MALAM itu tidak membawa ribut. Tiada hujan lebat, tiada kilat menyambar, tiada bunyi yang memecah langit. Dunia di luar hospital berjalan seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang bakal berubah.
Tetapi di dalam wad itu, sesuatu sedang menuju penghujungnya. Delisha sudah dua hari kurang sedar. Apabila mata kecil itu terbuka, hanya sekejap sekadar cukup untuk memandang, kemudian terpejam semula.
Nafasnya berbunyi halus, sedikit tersekat, dan setiap kali dada kecil itu naik turun, Dahlia terasa seolah-olah dadanya sendiri ditarik bersama.
Monitor di sisi katil berbunyi lebih kerap.
Beep.
Beep.
Beep.
Bunyinya tidak kuat, tetapi cukup untuk membuatkan Kasyaf berdiri tanpa duduk sejak sejam yang lalu. Dia tidak lagi berpindah dari sisi katil Delisha. Blazernya tergantung di belakang kerusi, kemeja sudah berkedut, tetapi dia tidak peduli.
Dahlia pula duduk diam. Terlalu diam.
Tangannya memegang tangan Delisha. Tidak kuat. Tidak longgar. Sekadar sentuhan yang menegaskan kehadiran. Bahawa dia masih di situ, walaupun hatinya terasa seperti sudah di hujung jurang.
Doktor datang hampir tengah malam. Kali ini, hanya seorang sahaja bersama dengan seorang jururawat.
“Kami perlu pindahkan Delisha ke HDU,” katanya perlahan, berhati-hati. “Keadaan pernafasannya semakin tidak stabil.”
Belum sempat pasangan suami isteri itu menjawab. Jururawat tiba-tiba bersuara cemas. Keadaan yang tenang sekelip mata berubah.
“Doctor, saturation drop. 82%.. 79%..”
Monitor berbunyi lebih laju.
Beep.
Beep.
Beep.
Nada itu berubah. Tidak lagi sekadar irama. Ia jadi amaran.
Dahlia berdiri separuh.
“Kasy…” suaranya bergetar.
Doktor bergerak pantas ke sisi katil. “Kita naikkan oksigen.”
Topeng oksigen dipasang lebih rapat. Tetapi bacaan tidak naik seperti diharap.
“Doctor… sat still dropping.”
Doktor berpaling kepada Kasyaf dan Dahlia.
“Kami perlu intubate Delisha. Masukkan tiub pernafasan. Kalau tidak, badannya tak mampu kekalkan oksigen sendiri.”
Dahlia menggeleng laju. “Intubate? Maksudnya…”
“Mesin akan bantu dia bernafas,” doktor jelaskan. “Tapi ini prosedur kecemasan. Saya perlukan persetujuan sekarang.”
Kasyaf menggenggam palang katil.
“Kalau buat… dia okay?”
Doktor tidak menjawab dengan pasti.
“Ia beri peluang. Tapi keadaannya sangat rapuh.”
Dahlia menangis senyap.
“Kalau tak buat?”
“Risiko oksigen tidak akan sampai ke otak.”
Sunyi.
Kasyaf memandang Dahlia. Dahlia memandang Delisha.
“Mummy…” Delisha berbisik lemah.
Dahlia terus memegang wajah anaknya.
“Mummy ada sayang…”
Doktor menghulurkan borang. “Kami perlukan persetujuan sekarang.”
Kasyaf menandatangani dengan tangan menggigil. Dahlia mengangguk tanpa suara.
Kasyaf menggenggam tangan isterinya kuat.
ANDA SEDANG MEMBACA
His Amore [COMPLETED]
Roman d'amour#2 𝓗𝓲𝓼 𝓢𝓮𝓻𝓲𝓮𝓼 𝙆𝙖𝙨𝙮𝙖𝙛 𝙀𝙫𝙧𝙚𝙣 | 𝘿𝙖𝙝𝙡𝙞𝙖 𝙀𝙡𝙫𝙞𝙣𝙖 Kasyaf's Obsession⚠️ Pertemuan pertama mereka bukanlah yang terbaik. Pertemuan pertama menjadi saksi kejadian yang menimpa mereka. Andai boleh, pertemuan itu ingin dihapuskan...
![His Amore [COMPLETED]](https://img.wattpad.com/cover/328588060-64-k42053.jpg)