TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
BAB 17
Warda tak tahu perbualan bagaimana yang berlaku di antara ibu, kakak sulungnya dan Amrullah sehingga semudah itu ibu berubah hati daripada tidak menggalakkan penyatuan Warda dengan Amrullah sehinggalah...
"Warda, bila kau nak bertunang?"
Warda yang saat itu sedang mengunyah soft cookies nyaris-nyaris tersedak apabila Puan Nora menyerangnya tanpa sapa dan salam. Sudahlah dia baru sahaja sempat makan setelah pulang daripada kerja sambilan. Tudung pun belum sempat dia tanggalkan.
Puan Nora melabuhkan duduk di kerusi meja makan. Benar-benar berhadapan dengan Warda.
"Amru cakap dia dah sediakan tujuh ribu kalau kau nak."
Tersedak Warda saat dia mendengar nilai yang disebutkan oleh Puan Nora tadi. Terbeliak matanya. Cepat-cepat dia mencapai susu penuh krim yang dituang di dalam gelas, lalu dihirupnya sedikit rakus. Sesudah itu, dia melurut-lurut dadanya sendiri.
"Banyaknya, ibu. Buat apa banyak-banyak tu?"
"Untuk majlis tunang kau orang dualah. Tadi ibu tanya, dia nak bertunang yang macam mana? Amru tu cakap, dia serahkan kepada kau. Kau nak tunang bila, majlis macam mana, dia ikut aje. Modal, dia yang nak bagi." Entah dari mana, Wafqa datang menyertai perbincangan mereka berdua. Setelah itu, Wafqa melabuhkan duduk di sebelah Puan Nora.
"Tak-tak. Cerita dia sekarang ni, ibu dengan kakak terima dia?"
Puan Nora mengangguk. "Mestilah. Ibu suka tengok dia tu. Berwawasan. Dia tahu apa yang dia nak and dia jenis yang tak main-main. Dia boleh jawab semua soalan ibu dengan baik. Dia kenal kau sangat, kau aje yang tak kenal dia. Pasal rupa tu... ibu tak kisah dia biasa-biasa asalkan sejuk mata memandang."
Rahang Warda jatuh. "Ibu... ibu baru aje jumpa dia tadi tau. Macam mana ibu boleh puji dia tinggi melangit macam ni?"
Wafqa tertawa kecil. "Itulah, akak pun terkejut tengok ibu ni. Awal-awal tu bukan main tegas betul tanya budak tu macam-macam. Balik aje kawan kau tu, lebar senyuman ibu ni ha."
Terkebil-kebil Warda memandang ke arah Puan Nora. "Bagus budak tu. Bila ibu fikir-fikir balik rasa macam... tak layak pula dia dengan kau."
"Ibu!" Warda memandang Puan Nora dengan tatapan tidak percaya.
"Dah, itu semua tak penting. Benda yang penting sekarang ni, kau tu. Dah sedia ke nak bertunang? Jangan decide lambat-lambat. Susah-susah sangat, karang ibu aje yang decide nak buat majlis macam mana, tarikhnya berapa." tambah Wafqa pula.
Puan Nora mengangguk-angguk. Belum sempat Puan Nora hendak menyambung, Warda bangkit dari duduknya.
"Sebulan. Bagi Warda masa sebulan, ibu. Before that date, biar Warda yang decide macam mana nak bertunang, dekat mana and bila. Okey, ibu? Warda nak masuk dulu. Warda belum solat asar lagi ni. Assalamualaikum."
Cepat-cepat Warda membuka langkah menuju ke biliknya. Dibiarkan gelas dan biskutnya yang masih berbaki beberapa keping lagi di atas meja.
WARDA memain-mainkan hujung kakinya sesama sendiri sementara dia menanti Amrullah mengambil minuman mereka di kaunter. Dia memangkat kepala. Pandangan dibawa mengintai luar tingkap kaca premis itu. Malam ini, agak ramai orang yang duduk menghabiskan masa berbual dan melakukan kerja di kerusi luar premis. Manakala, bahagian dalam premis ini pula sedikit kosong. Mungkin angin malam ini yang sedikit nyaman membuatkan para pengunjung lebih memilih untuk menikmatinya berbanding angin penghawa dingin.
Warda menoleh semula ke hadapan saat kerusi di hadapannya ditarik. Satu gelas plastik dengan namanya ditolak ke arahnya. Penyedut minuman berwarna hitam sudah sedia dimasukkan pada ruang di penutup bekas minuman itu.
"Terima kasih," ujar Warda sebelum menghirup sedikit minuman bersusu berwarna hijau daun itu. Sedap.
"Sama-sama." Amrullah tersenyum ke arah Warda. Dia turut sama menghirup americano yang telah dipesannya. Sesudah itu, dia menyandarkan duduk. Sempat anak matanya meliar ke segenap ruang kafe yang berkonsepkan urban aesthetic itu. "Kau memang selalu minum dekat sini ke?"
