67

1.5K 65 1
                                        

ADA kebenaran yang tidak datang sebagai pengakuan. Ia datang sebagai ingatan yang dipaksa hidup semula.

Dahlia menyedarinya pada malam ketika hujan turun tanpa bunyi. Langit gelap, tetapi tidak berguruh. Seperti dunia sengaja menahan suara, membiarkan manusia berdepan dengan fikirannya sendiri.

Kasyaf sudah tidur di sebelahnya, nafas lelaki itu teratur, satu tangan terletak di perut Dahlia yang sarat. Ada masa, sentuhan itu menenangkan. Ada masa, ia mengingatkan bahawa tubuh ini pernah menyimpan dua nyawa yang tidak lagi sempat menginjak dewasa.

Dahlia memandang siling lama. Tidurnya lari.

Sejak kebelakangan ini, tidur memang jarang setia. Ada malam yang berlalu tanpa mimpi, ada malam yang penuh dengan bayang. Dan malam ini, dia tahu tidur tidak akan datang semula.

Telefon di atas meja sisi katil bergetar perlahan. Satu notifikasi masuk. Dahlia tidak perlu melihat nama. Dia sudah tahu.

Dahl.

Satu perkataan.

Cara panggilan itu sendiri sudah cukup untuk membuka pintu yang selama ini dikuncinya rapat. Pintu yang dia sangka sudah ditutup dengan kemas, dikunci dengan waktu dan jarak.

Ingat malam terakhir sebelum kau balik?
Yang kita semua fikir cuma malam biasa.

Jari Dahlia terasa kebas. Dia tidak membalas, tetapi Orked tidak menunggu.

Kau, aku… dan dia.
Universiti berbeza. Negara sama. Takdir yang kita tak minta.

Dahlia memejam mata. Nafasnya tidak sekata. Ada rasa yang naik perlahan dari dada, menekan ke tekak. Rasa yang dia kenal, tetapi tidak mahu beri nama.

Malam itu, lima tahun lalu bukan kenangan yang dia suka sentuh. Bukan kerana apa yang berlaku semata-mata, tetapi kerana siapa dirinya selepas itu. Versi dirinya yang tidak pernah benar-benar pulih walaupun kelihatan tegak di mata orang lain.

Mereka semua graduan universiti luar negara. Dahlia dan Orked dari universiti yang sama, bidang yang hampir serupa reka bentuk, ruang, estetika. Dua perempuan yang sama-sama belajar mencipta tempat selamat, tetapi gagal mencipta satu untuk diri sendiri.

Mereka berkongsi banyak perkara ketika itu. Tekanan keluarga. Impian yang tidak selari dengan jangkaan. Keletihan menjadi anak yang sentiasa perlu “cukup”.

Kasyaf pula dari universiti lain. Bidang pengurusan, ekonomi, perniagaan keluarga. Lelaki yang hidupnya sudah disusun sejak awal apa yang perlu dipelajari, ke mana perlu pergi, dan bila perlu pulang.

Mereka bertemu kerana Orked.

Itu hakikat yang Dahlia cuba nafikan selama ini.

Orked yang menghubungkan mereka pada malam itu. Orked yang mencadangkan makan malam “sekadar lepas rindu”. Orked yang memilih restoran sunyi, minuman yang tidak pernah habis diisi, muzik yang terlalu perlahan untuk disedari.

“Dahl, kau penat sangat,” kata Orked malam itu, senyumannya lembut, tetapi matanya tidak pernah benar-benar jujur. “Kau selalu hidup ikut jadual orang lain.”

Dahlia ketawa kecil.

Kasyaf hanya memerhati.

Orked tahu apa yang dia lakukan. Dia sentiasa tahu.

Kerana Orked bukan perempuan yang iri dengan cinta. Dia iri dengan keberanian. Dengan pilihan. Dengan orang yang sanggup hidup mengikut kehendak sendiri, walaupun terpaksa membayar harga.

Dan malam itu, Orked memilih untuk menolak Dahlia ke arah harga tersebut.

Bukan dengan paksaan.
Bukan dengan kata kasar.

 His Amore [COMPLETED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang