MINGGU ketiga bulan Syawal, Awani mengadakan rumah terbuka untuk rakan sekelasnya yang mahu bertandang.
Mata Awani mengerling jam di dinding ruang tamu. Waktu sudah menunjukkan pukul dua petang. Alfi berkata bahawa dia akan tiba bersama The Sisters pada pukul dua suku.
Awani memeriksa makanan yang tersedia di atas meja. Ini kali pertama dia akan menjamu rakan sekelasnya makan selain Alfi . Dia tidak pasti menu apa yang sesuai dihidangkan kepada mereka. Jadi Awani memilih untuk menyediakan makanan ruji yang selalu disediakan ketika rumah terbuka. Ketupat, rendang, lemang, nasi himpit dan sebagainya memenuhi meja.
Setelah memastikan tiada yang kurang, Awani beralih ke ruang tamu. Dia duduk di sofa dengan debaran kencang di dada. Menunggu tetamu yang pertama kali dibawa masuk ke dalam rumah. Setiap minit terasa seperti satu jam lamanya.
Beberapa minit kemudian, Awani mendengar bunyi loceng ditekan.
Ting tong!
"Dah sampai." Ujar Awani sedikit terperanjat.
Kakinya dibawa menuju pintu. Sebaik sahaja keluar dari rumah, suara laungan salam Alfi terdengar dari luar pagar.
"Assalamualaikum! Kami datang nak beraya!" Riuh lelaki itu.
Mahu sahaja dihempuk muka Alfi yang tersengih bagaikan kerang busuk tersebut. Gelagatnya tidak ubah seperti kanak-kanak yang datang meminta duit raya.
Awani membuka pagar rumahnya sambil memberi jelingan tajam kepada Alfi.
"Waalaikumusalam. Masuklah." Jemput Awani mesra pada tetamunya.
Alfi tanpa segan silu terus menonong masuk ke dalam rumah. Meninggalkan Awani dan The Sisters di belakang.
Awani hanya berdecih dengan kelakuan tidak sopan Alfi. Mentang-mentang dia dah selalu datang sini, Alfi buat ini macam rumah dia pula.
Kepala Awani tergeleng sembari dia berjalan masuk bersama Zunirah. Sementara Amelia dan Uzma sudah menyusul Alfi di hadapan. Ketika sedang menanggalkan kasut, Zunirah bercerita kepada gadis bermata empat itu.
"Kau nak tahu tak, Awani? Alfi tu sanggup tak makan sarapan semata-mata nak makan dekat rumah kau tau! On the way datang sini, dia asyik membebel dekat kitorang sebab bersiap lambat. Katanya dia lapar dan nak cepat-cepat datang rumah kau." Kening lebat gadis itu terjongket nakal.
Awani mencebik.
"Yelah tu. Tah-tah dia bangun lambat dan tak sempat nak sarapan. Tu yang dia jadi lapar sangat tu." Bidas Awani tak mahu Zunirah berfikir bukan-bukan.
Zunirah cemberut apabila kata-kata Awani juga kedengaran logik. Dia menyusun kasut sarungnya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Diikuti oleh Awani di belakang.
"Assalamualaikum." Zunirah memberi salam.
Sebaik sahaja masuk, mata Zunirah menangkap kelibat tiga manusia yang sedang menyerbu meja makan.
Dahi Zunirah berkerut dan pinggangnya dicekak.
"Hey! Korang fikir ini buffet hotel ke? Awani belum jemput lagi korang dah ambil makanan! Mana adab korang sebagai tetamu!" Marahnya garang.
Uzma dan Amelia menayangkan sengihan lebar. Alfi pula hanya memekakkan telinga dan sibuk memakan sate. Tangannya pula sibuk mengisi lemang dan rendang ke dalam pinggan plastik.
Betul-betul lapar ni. Awani berdecak kecil.
"Takpe, Zu. Jangan malu-malu. Memang aku sediakan semua ni untuk korang makan. Nak habiskan pun tak apa. Ada banyak lagi dekat dapur." Awani menenangkan Zunirah yang berpeluk tubuh.
"Haa, dengar tu Zu! Awani tak kisah pun kami jadi tak malu. Anggap je macam rumah sendiri! Kan, Awani?" Tanya Uzma pada gadis itu.
Awani hanya tersenyum tipis. Ikut sukalah nak buat macam rumah sendiri ke buat macam hotel. Asalkan semua selesa.
"Hm. Buat je macam rumah sendiri." Sokong Awani tidak kisah.
Zunirah mendengus kasar.
Kalau tuan rumah dah bagi kebenaran, dia tak boleh nak protes. Lagipun, perut dia pun dah buat konsert dari tadi.
Setelah Zunirah berlalu ke meja makan, Awani mencapai alat kawalan jauh di atas meja kopi. Mencari cerita yang boleh ditonton sebagai hiburan kepada tetamu.
Ketika Awani mencari siaran, suara Alfi bergema dari meja makan.
"Mana parents kau, Awani?" Tanya lelaki itu dengan mulut yang penuh dengan makanan.
Awani tidak menoleh dan hanya menjawab singkat.
"Keluar beraya."
"Ohh. Duit raya kami dapat tak?"
Awani menjeling Alfi dengan ekor mata. Tua-tua pun nak duit raya ke?
"Dapat. Nanti korang nak balik aku kasi lah." Jawab Awani malas.
"Berapa kami dapat?" Alfi bertanya lanjut.
Awani mengerutkan dahi. Ish, banyak tanya pula!
"Apa punya soalan kau tanya ni, Alfi? Mana ada orang tanya tuan rumah berapa duit dia kasi! Nanti kau dapat, kau tahulah!" Marah Zunirah bagi pihak Awani.
Bibir Awani menguntum senyuman senang kerana dirinya dibela.
Dia melihat Alfi yang kini bertekak mulut dengan Zunirah di meja makan. Sementara Uzma dan Amelia lebih berminat dengan makanan di hadapan mereka. Sesekali mereka ketawa apabila Zunirah mengetuk kepala Alfi dengan kekuranya.
Awani menghela nafas. Mereka ni memang tak boleh bawa pergi rumah orang. Perangai dah serupa haiwan zoo terlepas.
Ting tong!
Bunyi loceng ditekan menarik perhatian Awani.
"Oh, tu mesti Naufal." Gumamnya lalu menekan sebarang cerita di TV.
Dia kemudian bergegas ke pintu untuk menyambut tetamu seterusnya. Tengku Naufal dan dua rakan baiknya, Amir dan Adif.
Sedang memakai kasut, Awani mendengar laungan salam dari Tengku Naufal.
"Assalamualaikum, Awani! Boleh kami beraya?" Tanya Tengku Naufal sopan.
Senyuman manis terukir di bibir si gadis.
Haa, macam inilah kita nak. Sopan, beradab, penuh budi bahasa. Bukan macam Alfi yang datang macam nak merompak.
Awani membuka pagar rumahnya dan berbalas senyuman dengan Tengku Naufal. Dia turut melemparkan senyuman mesra kepada Amir dan Adif di samping lelaki itu.
"Waalaikumusalam. Jemputlah masuk." Pelawa Awani dengan senang hati.
.
.
.
TBC
YOU ARE READING
PENOLONG KETUA KELAS [OG]
Novela Juvenil𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 Penolong Ketua Kelas by honey_buzz. ✓ Teen Fiction ✓ School Life ✓ Slice Of Life ✓ Drama 『✎ Start : 2.8.2024』