Warda mengangguk. "Tak adalah selalu tapi kalau aku rasa aku craving benda ni, aku datang sini. Ada masa aku balik kerja, singgah sini sekejap... duduk-duduk baru balik rumah."
Giliran Amrullah pula untuk mengangguk. "Sedap ke?"
Warda tertawa perlahan. Dia mengacau minumannya dengan penyedut minuman hitam. "Kalau ikut tekak orang biasa-biasa macam aku ni, sedaplah. Tak manis sangat, tak muak sangat. Sedang elok."
Suasana sepi seketika apabila mereka berdua masing-masing tidak berbual. Warda dengan minumannya, Amrullah pula tidak membuang pandang ke luar cawangan Kopi Saigon ini.
"Aku... nak tanya kau boleh?"
Amrullah kembali berpaling ke arah Warda. Kedua-dua belah keningnya diangkat petanda bersedia menjawab soalan yang akan diajukan oleh Warda kepadanya.
"Apa yang ibu aku tanya pada kau masa kau datang siang tadi?" Setelah puas berbasa-basi, akhirnya Warda meluahkan perihal pokok yang membawa kepada pertemuan mereka malam ini.
"Kenapa?"
"Aku curious. Tak boleh ke?" Warda mengangkat sebelah keningnya. Mencabar Amrullah dengan keinginannya.
"Boleh." Amrullah menyedur minumannya sejenak. Duduk yang tadinya bersandar kini ditegakkan. "Ibu kau tanya benda-benda basic macam nama penuh, asal mana, belajar mana, kerja dekat mana, berapa gaji, apa plan masa depan?"
Warda mengangguk-anggukkan kepalanya. "Selain daripada tu?"
Amrullah diam sejenak. Gayanya seperti berfikir seketika. Setelah itu, Amrullah mengulum senyum seraya menjawab, "Ibu kau tanya, kenapa aku nak dekat kau? Ibu kau tanya juga, apa lebihnya kau berbanding mana-mana perempuan yang aku kenal dan ibu kau tanya, kalau dia bagi aku bertunang dengan kau... aku nak bertunang berapa lama?"
Warda mengangguk-anggukkan kepala sekali lagi. Setelah itu barulah dia bertanya semula. "Jadi, apa jawapan kau?"
Amrullah menyimpan tawa dalam sebuah senyum. Kedua-dua siku menongkat badan di atas meja. Redup sepasang matanya menatap ke arah Warda yang setia menanti jawapannya. "Aku jawab seikhlasnyalah."
"Iyalah... seikhlasnya tu apa?" Warda menyimpan getaran di dalam dada. Dia cuba mengawal riak wajahnya agar debarannya tidak terlalu dampak di mata Amrullah.
"Aku cakap, aku nak dekat kau sebab aku perlukan seorang isteri yang matang, yang memahami, yang menyamankan, yang berdikari tapi ada sisi manja dia yang tersembunyi. Aku nak jadi suami yang menyediakan syurga untuk penghuninya. Isteri aku nanti, akan lengkapkan syurga tu. Pasal kelebihan kau tu... aku tak boleh cakap banyak sebab aku tak pernah berminat nak kenal mana-mana perempuan macam aku kenal kau. Kau ada semua ciri-ciri yang aku rasa elok untuk seorang isteri dan insyaAllah aku yakin aku bersedia untuk berusaha supaya boleh zahirkan ciri-ciri yang engkau nak pada seorang suami. Pasal tempoh bertunang tu... kalau ikutkan aku mungkin satu tahun tu cukup tapi aku serahkan pada kau."
"Macam mana kalau apa yang kau yakin ada pada aku... sebenarnya tak ada? Instead apa yang kau tak sangka ada pada aku, ada?" Warda menambah soalannya setelah itu.
"Perkahwinan tu matlamatnya bukan nak cari yang sempurna tapi nak bina daripada ketidaksempurnaan. Insya-Allah aku cukup sabar untuk bantu apa yang kurang pada isteri aku dan aku harap isteri aku juga cukup sabar untuk bantu aku apa yang kurang." Amrullah kekal tenang. Senyumannya masih belum lekang di bibir.
Warda mengetap bibir rapat. Belum sempat dia membuka mulut, Amrullah sudah mencantas bicaranya, "Lagipun, aku kenal kau dah lebih sepuluh tahun, Warda. Insya-Allah aku dah cukup kenal kau sebagai seorang kawan."
Warda menggigit bibir bawahnya. Sedikit sebanyak hatinya terusik mendengar bicara Amrullah. Ada segelung keyakinan yang terbentuk di hatinya saat satu demi satu aksara daripada Amrullah menjadi jawapan kepada persoalan-persoalannya.
