SEBUAH Rolls Royce Phantom berhenti di hadapan pintu utama hotel. Beberapa orang lelaki berpakaian sut hitam segera bergerak, bersiap sedia di posisi masing-masing. Pintu belakang perlahan-lahan dibuka oleh salah seorang daripada mereka, memperlihatkan sepasang kasut kulit berjenama mewah menapak ke atas lantai marmar berkilat. Tertunduk mereka yang berada si situ. Tanda hormat.
Zariel melangkah keluar dengan penuh wibawa sambil membetulkan butang sut yang tersarung di tubuh. Matanya melingas memerhati persekitaran hotel, satu lagi cawangan yang baru dirasmikannya beberapa bulan lalu. Tujuan kedatangannya pada hari ini adalah untuk menilai sendiri operasi di lapangan, memastikan setiap aspek perkhidmatan berjalan lancar mengikut standard yang telah ditetapkannya.
Langkah diatur santai seraya netranya meneliti setiap reka bentuk dalaman yang menggabungkan elemen minimalis dan elegan, menampilkan perabot eksklusif dengan palet warna neutral yang mewah. Cermin-cermin besar diposisikan strategik untuk memanfaatkan cahaya semula jadi, mencipta suasana yang lapang dan nyaman.
Kemudian, Zariel berjalan masuk ke dalam restoran. Restoran utama ini menampilkan konsep fine dining dengan sentuhan moden, diinspirasikan oleh budaya gastronomi antarabangsa. Menu yang disajikan bukan sahaja mengutamakan kualiti bahan, malah persembahannya turut dipastikan setanding dengan restoran bertaraf Michelin.
"Apa ni?!"
Belum sempat Zariel mengambil duduk, deria pendengarannya menangkap bunyi jeritan nyaring dari satu sudut. Matanya tajam menghala ke arah sumber suara.
"Are you blind or just plain stupid?!"
Di salah satu sudut restoran, kelihatan seorang wanita mula bangun dari tempatnya dengan wajah yang merah padam. Tangan kanannya mengibas-ngibas baju manakala tangan kirinya mengunjuk marah ke arah seorang pelayan yang tampak pucat lesi.
"Saya... saya minta maaf, cik. Saya tak sengaja..." Tubuh pelayan itu menggigil kecil. Kecut perutnya tatkala ditengking di depan khalayak. Tebal mukanya apabila pelanggan-pelanggan di dalam restoran mula berbisik.
Wanita itu mengetap gigi. Wajahnya jelas menunjukkan riak tidak puas hati.
"Tak sengaja? You know how much this dress costs?! You ingat I beli baju ni dekat tepi jalan ke?!" Jeritannya bergema lagi.
Pelayan wanita itu semakin menundukkan kepala, lidahnya kelu hendak menjawab. Sudah berkali-kali dia memohon maaf namun, pelanggannya ini masih mahu memanjangkan isu. Walhal, apa yang berlaku tadi bukan seratus peratus salahnya. Tangan pelanggan itu sendiri secara tidak sengaja tertolak gelas berisi jus oren di atas meja hingga menyebabkan air itu tumpah.
Dalam kekecohan itu, seorang head waiter menghampiri ke arah mereka.
"Ada sebarang masalah di sini, cik?" Satu senyuman manis dilakar mesra. Sekilas, matanya melirik kepada anak buahnya yang masih menunduk.
Terdengar wanita itu mendengus kasar.
"You tanya I ada masalah ke tak? You pun buta macam dia ni ke? You tak nampak apa yang dia dah buat pada pakaian I?!"
Ketua pelayan itu menarik nafas panjang. Boleh tahan bisa mulut pelanggannya ini. Kalau kurang sabar, mahu saja dia membidas semula. Namun, dia perlu bersikap profesional bagi mengelakkan situasi bertambah keruh.
"Saya minta maaf atas apa yang berlaku. Cik jangan risau. Kami akan bertanggungjawab sepenuhnya. Sebagai tanda permohonan maaf dari pihak kami, pihak restoran mahu menawarkan hidangan percuma untuk cik pada hari ini."
Mendengarkan tawaran tersebut, tak semena-mena wanita sombong itu ketawa sinis.
"Hidangan percuma? You ingat I hamak sangat ke dengan makanan you tu? I tak mahu semua tu! I nak staf you ni bayar ganti rugi baju I!" Telunjuknya terus dituding kepada si gadis yang kekal tunduk di sisi ketua pelayan. Tak berani mahu mengangkat muka waima sekali.
![](https://img.wattpad.com/cover/372602240-288-k867589.jpg)
YOU ARE READING
4.0 | WANITA MILIK TUAN ZARIEL
Romance*Previously known as HIS POSSESSION* Hidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-t...