56

2.2K 107 3
                                        

HOSPITAL itu kembali menyambut mereka, kali ini bukan sekadar untuk pemeriksaan singkat.

Bangunan itu tidak berubah. Lantai masih berkilat. Bau antiseptik masih sama. Tetapi setiap kali mereka melangkah masuk, hati mereka terasa semakin berat seolah-olah hospital itu bukan lagi tempat untuk sembuh, tetapi tempat untuk belajar menerima.

Delisha tidur di atas katil ketika jururawat menolak perlahan menyusuri koridor. Tubuh kecil itu kelihatan terlalu ringan di atas cadar putih. Nafasnya masih teratur, tetapi ada keletihan yang tidak mampu lagi disembunyikan.

Cadar itu kelihatan terlalu besar untuk tubuh sekecil itu. Setiap gerakan dadanya ketika bernafas kelihatan jelas, terlalu jelas untuk seorang kanak-kanak yang sepatutnya berlari dan ketawa tanpa henti.

“Isha okay,” katanya perlahan ketika mata kecil itu terbuka sedikit.

Nada itu bukan meyakinkan. Ia seperti ayat yang diulang kerana sudah terbiasa mengucapkannya.

Dahlia menggenggam tangan anaknya. “Okay sayang. Kita rehat sikit kat sini ya.”

Delisha mengangguk, lalu memejamkan mata semula.

Matanya tertutup dengan mudah. Terlalu mudah untuk seorang kanak-kanak yang biasanya sukar dipujuk tidur.

Kasyaf berjalan di sisi katil, langkahnya terkawal tetapi rahangnya mengeras. Dia tidak bercakap sejak mereka keluar dari rumah tadi. Bukan kerana tiada kata, tetapi kerana terlalu banyak yang berlegar di kepalanya.

Jururawat berhenti di hadapan sebuah bilik.
“Encik, puan… kita masukkan Delisha ke wad untuk pemantauan ya. Sekurang-kurangnya dua puluh empat jam.”

Ayat itu tidak panjang, tetapi cukup membuatkan Dahlia terasa lututnya lemah.

“Wad?” suaranya hampir berbisik.

“Ya puan. Cuma untuk pantau lebih dekat.”

Cuma.

Perkataan itu tidak pernah benar-benar menenangkan.

Di dalam wad, Delisha disambungkan kepada monitor. Bunyi beep kembali menemani. Bunyi yang kini terlalu dikenali oleh Dahlia.

Kasyaf berdiri di hujung katil, memerhati setiap pergerakan jururawat. Dahlia duduk di kerusi, tangannya masih memegang jari kecil Delisha.

Tiada siapa bercakap. Mereka hanya memerhati, seolah-olah jika mereka mengalihkan pandangan, sesuatu akan terlepas dari kawalan.

Daddy,” Delisha bersuara perlahan. “Isha boleh balik rumah esok?”

Kasyaf tersenyum kecil. “Boleh. Kita jumpa doktor dulu.”

Delisha mengangguk, tidak bertanya lagi. Seolah-olah tubuhnya sendiri tahu untuk tidak banyak menuntut.

Dahlia berpaling sedikit, menahan air mata yang sudah terlalu biasa mengalir. Perutnya terasa tegang. Bukan sakit yang mencucuk, tetapi tekanan yang membuatkan dia sukar bernafas penuh.

Tekanan yang datang daripada terlalu banyak perkara yang tidak boleh dia kawal.

“Kasy…” panggilnya perlahan.

Kasyaf segera menghampiri. “Awak duduk elok-elok. Jangan bangun banyak sangat.”

“Saya okay,” Dahlia cuba tersenyum. “Cuma penat.”

Kasyaf tidak menjawab. Dia tahu isterinya sedang memaksa tubuhnya sendiri untuk bertahan.

Dan itu lebih menakutkan daripada melihat Dahlia mengaku lemah.

 His Amore [COMPLETED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang