Setelah seharian melakukan aktiviti membuat gajet perkhemahan di kem itu, malam kembali menjelma. Jika malam semalam mereka duduk mengelilingi unggun api dan bercerita, malam ini mereka mendengar tazkirah.
Ain dan semua pengawas yang ada duduk seolah mengepung pelajar lain. Hari ini ustazah menghuraikan tentang surah al-Insyirah. Ain amat tertarik kerana cara penyampaian ustazah itu yang santai tetapi padat dengan ilmu.
"Siapa..."
Terkejut Ain apabila mendengar bisikan itu. Mereka bukan di dalam surau atau sebagainya, sekadar membentang tikar dan sejadah lalu solat di kawasan lapang kem itu.
Angin kuat menerpa. Ain meremang, Afif dan Ghaffar di barisan hadapan juga memandang satu sama lain. Mereka dapat merasakan kehadiran sesuatu...
"AAAAAA!" Jeritan nyaring kedengaran. Ianya betul-betul berjarak 1 baris daripada Ain.
Tazkirah terhenti, semua mata tertumpu pada punca suara tadi. Ain, Fatihah dan Lyla terus bangkit daripada duduk.
"Syaza..." Pelajar yang menjerit tadi bergerak perlahan, menjauhi rakannya yang bernama Syaza itu.
"Siapa..." Suara Syaza garau, nadanya marah. Matanya hitam, irisnya berwarna merah. Telekungnya dibuka dan dicampak entah ke mana.
"ALLAH, KHAI!" Kedengaran satu jeritan lagi, kali ini pelajar lelaki barisan belakang Afif pula terkejut dengan perubahan rakannya. Jika pelajar perempuan mata hitam dengan iris merah, pelajar lelaki bernama Khai ini pula putih matanya. Wajah kedua-duanya pucat tidak berdarah.
"Pulangkan..." Gumam Khai. Cukup menyeramkan untuk sesiapa yang mendengar.
Mulut ustazah terkumat-kamit. Keadaan mula kecoh apabila bilangan pelajar yang dirasuk mencecah 10 orang.
Lyla juga turut dirasuk. Panik Fatihah dan Hanni mengawal sahabat mereka itu. Pengawas dan fasilitator lelaki melaungkan azan.
Syaza yang pertama sekali dirasuk meliuk lentok kepanasan. Dengan penuh amarah, tangannya lurus diangkat ke arah Rynz. Entah bagaimana, Rynz terangkat ke udara dan merasa lemas seolah dicekik. Zik turut menjadi mangsa. Terkumat-kamit mulut mereka membaca surah yang terlintas difikiran, namun semuanya berterabur.
"DIAMLAH MANUSIA!" Bergegar tanah dengan jeritan murka syaitan yang merasuk Syaza.
Rynz dan Zik jatuh ke tanah. Tercungap-cungap mereka mencari nafas. Fasilitator dan pelajar lelaki lain terus ketakutan dan berhenti melaungkan azan, kecuali Afif dan Ghaffar.
"AKU KATA DIAM, DIAM!" Kini tangan Syaza menghala ke arah Afif dan Ghaffar.
Ain tanpa menunggu lama terus menolak Syaza hingga jatuh ke tanah. Dia pantas bangkit dan membuka langkah silat.
"Jangan usik abang aku," Ain separa berbisik.
Syaza yang dirasuk menerkam Ain ganas. Sambil menepis, mulut Ain terkumat-kamit membaca ayat-ayat perlindungan. Dia hanya bertawakkal kepada Allah.
"Hanni, Tiha jangan tahan Lyla kuat sangat. Nanti dia yang sakit!" Sempat Ain melaung kepada Fatihah dan Hanni yang sibuk mengendalikan Lylabella.
"Roger boss!"
Ain tiba-tiba merasakan angin lembut menerpa wajahnya.
"Assalamualaikum, Puteri Kasturi Elzahra."
"Waalaikumussalam. Ratna, apa yang kau lakukan di sini?" Ain menyoal separa berbisik.
"Gunakan kekuatanmu, tuanku."
"Ada terlalu ramai manusia di sini."
"Lihat apa yang pernah terjadi di sini, tanyakan pada pohon tua itu. Aku akan menahan jin ini untuk sementara."

YOU ARE READING
Setalamz : Nanti...
Teen FictionSiapa saja tidak kenal SMK Tengku Aiden Hanafi? Sekolah yang menempatkan anak-anak orang ternama. Hanya orang istimewa boleh berada di sekolah ini. Pergaduhan menjadi makanan, tumbukan dan sepakan menjadi perbualan, maksiat berleluasa tanpa dihalang...