BAB 18

5 2 0
                                    

TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?

BAB 18

Warda menghela dan menghembus nafas beberapa kali di hadapan cermin. Dia memperelok lipatan tudungnya beberapa kali. Berkali-kali juga dia memeriksa tatarias pada wajahnya agar tidak terlalu pucat mahupun terlalu sarat. Cukuplah dia tampak segar dan terurus sahaja untuk ke tempat pertemuan mereka pada hari ini.

  Baru dia mencapai beg tangannya di penjuru katil, pintu biliknya diketuk daripada luar.

  "Buka aje. Tak kunci."

  Terpacul wajah Aminatul Wafqa daripada pintu yang terkuak. "Jom, dah pukul berapa ni. Sekejap lagi lambat pula."

  Warda mengangguk. Dia menggalas beg tangannya seraya menyembur beberapa semburan minyak wangi ke tubuhnya. Buat kali yang terakhir, dia menelek penampilannya daripada atas ke bawah pada pantulan cermin sebelum melangkah keluar daripada bilik.

  Sebaik sahaja dia tiba di ruang tamu, tiga susuk sudah setia menantinya. Masing-masing memberi isyarat bertanya sama ada Warda sudah bersedia atau belum. Warda mengangguk. Baru dia hendak mencapai satu daripada tiga dulang yang berada di atas meja ruang tamu, tangannya ditarik oleh Puan Nora.

  "Tak payah, kita bertiga masuk kereta terus. Jalan dulu. Karang barang-barang ni biar Kak Wafqa dengan Abang Aidil yang bawa. Kalau belah sana sampai dulu nanti, susah." Puan Nora terus menarik Warda keluar bersama dengannya.

  Warda terkebil-kebil mengikut langkah Puan Nora. Dia mengerti Puan Nora sedikit tergesa-gesa kerana Puan Nora takut kalau-kalau tempat pertemuan yang sudah ditempah oleh Warda dan Amrullah itu tidak menepati cita rasanya.

  Masih Warda ingat saat dia memberitahu Puan Nora bahawa dia tidak mahu mengadakan majlis pertunangan seperti kakak sulungnya dahulu. Waktu itu, membuntang mata Puan Nora. Tegang wajahnya menanti penjelasan anak bongsunya itu.

  Kata Puan Nora, tidak pernah lagi dibuat orang, bertunang di tempat makan. Pun begitu, Warda buat kepala dia sahaja. Dia tetap bertegas dengan keputusannya untuk tidak mengadakan apa-apa majlis pertunangan. Tidak perlu sampai tumbangkan lembu pun, boleh juga bertunang, katanya.

  Berhari-hari juga Puan Nora menarik muka dengan Warda. Warda pula sedikit keras kepala. Memang kedua-duanya saling tidak bercakaplah dibuatnya. Nasib baik Amrullah pandai mengawal situasi. Lelaki itu datang ke rumah Warda dan menerangkan tentang permintaan Warda beserta dengan justifikasi-justifikasi yang diperlukan.

  Magisnya, cepat sahaja Puan Nora bersetuju. Bengang benar Warda dibuatnya. Belum apa-apa, Amrullah sudah dilebihkan oleh Puan Nora.

  "Warda, nanti jaga kelakuan kau tu. Walaupun tak ada majlsi yang official, ibu tak nak mulut kau tu cakap main lepas aje. Jadi sopan santun, jangan nak jadi bertih jagung sangat."

  Warda yang saat itu sedang memandu, terganggu fokusnya. "Ibu ni... orang tahulah. Takkanlah orang nak buat macam ibu ayah Amrullah tu, macam orang bercakap dengan ibu."

  Puan Nora tersenyum sinis kepada Warda. "Kau tu bukannya boleh percaya sangat. Sekejap lagi, masa berbincang pasal majlis... kalau ada apa-apa yang kau tak setuju, jangan terus membantah. Bincang kemudian dengan Amrullah. Buat perangai elok-elok. Jangan sampai tangan ibu ni mencubit paha kau dekat bawah meja."

  Warda melepaskan keluhan berat. Dia membuat belokan keluar daripada jalan besar menuju ke restoran yang sudah ditempah. "Iya, ibu."

  "Lepas tu, kalau ada apa-apa yang dia orang tanya... kau tak dapat nak decide, jangan cakap kau tak tahu. Cakap aje, kau minta masa nak fikir. Kalau susah sangat, cakap aje nanti kau nak bincang dulu dengan ibu, dengan kakak yang lebih berpengalaman. Faham?"

TIADA LAIN SELAIN KAMUWhere stories live. Discover now