TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
"Ada apa awak ajak kita jumpa ni?" Amrullah bertanya sementelah dia mencucukkan straw ke dalam minuman Warda lalu menolak gelas plastik berlogo Kopi Saigon itu kepada gadis berkenaan. Sedikit teruja apabila Warda mengajak dia berjumpa setelah lebih seminggu gadis itu langsung tidak memberi apa-apa perkhabaran kepadanya.
Amrullah juga tidak banyak membuka perbualan. Mengerti bahawa tunangnya itu busy dengan housemanshipnya.
Warda tidak terus menjawab. Sebaliknya, beberapa saat dibiarkan berlalu sementara pandangannya bersatu dengan tatapan redup milik lelaki itu. Senyuman manis Amrullah tidak dia balas. "Saya rasa saya tak boleh teruskan pertunangan kita."
Amrullah kekal tenang. Dia menatap Warda, dalam. Dengan nada prihatin dia bertanya. "Ada apa-apa yang menganggu fikiran awak ke?"
Apabila Warda menggeleng, Amrullah bertanya lagi, "Saya ada buat salah dekat mana-mana ke? Kalau ada, awak beritahulah... kita bincang. Awak nak tegur saya, marah saya, saya terima." Bersungguh-sungguh Amrullah bertanya.
Ayatnya disusun sebaik mungkin agar tidak kedengaran sedang memaksa sebaliknya memujuk. Walhal, dia memang bukan seorang yang pandai memujuk.
"Saya tak boleh terima..." Warda menelan liur sesaat. Meski terasa perit di kerongkongan, tetap jua dia gagahkan otot farinks agar bekerjasama dengan kotak suara bagi menghasilkan artikulasi. "...kerja awak."
"Sebab gaji saya rendah ke?"
Warda menggeleng sekali lagi. "I don't mind on how much you were paid as an engineer tapi saya tak boleh terima kalau awak bekerja sebagai seorang pegawai tentera."
Amrullah tersentak. Senyumannya kini sudah mati daripada wajahnya. Raut wajahnya berubah. Tatapan mata mereka putus apabila Warda menunduk seusai dia menghabiskan bicaranya. Terasa dadanya sedikit sempit mendengar tiga perkataan terakhir daripada Warda.
"Awak..." Kata-kata Amrullah mati. Lidahnya terkelu. Suasana sepi seketika.
Warda mengangkat kepala. Bebola matanya jelas berkaca. Namun begitu, tatapannya tajam memasung sepasang iris kecoklatan milik lelaki di hadapannya itu. Bibirnya mengoyak senyum sinis. "Awak pelik macam mana saya tahu?"
Amrullah tidak mengangguk, tidak juga menggeleng.
"Awak ingat, awak pergi temu duga pengambilan kadet graduan tu... saya tak tahu? Awak fikir selamanya awak boleh sembunyikan daripada saya tentang kerja sambilan awak tu?" Warda menyoal lagi. Nadanya sedikit bergetar namun sedaya upaya dia mengeraskannya. Biar Amrullah tahu bahawa Warda yang lembut ini, masih ada tegasnya seperti sewaktu mereka bersekolah menengah dahulu. "Sekarang ni zaman media sosial, Amrullah. Search aje, semua benda keluar. Lagi pula lepas aje Ifa terlepas cakap pada saya, saya sendiri nampak muka awak dalam gambar-gambar yang salah seorang intake post dekat media sosial. Lebar betul senyuman awak dalam gambar tu kan?"
Amrullah masih diam. Riaknya sedikit sayu mendengarkan getaran di dalam nada tunangnya. Namun begitu, sedaya upaya dia mengawal nafasnya. Bibirnya masih terketap rapi kerana dapat dia rasakan, Warda masih belum usai dengan bicaranya.
"Jangan awak nak salahkan Ifa dalam hal ni kalau benda ni bermula daripada awak tak berterus-terang dengan saya." Warda mengambil nafas sejenak. "Agak-agak macam mana perasaan saya bila saya dapat tahu benda ni bukan daripada awak? Mentang-mentang saya tak pernah bertanya kalau awak hilang daripada radar saya, awak buat saya macam ni, Amrullah?"
Warda memalingkan wajah. Sedaya upaya dia mengawal perasaannya. Kawalan minda cuba menumpaskan segala macam rasa yang menyesakkan dada. Air mata yang bertakung di empangan mata, dia abaikan. Suasana dibaluti sepi buat beberapa jenak.
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomanceKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
