BAB 65

11 2 0
                                    

HARI RAYA pertama selalunya disambut Awani bersama ahli keluarganya terlebih dahulu.

Awani akan melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid berdekatan bersama mama dan papa. Kemudian mereka akan kembali ke rumah dan bersiap untuk mula beraya.

Semestinya, sesi salam-bersalaman dan meminta maaf menjadi pembuka tirai.

“Selamat hari raya, mama, papa. Awani minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki kalau ada salah dan silap. Halalkan makan minum Awani dan doakan Awani berjaya dunia dan akhirat.” Ucap Awani yang menyalami tangan keduanya.

Tubir mata Tuan Shamsuddin mula bergenang.

Walaupun dia seorang lelaki, tetapi matanya lebih mudah berpeluh berbanding anak dan isterinya. Setiap tahun sesi maaf-bermaafan ini dilakukan, setiap kali juga Tuan Shamsuddin menitiskan air mata. Biarpun ayat yang diucapkan Awani itu tidak berubah dari dahulu.

Entahlah, melihat anak permata wayangnya yang setiap tahun semakin besar dan matang, hati seorang ayahnya menjadi hiba.

Puncak kepala Awani yang bertudung selendang itu diusap sayang.

“Papa pun nak minta maaf sebab tak mampu untuk jadi seorang ayah yang baik. Walaupun papa jarang luangkan masa dengan Awani, tapi papa sentiasa sayangkan anak dara papa ni.” Sebuah kucupan lembut dijatuhkan pada dahi Awani.

“Mama pun sama. Maafkan mama sebab kurang bagi kasih sayang pada Awani.” Sambung Puan Arina yang mencium kedua pipi Awani penuh sayang.

Bibir Awani yang tercalit pelembap membentuk senyuman tipis. Gembira kerana dia menerima sentuhan cinta dari insan yang membawanya ke dunia.

Tangan mama dan papanya dicium sebelum kucupan dilayangkan pada pipi kedua-duanya.

“Terima kasih besarkan Awani dari bayi hingga remaja. Awani sayang mama dan papa.” Katanya bersama segaris senyuman ikhlas.

Tuan Shamsuddin yang sebak menarik anaknya ke dalam pelukan. Awani hanya tertawa geli hati dengan tingkah papanya yang tidak kena dengan usia. Sementara Puan Arina hanya menggeleng dengan tingkah memalukan suaminya.

Setelah sesi air mata itu berakhir, barulah upacara yang dinantikan setiap anak-anak di pagi raya tiba.

Upcara pemberian duit raya!

“Disebabkan Awani dah jadi anak yang baik, rajin, solehah, dan pandai jaga maruah diri, tahun ni papa dan mama bagi lebih dari tahun sebelum ni. Nah, duit raya untuk Awani.” Tuan Shamsuddin tersengih lebar.

Sepucuk sampul raya berwarna hitam diletakkan atas kedua tangan Awani yang sedang menadah. Ketebalan sampul itu sudah membuat Awani berdegup teruja. Dia memandang papa dan mamanya yang tersenyum penuh makna.

Jantung Awani mula berdebar-debar. Agak-agak berapa papa dan mama bagi tahun ni?

Tahun lepas dapat RM500 pun Awani dah rasa banyak. Tapi papa kata tahun ni dia bagi lebih. Mungkin papa letak RM700? Tak mungkinlah papa letak seribu ringgit kan?

“Awani buka ya.” Umum Awani sebelum membuka sampul tersebut perlahan-lahan.

Tuan Shamsuddin dan Puan Arina menanti reaksi anak mereka dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Mereka pasti Awani akan terkejut beruk melihat jumlah duit raya di dalam sampul tersebut.

Mata Awani membulat besar apabila mendapati wang di dalam sampul tersebut hanya terdiri daripada kepingan duit seratus ringgit. Dikeluarkan setiap helaian wang tersebut lalu dikira dengan jantung yang berdegup kencang.

Melopong mulut Awani setelah dia mengetahui jumlah yang diberikan papa dan mamanya.

“D-Dua ribu?! Banyaknya! Awani nak buat apa dengan dua ribu ni?!” Awani menatap papa dan mamanya dengan wajah tidak percaya.

Kalau dia ada penyakit asma, sudah lama Awani pengsan di situ juga. Terkejut yang amat!