"Tak apa, Warda. Terserah pada kau. Aku okey aje. Kau nak bertunang bila, nak tunang selama mana, aku ikut aje. Insya-Allah aku boleh tunggu." Amrullah menambah lagi.
Warda diam sejenak. Dia menghirup minumannya sekali lagi. Meskipun kerongkongannya yang disapa minuman sejuk itu, suhu hatinya pula yang menurun saat sepasang iris miliknya bertembung dengan sepasang iris redup milik Amrullah.
"Kalau aku buat permintaan sikit boleh?"
"Boleh." Pantas Amrullah menjawab membuatkan Warda sedikit gugup.
Sedaya upaya Warda menyembunyikan kegugupannya. "Mana boleh kau cakap boleh laju macam tu. Patutnya kau tanya dulu, apa permintaan aku... timbang-tara lepas tu barulah kau pilih untuk agree atau tak."
Amrullah tertawa mendengar rungutan Warda. Dia menggeleng perlahan. "Aku percaya permintaan kau bukan benda merepek-repek. Insya-Allah aku usaha untuk aku tunaikan. Nak minta apa?"
"Boleh ke kalau... kita tunang privately? Kawan-kawan rapat dengan saudara-mara aje yang tahu? Kalau boleh aku tak nak buat majlis. Kau okey?"
Sebelah kening Amrullah ternaik. Sedikit hairan dengan permintaan Warda.
"Aku tak kisah sangat fasal private ke tak private, ikut mana yang kau selesa. Cumanya... betul ke kau tak nak buat majlis?" soal Amrullah semula. Sekadar menginginkan kepastian. "Kenapa?"
Warda menggigit bibir bawah. Sudah beberapa ketika dia memikirkan tentang perihal ini setelah perbualannya dengan Ifa tempoh hari. Entah mengapa, dia merasakan bahawa dia lebih selesa kalau pertunangannya nanti hanya dihadiri orang-orang yang penting tanpa perlu dilakukan pada majlis yang istimewa. Cukup sarung cincin sahaja dan berbincang sedikit antara dua keluarga, sudah.
"Aku rasa macam renyah aje kalau buat majlis. Kesian juga dekat kau nak bagi modal. Baik kau simpan aje duit tu, buat topup duit kahwin nanti, insya-Allah. Lagi satu, aku rasa lebih selesa kalau tak ada majlis. Kita-kita aje yang tahu." Warda menghadiahkan senyuman kekok kepada Amrullah. Dalam diam, dia sedikit risau kalau-kalau Amrullah fikir yang bukan-bukan terhadap permintaannya ini.
"Boleh, aku tak kisah sangat. Kalau kau nak buat private ye kita stay private until kahwin nanti. Benda kecil aje ni." Amrullah menyambut baik permintaan Warda menandakan mereka berdua telah mencapai kata sepakat terhadap perihal ini.
Warda menghembuskan nafas lega. Dia tersenyum manis ke arah Amrullah.
"Kenapa kau nampak gugup sangat nak tanya aku fasal benda ni?"
"Sebab... aku tak nak kau overthink?" Warda memulangkan seoalan Amrullah dengan ketidakpastian.
Jawapan Warda membuatkan Amrullah sekali lagi berkerut hairan. "Overthinking? Overthinking yang macam mana?"
"Aku tak nak kau fikir sebab aku malu ke atau sebab aku takut kita... tak jadi." Dia menyusun ayatnya dengan penuh berhati-hati. Sekali lagi Warda mengulum senyum kekok di wajahnya. Sedikit gementar menjangkakan reaksi Amrullah apabila mendengar tebakannya.
Amrullah hanya tertawa perlahan. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kepada Warda membuatkan Warda sedikit terkesima. Ada ketenangan yang dapat dia garap daripada riak wajah lelaki itu membuatkan segala macam perihal yang memberatkan kepalanya sejak awal perbualan mereka, terbang melayang entah ke mana.
"Jangan difikirkan sangat benda yang tak ada dalam genggaman kita, Warda. Insya-Allah kalau ada rezeki, aku yakin... adalah jodoh kita. Aku percaya, tahun-tahun yang berlalu ni tak sia-sia."
Sekali lagi hati Warda luluh mendengar jawapan penuh yakin daripada Warda. Saat ini, detak jantungnya tidak lagi berdebar seperti sebelum ini. Sebaliknya, ada sebuah bah ketenangan yang mula menghuni pantai hatinya. Ketenangan itu meresap ke segenap sarafnya membuatkan tidak dapat tidak, Warda tersenyum ikhlas.
"All you have to do is just be yourself. Be you that makes my heart yours."
Warda tidak membalas ucapan Amrullah itu. Hanya tatapan mata mereka berdua sahaja berbicara dalam aksara bisu dengan bahasa hati masing-masing.
Saat ini... ada satu keyakinan yang terpateri di dinding hati Warda.
Insya-Allah... ada rezeki untuk mereka nanti.
TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomanceKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
