak mau. Depa dah volunteer nak picit-picit badan hang bagi cepat baik."
"Ish, merepek lah hang Zaki," terasa panas mukaku. Hamid, penjaga gol kami yang berbadan gempal itu gelak berdekah-dekah disambut oleh rakan-rakan yang lain.
"Ha, Kak Aini, Cathy, tunggu apa lagi?" Zaki bersuara lagi.
Aku menepis tangan-tangan mereka yang mula menuju ke bahuku. Sorak dan ketawa mereka sudah tidak terkawal. Rupa-rupanya mereka hanya mengacah aku sahaja. Mereka sudah berpakat awal-awal lagi untuk mengusik aku. Walau apa pun, aku dapat merasakan bahang panas dari paha Cathy yang rapat menyentuh pahaku. Mujur juga aku memakai seluar dalam. Jika tidak pasti pedangku akan terpacak dengan rangsangan yang berlaku ini. Hari ini topik bualan kami hanyalah hoki.
Apabila jam di dinding menunjukkan hampir jam 12.00, mereka mula meminta diri. Tetapi sebelum itu, Zaki sentiasa mengambil gambar. Gambar terakhir diambil oleh Zahariah supaya semua rakan-rakanku dapat bersama. Kami terpaksa berhimpit-himpit, maklumlah hampir 20 orang. Ada yang bersila, berbaring, yang tunduk, dan berdiri dengan bermacam gaya dan rupa.
***
Hari Selasa baru aku bersekolah semula, biru lebam di atas keningku masih kelihatan tetapi sakitnya sudah banyak berkurangan. Dalam perbualanku dengan Zaki, aku mengetahui bahawa Cathylah yang menelefonnya untuk mengaturkan kunjungan pagi Jumaat itu. Zaki,yang juga rakan sekelas aku dan Cathy berjaya menghubungi semua rakan sepasukanku dan juga beberapa AJK Kelab Hoki dan semuanya bersetuju. Baru aku sedar bahawa kumpulan yang datang hari itu semuanya adalah ahli Kelab Hoki, kecuali Cathy. Zaki juga menceritakan bagaimana Cathy menyelenggara semua baranganku, beg, kayu hoki dan lain-lain. Malah bajudan seluar yang aku pakai sebelum menyarung jersi pun dikutipnya dari rakan-rakanku. Dia jugalah yang membuka but dan stokinku semasa aku terlentang di belakang gol hari itu.
YOU ARE READING
Cathy & Zack
RomanceRiwayat sebuah kisah cinta diantara sepasang kekasih yang berlainan bangsa dan agama. Sebuah karya asal oleh PENA TUMPUL.