58

2K 120 8
                                        

MASA di hospital tidak bergerak seperti masa di luar. Ia tidak berlari, tidak juga berhenti. Ia hanya mengalir perlahan, menyeret manusia yang terperangkap di dalamnya bersama.

Sudah hampir tiga minggu Delisha berada di wad. Tiga minggu yang tidak terasa seperti tiga minggu. Lebih seperti satu hari yang terlalu panjang, diulang tanpa noktah.

Hari-hari mereka kini diukur dengan jadual ubat, bacaan monitor, dan wajah-wajah doktor yang semakin berhati-hati memilih kata.

Ahli keluarga juga mulai kerap  datang menziarahi Delisha dan suami isteri itu. Tiada yang lebih mampu mereka berikan selain sokongan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Delisha kini  semakin kurus. Pipi yang dahulu bulat kini cengkung sedikit. Selera makannya turun naik, dan setiap kali Dahlia menyuap, hanya beberapa sudu yang mampu ditelan sebelum anak kecil itu menggeleng letih.

“Tak larat, mummy.”

Ayat itu diucap terlalu kerap. Dahlia tetap tersenyum. Tetap mengangguk. Tetap memujuk. Tetapi setiap kali Delisha menolak, ada sesuatu dalam diri Dahlia yang runtuh perlahan tanpa bunyi.

Kasyaf pula sudah berhenti mengira hari. Dia hanya mencatat perubahan.

Berat badan.
Nafas.
Batuk kecil yang datang dan pergi.
Kekerapan Delisha terjaga malam.

Dia tidak lagi bertanya bila.
Dia hanya mahu tahu bagaimana untuk bertahan hari ini.

Pagi itu, doktor datang lebih awal daripada biasa. Ada tiga orang kali ini. Wajah mereka serius, tetapi bukan panik. Itulah yang paling menakutkan.

“Encik Kasyaf, Puan Dahlia… boleh kita berbincang sekejap?”

Dahlia memandang Kasyaf sebelum mengangguk. Tangannya segera mencari tangan suaminya. Genggaman itu kuat bukan kerana berani, tetapi kerana takut terlepas.

Mereka dibawa ke bilik kecil bersebelahan wad. Doktor membuka fail.

“Kami telah kumpulkan semua keputusan ujian,” katanya perlahan. “Dan kami perlu jujur.”

Perkataan itu membuatkan dada Dahlia terasa sesak.

“Delisha mengalami kegagalan paru-paru progresif yang berkait dengan sistem imun yang sangat lemah,” doktor menyambung.

“Ia bukan jangkitan biasa, dan bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan rawatan standard.”

“Rawatan lanjut?” soal Kasyaf, suaranya terkawal.

“Kami boleh teruskan rawatan sokongan. Oksigen. Ubat. Pantauan rapi,” doktor menjawab.

“Tetapi… prognosisnya tidak memberangsangkan.”

Jeda.

Tidak ada ayat tiada harapan. Tetapi juga tiada ayat boleh sembuh.

Dahlia memejamkan mata. Tangannya naik ke perut, refleks

“Berapa lama?” soalnya perlahan, hampir berbisik.

Doktor tidak menjawab serta-merta.

“Kami tidak boleh beri jangka masa yang tepat,” katanya akhirnya. “Tetapi keadaan Delisha… rapuh.”

Rapuh.

Satu perkataan yang cukup untuk memecahkan sesuatu yang selama ini cuba dipegang Dahlia dengan kedua-dua tangan.

Mereka kembali ke wad tanpa banyak bicara. Delisha sedang tidur. Nafasnya sedikit berbunyi, tetapi masih teratur. Wajah kecil itu kelihatan tenang seolah-olah dunia tidak sedang berunding tentang masanya.

 His Amore [COMPLETED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang