Bab 35

8 1 0
                                    

Dr. Sufi melangkah masuk ke dalam rumah dengan langkah yang tenang, membawa udara segar petang bersamanya. Di ruang tamu, Ummi dan Abahnya sedang leka berbual, suara lembut mereka beriringan dengan bunyi rancangan televisyen yang dipasang perlahan. Melihat kelibat Dr. Sufi, wajah kedua-duanya berseri, lalu Dr. Sufi memberi salam.

"Assalamualaikum, Ummi, Abah," ucapnya sambil menyalami mereka dengan penuh hormat.

"Waalaikumussalam, Sufi dah balik. Eh, kenapa tak bagitahu awal-awal? Kalau tahu, boleh Ummi siapkan masakan kegemaran kau. Lama dah Ummi tak masak lauk asam pedas untuk Sufi," kata Ummi sambil tersenyum, mesra seperti selalu.

Dr. Sufi tersenyum lebar, merasakan kehangatan rumahnya. "Tak apa, Ummi. Sufi dah kenyang, baru je makan dengan Dato' Khaleed tadi."

Abah Dr. Sufi, yang dari tadi memerhati perbualan, kemudian mencelah. " Macam mana keadaan Qaira sekarang? Sufi ada jumpa dia tak?."

"Qaira baik-baik saja, Abah. Minggu lepas Sufi jumpa dia untuk rawatan. Alhamdulillah, dia makin sihat," Dr. Sufi menjawab sambil tersenyum nipis, cuba meredakan kegusaran di hati kedua orang tuanya. Dia kemudian teringat sesuatu. "Oh ya, Qaira ada kirim salam dekat Ummi dengan Abah. Dia minta maaf sangat sebab haritu, masa dia tinggal di rumah kita, dia tak dapat ingat kita semua. Fi nampak dia serba salah sangat dengan keadaan tu."

Ummi terdiam sejenak, kemudian mengangguk perlahan. "Tak apalah, Sufi. Ummi faham, lagipun Qaira tengah sakit dan tak boleh nak ingat kita semua. Ummi tak kecil hati langsung. Harapnya cepatlah kembali ingatan Qaira"

Setelah seketika berbual, wajah Dr. Sufi kembali berubah serius. Ada sesuatu yang terlintas di fikirannya. "Sebenarnya, tadi Dato' Khaleed ada beritahu yang Abah yang call dia, bagitahu Qaira ada kat rumah kita," kata Sufi, nadanya lebih berat dan tidak puas hati. "Abah, Sufi rasa Abah patut bagitahu Fi dulu sebelum buat keputusan macam tu. Hal berkaitan Qaira... Fi yang sepatutnya uruskan, bukan Abah."

Suasana di ruang tamu tiba-tiba bertukar tegang. Ummi dan Abah Dr. Sufi berpandangan sesama sendiri, wajah mereka menunjukkan perasaan yang kurang senang dengan pemikiran anak mereka.

Abah Dr. Sufi akhirnya menarik nafas panjang sebelum menjawab dengan tenang namun tegas, "Sufi, Abah buat keputusan tu sebab Abah rasa itu yang terbaik. Qaira tu isteri orang, dia ada keluarga yang berhak tahu di mana dia berada. Abah tak boleh sembunyikan maklumat macam tu dari Dato' Khaleed."

Dr. Sufi diam sejenak, cuba menahan rasa tidak puas hatinya. "Tapi, Abah... Sufi rasa, sebagai doktor dia, sepatutnya Sufi yang buat keputusan berkaitan hal ni. Sufi tahu keadaan Qaira lebih baik dari Abah."

Abahnya menatap anaknya dengan pandangan yang lebih serius. "Sufi, kamu doktor, tugas kamu cuma merawat dia. Itu saja. Jangan campur urusan peribadi dia. Apa yang berlaku antara Qaira dan keluarganya, itu hal mereka. Abah faham kamu mungkin prihatin, tapi jangan sampai lupa tujuan asal kamu."

Suara Abahnya menjadi sedikit lembut tapi tetap tegas, "Ingat, Sufi, niat kamu dulu cuma nak tolong Qaira sembuh. Tak lebih dari tu. Jaga batas, jangan terlalu ikut hati. Abah tak nak kamu terbawa-bawa dengan perkara yang tak sepatutnya."

Dr. Sufi menarik nafas dalam, cuba menahan rasa marah yang semakin mendesak. "Abah, Ummi... Fi cuma buat apa yang Fi rasa betul. Ini urusan Fi dengan Qaira. Tak perlulah Abah dan Ummi masuk campur." Suaranya sedikit meninggi, sesuatu yang jarang dilakukannya. Biasanya, Dr. Sufi begitu tenang dan menghormati kedua orang tuanya, tetapi kali ini emosinya jelas menguasai dirinya.

Ummi terkejut dengan reaksi anaknya. Dia memandang Sufi dengan mata yang dipenuhi rasa tidak percaya. "Sufi... kenapa kamu cakap macam tu? Ummi dan Abah cuma risaukan kamu. Ini bukan cara kamu selama ni."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 11 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Mr vs Mrs AmnesiaWhere stories live. Discover now