TIDAK lama selepas festival sekolah mereka tamat, lembaran baru pun dibuka. Bulan yang dinantikan umat Islam telah pun tiba.
Ramadan al-Mubarak.
Bulan kesembilan di dalam kalendar Hijrah di mana setiap penganut agama Islam diwajibkan untuk berpuasa selama sebulan.
Mereka bukan sahaja perlu berpuasa makan dan minum, tetapi juga menahan diri daripada melakukan perbuatan buruk ketika berpuasa. Serta digalakkan untuk melakukan amalan sunat dan kebaikan untuk mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Selain kerana kelebihan bulan mulia ini yang meningkatkan ketakwaan dan keimanan umatnya, Awani juga gembira menyambut kedatangan bulan rahmat ini atas beberapa perkara.
Tepat pukul empat pagi, dirinya sudah bangun dari tidur. Awani bergerak turun ke dapur dan mula menyediakan sahur. Semenjak dia berumur 14 tahun lagi, Awani menawarkan diri untuk memasak hidangan sahur dan berbuka untuk kedua ibu bapanya. Dia mahu menunjukkan rasa syukur dan berbakti pada mama dan papanya yang telah memeliharanya sejak kecil.
Dan juga kerana Awani suka dipuji oleh mama dan papanya.
“Allahu, sayang. Rajinnya anak mama ni bangun sahur. Siap masakkan lauk lagi. Awani masak apa, sayang?” Tanya Puan Arina yang masih memisat mata.
Awani tersenyum sumbing. Suka dikatakan rajin.
“Lauk simple je, ma. Awani masak ayam kicap, sambal udang, dengan sayur campur. Mama nak air apa? Awani buatkan."
Awani baru sahaja mencapai jag kaca ketika Puan Arina menahan bahunya. Jag itu kemudian berpindah tangan.
“Takpe, sayang. Biar mama buat air. Awani boleh tolong panggil papa? Tadi mama dah kejut dia, takut papa tidur balik.” Suruh Puan Arina.
Awani mengangguk patuh.
“Okay, ma.” Kakinya segera menapak keluar dari dapur menuju tangga.
Inilah yang Awani suka ketika bulan puasa tiba. Dia dapat makan sahur bersama mama dan papanya. Pada hari biasa, dirinya harus makan sarapan sendirian atau tidak makan langsung. Jadi selama sebulan ini, Awani dapat merasai keseronokan makan bersama ahli keluarganya.
Itu adalah salah satu kenikmatan Ramadan bagi Awani.
Tiba di tingkat dua, bilik tidur di sebelah kanan didekati. Lalu diketuk pintu kayu itu beberapa kali.
“Pa! Papa dah bangun ke?” Panggil Awani.
Tiada sahutan.
Pintu itu diketuk lagi.
“Papa! Bangun sahur!” Panggil Awani lebih kuat.
Tombol pintu akhirnya dipulas dari dalam.
“Ya, sayang. Papa dah bangun ni.” Mamai Tuan Shamsuddin dengan mata yang masih terpejam.
Tangan papanya dipegang lalu Awani menarik lelaki paruh baya itu keluar dari bilik. Tuan Shamsuddin menguap besar sebelum merangkul bahu anak daranya yang tinggi separas dagu.
Dengan berhati-hati, Awani memapah papanya yang masih mengantuk itu menuruni tangga.
“Papa balik awal kan hari ni?” Tanya Awani inginkan kepastian.
Tuan Shamsuddin membuka sebelah matanya. Kepala anak perempuannya yang berambut lepas itu diusap sayang.
“Ya, papa boleh balik pukul enam sepanjang bulan puasa ni. Jadi kita boleh buka puasa sama-sama.”
“Yay!” Sahut Awani ceria.
Selain sahur, berbuka puasa bersama juga sesuatu yang dinantikan Awani. Dia tidak akan dapat merasai semua ini di hari biasa. Hanya di bulan penuh barakah ini.
YOU ARE READING
Penolong Ketua Kelas [OG]
Teen Fiction✓ Teen Fiction ✓ School Life ✓ Slice Of Life ✓ Drama REVAMP + CONTINUATION Penolong Ketua Kelas by honey_buzz. 『✎ Start : 2.8.2024』