BAB 72

8 1 0
                                    

TIDAK lama selepas menyambut hari ulang tahun Awani dan Tengku Naufal, kini tiba giliran Alfi.

Untuk majlis hari jadinya, dia telah mengajak seisi kelas ke rumahnya. Dan seperti biasa, mereka dipaksa untuk menghadirkan diri.

Awani?

Jangan tanya.

Dia pun dah penat nak layan perangai Alfi.

Hanya simbol 'okay' yang diberikan gadis itu apabila Alfi bertanya jika dia boleh hadir atau tidak. Malas nak bersuara. Bukan Alfi nak dengar pun.

"Aku nak hadiah juga macam Naufal. Bagilah pen seringgit ke, buku nota 555 ke, apa ke. Aku terima seikhlas hati." Pintanya tak tahu malu.

Awani mendengus.

Nasib baik dia memang dah rancang nak beli hadiah untuk Alfi. Bulan lepas Alfi bagi dia sebuah novel Inggeris dengan tajuk The Silent Patient edisi hardcover. Buku yang menjadi rebutan di kedai. Tetapi diberikan kepada Awani secara percuma sebagai hadiah hari jadi.

Jadi untuk membalas kebaikan lelaki itu, dia juga merancang untuk memberikan Alfi sesuatu. Tetapi Awani masih tidak tahu hadiah apa yang sesuai untuk lelaki itu.

Mungkin dia boleh tanya Tengku Naufal nanti.

"Yelah, yelah. Nanti aku belikan kau hadiah. Tapi kalau kau tak suka, itu masalah kau. Siapa suruh kata tak kisah dapat hadiah apa, kan?" Sindir Awani.

Alfi hanya tersengih busuk. Tak terkesan dengan sindiran Awani. Tetapi dia tertarik dengan hadiah apa yang akan diberikan gadis itu padanya.

Mungkin ini yang dirasakan Tengku Naufal tempoh hari. Alfi juga tidak peduli jika hadiah yang diterimanya murah atau mahal. Asalkan ia datang dari gadis nerd tersebut.

Tak perlu hadiah mahal, asalkan ikhlas.

.

.

.

1 OKTOBER.

Akhirnya tiba tarikh keramat untuk insan lelaki yang dikurniakan nama Mohamad Alfi bin Abdul Mujjahid.

Saat Awani tiba di kelas pagi itu, dia melihat ada beberapa pelajar perempuan yang berkerumun di meja Alfi.

"Cari siapa?" Tanya Awani sembari berjalan ke mejanya.

Serentak, tiga orang gadis itu menoleh. Awani mengenal salah seorang dari mereka. Gadis dari kelas 5 Ekonomi yang pernah mengajak mereka sekelas menghadiri majlis hari jadinya. Pelajar perempuan tag nama Syamimi membuka mulut.

"Awak, hari ni birthday Alfi, kan?" Tanyanya sopan.

"Haah. Hari ni hari jadi dia." Jawab Awani hairan.

Bagaimana mereka tahu hari ni hari jadi Alfi?

Awani yang sudah menjadi rakan sekelas dengan lelaki itu selama setahun lebih pun hanya tahu bulan lepas. Itupun sebab Alfi sendiri yang bagitahu. Macam mana tiga orang gadis dari kelas lain ini tahu tentang tarikh kelahiran Alfi? Mungkin dari media sosial?

Sedang Awani berteka-teki, Syamimi datang merapati.

"Boleh tak saya nak minta tolong awak?" Tanya gadis itu.

Awani mengangkat sebelah kening.

"Tolong apa? Kalau saya boleh tolong, saya usahakan."

"Saya ada belikan hadiah untuk Alfi."

Syamimi meletakkan sesuatu di atas meja Awani. Apabila Awani menunduk, dia melihat sebuah kotak hitam yang diikat kemas dengan riben putih. Kotaknya cukup elegan dan tampak seperti barangan berjenama. Namun saiznya hanyalah dua jengkal jari Awani.

Pasti hadiahnya pen atau tali leher, teka Awani di dalam hati.

"Saya nak minta tolong awak pass-kan hadiah ni dekat Alfi. Tapi awak jangan cakap ini dari saya. Awak cakap je hadiah ni awak yang bagi." Pinta Syamimi menolak kotak itu ke arah Awani.

