HANYA ada dua alasan mudah kenapa Awani tidak menyukai Alfi sejak hari pertama lelaki itu melangkah masuk ke Sekolah Menengah Tinggi Haji Osman.
Yang pertama, peminatnya.
Terlalu ramai dan terlalu bising.
Awani yang gemar membaca buku di pagi hari, terganggu apabila Alfi yang juga mempunyai tabiat datang awal, mengundang peminatnya untuk membuat kecoh.
Ada sahaja pelajar perempuan yang berkerumun di meja lelaki itu dan mengajaknya berbual. Walaupun jarak meja mereka ketika itu selang tiga baris, namun pekikan suara peminat Alfi tetap mengganggu pembacaan Awani.
Alfi memang sudah bertegas, tetapi caranya yang cuma menyebut satu kata "Berambus." itu hanya menambah masalah. Bukannya berkurang, malah meningkatkan bilangan peminat Alfi yang sudah memberinya gelaran Ice Prince.
Awani jengah. Dia akhirnya memutuskan untuk mengulangkaji di perpustakaan. Walaupun terpaksa mengorbankan tiga minit waktu berharganya, itu lebih baik daripada cuba untuk fokus dalam suasana bingit.
Hal itu berlarutan selama hampir tiga bulan dan telah menanam rasa kesal di hati Awani terhadap Alfi.
Dan alasan kedua kenapa Awani membenci Alfi adalah sikap angkuhnya.
Awani akui bahawa Alfi adalah seorang pelajar yang hebat. Baru sebulan masuk, sudah ada tiga jawatan besar disandangnya. Tetapi itu juga menjadikan Alfi seseorang yang mendabik dada.
Kerana lelaki itu merupakan ketua kelasnya, Awani pernah ditegur dengan kata-kata sinis.
“Jangan jadi katak bawah tempurung sangat. Cuba bergaul dengan orang lain. Tak luak pun ilmu kau kalau berkawan dengan manusia.” Cemuhnya membuat Awani jengkel.
Bukan Awani tidak cuba berkawan, tetapi apa yang disukainya tidak selari dengan apa yang diminati rakan sekelasnya yang lain. Susah Awani mahu mencari teman berbual yang mahu bertukar cerita perihal kejadian sains dan unsur kimia yang diminatinya.
Jadi Alfi yang sembrono membuat andaian dia tidak cuba membuat kawan, menjentik suis marah dalam diri Awani selama satu tahun lamanya. Tidak dilayan lelaki itu apabila cuba bercakap dengannya kecuali jika melibatkan hal kelas dan pelajaran.
Sehinggalah di tahun akhir mereka, Awani diangkat menjadi penolong ketua kelas.
Dari situlah titik permulaan kehidupan Awani berubah sedikit demi sedikit. Awani melihat bagaimana Alfi menjalankan tugasnya sebagai ketua dan bergaul dengan rakan sekelasnya bagaikan kawan karib. Jadi Awani cuba menjadikan lelaki itu sebagai contoh dan cuba lebih mesra dengan rakan sekelasnya.
Apabila dia lebih terbuka, barulah Awani memahami niat Alfi yang menyuruhnya berkawan setahun yang lalu.
Lelaki itu tak mahu sesiapapun dipulau dan diabaikan sepanjang mereka berada di bawah jagaannya. Sifat kepimpinan Alfi itu sememangnya disanjung tinggi oleh Awani walaupun disertai rasa menyampah.
Tapi jika ditanya apa perasaan Awani terhadap Alfi sekarang...
Hormat? Ya.
Selesa? Mungkin.
Suka? Tidak.
Awani selesa berbual dengan Alfi perihal tugas mereka sebagai pemimpin kelas. Senang bagi Awani melaksanakan tugasnya apabila Alfi mampu memberi jawapan yang dia mahukan. Mudah untuk Awani berkongsi pendapat tanpa dipandang hairan.
Alfi adalah rakan seperjuangan yang membuat Awani sedar dirinya masih seorang pelajar yang normal. Jadi dia bersyukur, Alfi hadir dalam hidupnya dan mengajar dia yang kaku bagaimana mahu bergaul dengan yang lain. Bagaikan dibuka sebuah pintu yang tidak diketahui kewujudannya sebelum ini.