Mamanya hanya ketawa sakan melihat reaksi anak daranya. Sudah dia tahu Awani akan terkejut besar kerana memang ini rancangannya bersama sang suami. Mahu membalas budi Awani yang telah menjaga makan dan pakai mereka ketika mereka sibuk mencari nafkah.

“Anggaplah ini upah Awani sebab dah berbakti pada mama dan papa sepanjang bulan puasa ni.” Pipi Awani diusap lembut oleh Puan Arina.

Tuan Shamsuddin menambah pula.

“Papa kalau boleh nak bagi lebih lagi. Tapi mama tak bagi. Dia kata nanti Awani tolak dan pulangkan semula duit tu. Jadi kami cuma bagi banyak ni je.” Ada nada kecewa di hujung ayatnya.

Awani terpegun. Tercengang. Tergamam.

Dengan duit sebanyak ini, Awani dah tak perlu nak beraya ke rumah orang lain untuk dapatkan duit raya. Dia dah boleh salin baju pakai T-shirt dah. Tak payah keluar menziarah saudara-mara.

Bersama suara yang bergetar, Awani berbicara.

“T-Terima kasih, papa, mama. S-Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.”

.

.

.

WALAUPUN cuti hari perayaan telah habis, namun sambutan hari raya itu masih berlangsung.

Sebaik sahaja mereka kembali ke sekolah selepas seminggu cuti beraya, Alfi sudah membuat pengumuman di hadapan kelas.

“Siapa dekat sini yang akan buat open house? Aku nak buat jadual beraya.” Tanyanya pada seisi kelas.

Alfi merancang mahu hadir ke setiap rumah terbuka yang dilakukan oleh rakan sekelasnya. Melihat hampir kesemua mereka mengangkat tangan, dia tersenyum lebar. Sudah menjadi lumrah rakyat Malaysia untuk mengadakan rumah terbuka walaupun hanya sekadar menyajikan biskut kering dan teh ketika hari raya.

Tetapi tidak untuk Awani.

Awani tidak tahu jika ada yang sudi datang ke rumahnya andai dia mengadakan open house. Jadi dia tidak pernah mengajak sesiapa untuk datang beraya.

Namun nampaknya, tahun ini dia tak boleh mengelat lagi. Kerana ada Alfi yang tanpa bertanya terlebih dahulu, sudah memberi arahan.

“Awani, tahun ni aku nak datang beraya rumah kau. Walaupun kau cuma hidang air paip, aku tak kisah. Janji aku dapat beraya. Boleh kan?” Alfi tersengih tak tahu malu.

Seluruh kelas menoleh ke arah Awani apabila Alfi berujar begitu. Awani dapat mendengar suara pekikan halus dari Zunirah di barisan belakang. Pasti berfangirl kerana interaksi antara dia dan Alfi.

Awani menghembuskan nafas panjang.

Dia ada pilihan ke kalau Alfi sudah nekad dengan keputusannya? Nak tak nak, dia kena setuju juga. Tapi Awani tidaklah begitu kejam sehingga hanya mahu menyajikan air paip kepada tetamu.

Belum sempat Awani memberi jawapan kepada Alfi, suara seseorang menarik perhatiannya.

“A-Awani! Aku pun nak pergi beraya rumah kau!”

Itu suara Tengku Naufal.

Awani menoleh ke belakang. Mencari kelibat Tengku Naufal. Terkebil-kebil Awani memandang lelaki itu yang tersenyum malu.

“Kau nak datang juga, Naufal?” Tanya Awani balik. Takut dia salah dengar.

Tengku Naufal mengangguk mantap.

Mana boleh Alfi je datang ziarah rumah Awani. Dia pun nak!

Walaupun dia kedengaran seperti Alfi yang sudah putus urat malu kerana ingin datang walau tidak dijemput, tetapi Tengku Naufal tebalkan muka. Ini adalah peluang untuk dia rapat dengan Awani!

Apabila sudah ada lebih dari seorang yang mahu datang ke rumahnya, Awani tiada pilihan selain bersetuju.

Dia memandang Alfi dan Tengku Naufal silih berganti sebelum Awani mengeluh sekali lagi.

“Okay, nanti aku buat open house.” Awani pasrah.

.

.

.

TBC

PENOLONG KETUA KELAS [OG]Where stories live. Discover now