JIKA ditanya seisi sekolah, adakah Alfi adalah api atau air, semuanya akan memberikan jawapan yang sama.
Api.
Alfi itu seperti bom yang menunggu masa untuk meletup.
Datangnya ke sekolah mereka bagaikan taufan dan angin ribut.
Hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah, dirinya lantang bersuara memperkenalkan diri di hadapan kelas 4 Sains tanpa rasa gentar.
"Nama aku Mohamad Alfi Bin Abdul Mujjahid. Tinggi 179cm, berat 64kg. Saiz baju L, saiz kasut 43. Minat sukan berbasikal dan bola keranjang. Hobi main gitar. Ayah ahli korporat, ibu peguam. Anak kedua dari empat adik-beradik. Cita-cita peguam korporat."
Habis diceritakan biodata lengkap dirinya kepada seluruh kelas yang melopong luas. Katanya, dia kerap ditanya soalan yang sama dan tidak akan menjawab lagi jika mereka tidak mendengar maklumat yang disampaikannya.
Tidak cukup dengan itu, Alfi juga tidak segan silu untuk menawarkan diri menjadi ketua kelas.
Dia bahkan sudah sedia menyenaraikan pencapaian dan sumbangannya sebagai ketua kelas di sekolah lamanya. Membuatnya terpilih tanpa sebarang bantahan.
Kemana sahaja Alfi pergi, dirinya akan dipandang dan disanjung tinggi. Umpama seorang putera raja di kalangan himpunan rakyat jelata. Jalan yang sesak pun akan dibuka untuknya melintas. Aura Alfi yang dingin dan berbahaya itu membuat pelajar lain cukup takut jika tidak mengenalnya.
Walaupun api itu berbahaya sifatnya, tetapi api juga mampu menyalurkan kehangatan dan keamanan.
Begitu juga dengan Alfi yang kelihatan tegas dan tidak ramah, tetapi mempunyai sisi lembut dan prihatin yang membuat ramai yang selesa dengannya.
Alfi itu ibarat seorang abang sulung yang peduli dengan adik-adiknya.
Setiap masalah yang boleh menjejaskan prestasi akademik mahupun kokurikulum, boleh berunding dengan Alfi yang bijaksana. Dia boleh memberi jalan penyelesaian atau membuka jalan kepada mereka yang mati akal.
Kerana sikapnya yang satu itu, jarang ada yang membencinya. Kecuali jika mereka menyimpan sebuah dendam atau dengki dengan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin. Atau cemburu dengan daya tarikan Alfi yang menyebabkan ramai pelajar perempuan tumbang.
Awani pula bagaimana?
Api atau air?
Pasti ramai yang akan memilih air.
Jawapannya salah.
Awani juga adalah api.
Walaupun tampak pasif, Awani itu orangnya berdedikasi tinggi. Sama seperti Alfi, orangnya juga tidak kalah tegas.
Di tingkatan satu, semasa sesi perkenalan diri, ucapannya cukup singkat.
"Nama diberi Awani Safiah Binti Shamsuddin. Ayah research scientist. Ibu interior designer. Anak tunggal. Hobi membaca. Tak minat sukan. Cita-cita jurutera proses."
Ringkas dan padat.
Gadis itu yang tidak suka membuang waktu berbual kosong terlihat sombong dan tidak ramah di mata rakan sekelasnya.
Tetapi itu bukanlah suatu masalah untuk si gadis nerd. Asalkan tiada sesiapa mengganggunya, dia cukup senang dibiarkan sendirian menelaah bahan-bahan bacaannya.
Awani mungkin pendiam, tetapi dirinya bukan pemalu.
Walaupun tidak mendapat perhatian dari rakan sebayanya, tetapi gadis itu popular di kalangan guru. Gadis pintar itu sering dirujuk tentang caranya membuat ulang kaji dan bagaimana dia boleh mendapat markah tinggi untuk semua subjek.
YOU ARE READING
PENOLONG KETUA KELAS [OG]
Dla nastolatków𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 Penolong Ketua Kelas by honey_buzz. ✓ Teen Fiction ✓ School Life ✓ Slice Of Life ✓ Drama 『✎ Start : 2.8.2024』