Namun ia bukan bermakna Awani bakal suka dengan lelaki itu. Jauh sekali jatuh cinta.
“Aku tak percayalah kau tak ada crush dekat Alfi! Muka dia tu dah iras-iras Park Bogum! Sekali tengok, mesti nak usya lagi! Aku boleh jamin, setiap pelajar perempuan mesti pernah ada hati dekat Alfi walaupun sekali!” Ujar Amelia penuh semangat.
Awani menggaru kepalanya yang tak gatal.
Siapa pulak Park Bogum tu? Kacak sangat ke sampai disamakan dengan Alfi? Aduh, tak kenallah kalau pasal artis-artis ni...
“Kau fikir semua orang macam kau ke, Meli? Pantang hensem sikit, semua kau nak jadikan crush.” Perli Zunirah membela Awani.
“Tah. Cuba kau tengok Zu. Dari tingkatan satu sampai tingkatan lima, crush dia sorang tu je. Setia!”
“Oi! Tak payah sebutlah pasal dia!” Marah Zunirah menampar lengan Uzma yang tersengih tak berdosa.
Awani tersenyum geli hati. Telatah tiga sekawan itu tidak ubah seperti kanak-kanak ribena. Sentiasa riuh dan ceria.
Dengan pertengkaran mulut antara Zunirah dan Uzma, maka berakhirlah sudah topik perbualan mengenai crush yang dibangkitkan oleh Amelia.
Mereka kemudian membuka topik baharu tentang drama Korea yang baru ditayangkan di televisyen. Meskipun tidak mengerti, Awani hanya mendengar dengan saksama dan ikut tertawa apabila Uzma membuat lakonan semula.
.
.
.
AWANI merenung baju jersey hitam dengan corak merah burgundy pada sehelai kain itu. Lalu dibalikkan baju tersebut untuk melihat tulisan di belakang. Namanya ‘AWANI’ dalam tulisan putih terpampang jelas di permukaannya.
Bibir si gadis mengorak senyuman nipis.
Ini adalah jersey pertama yang dimiliki Awani. Selama ini dia menyangka baju itu hanyalah untuk para atlet dan pemain sukan. Tetapi apabila dia mendapat jersey tersebut dari team marketing, Awani berubah fikiran.
Sepanjang hari mengenakan baju itu ketika festival, Awani dapati dia berasa selesa dan tidak mudah berpeluh. Padanlah kenapa baju jenis ini yang dipilih Taufik yang bertanggungjawab menguruskan tempahan baju untuk mereka.
Namun setelah festival sekolah mereka selesai, Awani tidak tahu apa fungsi jersey itu lagi.
“Apa nak buat dengan baju ni? Nak bagi orang, tapi dekat belakang dah ada nama. Nak buang, sayang pulak sebab baru pakai sekali. Haih...” Keluhnya dilema.
Walaupun kainnya sedap dipakai, tetapi coraknya begitu menjolok mata. Awani tidak yakin untuk memakainya di khalayak umum. Terlebih lagi dengan namanya yang terpampang jelas di belakang baju. Malulah kalau semua orang tahu apa namanya kerana baju itu.
Mengeluh kecil, Awani memutuskan untuk menyimpan sahaja jersey tersebut di dalam almari.
“Bolehlah buat kenang-kenangan.” Ujarnya berseloroh.
Baju yang tergantung itu diamati sekali lagi.
Apabila dia melihat jersey tersebut, fikiran Awani melayang pada saat-saat ketika dia menjalankan projek escape room itu bersama rakan sekelasnya.
Pengalaman membina dan menghias bilik Sains, kerenah para peserta yang buat Awani sakit kepala, makan bersama The Sisters, dan konspirasi yang berlegar antara hubungannya dan Alfi.
Walaupun pelbagai perkara telah berlaku, tetapi Awani menikmati setiap memori yang tercipta sepanjang tempoh sebulan ini.
“All's well that ends well.” Ucap Awani sebelum menutup pintu almari kayu miliknya.
.
.
.
TBC
YOU ARE READING
PENOLONG KETUA KELAS [OG]
أدب المراهقين𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 Penolong Ketua Kelas by honey_buzz. ✓ Teen Fiction ✓ School Life ✓ Slice Of Life ✓ Drama 『✎ Start : 2.8.2024』