Si gadis nerd pastinya terkejut.

"Eh, kenapa saya kena cakap ini hadiah saya? Ini kan awak beli guna duit awak sendiri." Ujar Awani yang merasakan permintaan gadis itu agak tidak masuk akal.

Syamimi tersenyum canggung.

Dia memandang kedua rakannya yang juga saling berpandangan. Mereka sepertinya faham kenapa Syamimi berkata sebegitu. Kemudian salah seorang dari mereka yang bertag nama Hazwa menjawab bagi pihak gadis bertocang dua itu.

"Awak tak tahu apa yang jadi tahun lepas?"

Awani menggeleng perlahan.

Tahun lepas?

Ada sesuatu yang jadi ke masa hari jadi Alfi tahun lepas? Kenapa Awani tak pernah dengar pun sebelum ni? Ke memang ada sesuatu yang jadi tapi Awani buat tak endah?

"Alfi buang semua hadiah yang dia dapat dari peminat dia."

Awani tersentak dengan kata-kata Hazwa. Biar betul?

Bagaikan dapat membaca air muka Awani, gadis bernama Umi yang belum suara itu pula menambah.

"Ya, awak. Tak kiralah hadiah tu mahal ke, murah ke, semua dia buang. Alfi kata dia tak suka orang yang dia tak kenal bagi dia hadiah. Takut dalam kalangan peminat dia yang ada berniat tak baik dan bagi benda bukan-bukan. Jadi dia tolak semua hadiah termasuk kad ucapan." Ceritanya panjang lebar.

Awani yang tekun mendengar menjadi terkedu sendiri. Tak sangka Alfi mempunyai pengalaman sebegitu.

Tiba-tiba Awani menjadi takut pula. Macam mana kalau hadiah yang dia dapat setiap tahun tu sebenarnya dari seseorang yang berniat tak baik? Tapi Awani hanya dapat hadiah kad, bunga, coklat, dan selendang. Dan setakat ni tak ada apa-apa yang jadi pada dia atau mama yang makan coklat pemberian insan misteri itu. Mungkin orang tersebut memang berniat baik.

Walaupun Awani selamat buat masa sekarang, dia akan lebih beringat di masa akan datang.

Tapi kalau Alfi dah buat kenyataan sebegitu, kenapa Syamimi masih berdegil nak berikan hadiah untuk Alfi? Kalau mereka saling kenal, kenapa Syamimi tak bagi sendiri je hadiah tu dekat Alfi? Bukan ke Awani dikira bersubahat kalau dia bersetuju dengan permintaan Syamimi?

Wajah Awani bertukar serius.

"Kalau macam tu, saya tak boleh nak tolong awak. Saya hormat pendirian Alfi dan saya tak nak dia hilang kepercayaan pada saya. Lagipun, saya tak nampak apa faedah saya menipu Alfi. Silap haribulan, saya yang kena marah dengan dia." Tolak Awani setegas mungkin.

Cukuplah kes surat cinta dulu jadi pengajaran untuk Awani. Dia dah serik kena hirau dengan Alfi. Lelaki tu lagi menyampah perangainya apabila diam daripada bersuara.

Syamimi tunduk dengan muka kecewa. Hadiah itu diambil semula. Kecil hatinya apabila permintaannya ditolak oleh Awani. Saat dia ingin meminta diri, suara Hazwa singgah di gegendang telinga Syamimi.

"Awak sebenarnya jealous kan perempuan lain bagi hadiah dekat Alfi?"

Mata Syamimi terbuntang luas.

"Wawa! Kau cakap apa ni?" Pekik Syamimi yang terkejut.

Hazwa menghiraukan rakannya di sebelah. Dia mencerlun tajam ke arah Awani yang berkerut dahi. Tidak faham dengan kata-kata gadis itu.

"Apa maksud awak?" Tanya Awani inginkan penjelasan.

Hazwa berdecak sinis. Dia berpeluk tubuh dengan gaya angkuh. Gadis bermata empat itu direnung dengan wajah ketat. Jelas dari raut wajahnya yang dia tidak sukakan Awani.

"Kami tahu yang awak sebenarnya ada hati dengan Alfi."

.

.

.

TBC

PENOLONG KETUA KELAS [OG]Where stories live. Discover now