TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?"Ibu..." Warda menyeru ibunya dari arah belakang.
Wanita itu yang tadinya sedang berusaha memasukkan benang ke dalam lubang jarum, berhenti. Kepala terangkat membolehkan dia memandang ke arah anak bongsunya. Cermin mata yang membantunya melihat objek dari jarak dekat, dijatuhkan daripada pangkal hidung.
"Kenapa, Warda?" soal wanita itu.
Warda menghulurkan tangan kepada wanita berusia separuh dekad itu. "Mehlah, Warda tolong masukkan."
Jarum dan benang putih bertukar tangan. Warda membasahkan hujung benang yang teah dipotong itu lalu memasukkannya ke dalam lubang jarum dengan mudah. Sesudah itu, dia tarik lebihan benang dan diikat pada hujung yang satu lagi supaya benang itu bertindih.Puan Nora kembali menyarungkan cermin mata pada pangkal hidung. Jarum yang sudah sedia untuk digunakan, bertukar tangan semula.
"Kau ada nak minta apa-apa daripada ibu ke? Ifa ajak jalan-jalan dekat mana?"
Warda tersenyum segaris. Benarlah orang kata, seorang ibu itu nalurinya tajam. Tidak perlu si anak itu berbasa-basi pun, si ibu sudah tahu ada sesuatu sedang berlaku pada anaknya. "Tak adalah, ibu. Ifa tak ada ajak ke mana-mana pun."
"Habis tu? Tiba-tiba mengendeng ibu menjahit ni... nak apa?" Puan Nora meletakkan semula kain perca yang hendak dia jahit menjadi sehelai selimut itu. Dia mengerutkan dahi. Memicing matanya merenung ke arah si anak bongsu.
Warda mengubah posisi duduknya. Dia yang tadinya melutut kini bersila di hadapan wanita separuh baya itu. Walaupun debarannya terasa di dalam dada, Warda berusaha mengawal riak wajahnya supaya tidak terlalu kelihatan di sepasang mata tua berkenaan.
"Ada orang... nak merisik Warda, ibu," ujar Warda senafas. Habis sahaja ayatnya, dia terus mengetap bibir rapat menanti respons daripada ibunya.
"Siapa? Kau tak pernah cakap pun kau ada kawan sebelum ni?" soal wanita itu semula. Warda sudah dapat mengagak bahawa itulah yang akan Puan Nora tanyakan kepada Warda terlebih dahulu memandangkan sudah beberapa kali Warda mengelak apabila Puan Nora bertanya tentang kawan lelaki kepadanya.
Hakikatnya, Warda mana ada kawan lelaki langsung. Mana wanita itu tidak terkejut apabila tiba-tiba Warda mengatakan bahawa ada pihak lelaki hendak datang merisik.
"Memanglah Warda tak pernah cakap dengan ibu. Warda mana ada kawan lelaki yang betul-betul rapat."
"Habis tu? Kawan lelaki mana yang tiba-tiba nak merisik kau ni? Kawan kau masa universiti?" Puan Nora bertanya lagi. Nadanya semakin serius. "Satu kelas dengan kau ke? Ke senior kau dekat universiti?"
Warda menggigit bawah bibir mendengar soalan demi soalan yang ditanyakan oleh ibunya itu. Kalaulah mereka sedang bercakap di dalam telefon waktu ini, memang Warda sudah terlihat seperti cacing kepanasan.
Bak kata Cita Citata dalam lagunya, gegana. Gelisah, galau, merana. Hanya saja merana itu tidaklah. Anxious sahaja.
"Bukan. Kawan sekolah."
"Dia doktor juga?"
Selama ini, sudah beberapa kali juga Puan Nora memberi bayangan agar Warda berkawan dengan mana-mana rakan satu kuliah dengannya. Lantaklah satu kelas kah, senior kah, junior kah, yang penting satu kuliah katanya.
Itu salah satu sebab mengapa Warda teragak-agak hendak memberitahu tentang risikan Amrullah kepada ibunya ini.
Teragak-agak dia menggeleng. Jantung semakin berdebar-debar menanti respons Puan Nora. Apatah lagi apabila dahi wanita itu membentuk kerutan.
YOU ARE READING
TIADA LAIN SELAIN KAMU
Roman d'amourKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...