ORKED tidak pernah menganggap dirinya jahat.
Itu perkara pertama yang Dahlia faham apabila mesej-mesej itu terus datang bukan bertalu-talu, tetapi cukup untuk memastikan kehadirannya dirasai. Seolah-olah Orked tahu, terlalu banyak kata akan membuatkan dia disekat, tetapi terlalu sedikit akan membiarkan Dahlia bernafas.
Dan Orked tidak mahu itu.
Bukan serangan.
Bukan ancaman.
Tetapi sesuatu yang lebih kejam, kebenaran yang dipilih masa untuk dilontarkan.
Petang itu, Dahlia duduk sendirian di pejabat Lia’s Houz. Hujan masih turun seperti semalam, berterusan, tidak lebat, tidak juga berhenti. Bunyi titisan di cermin kaca besar membuatkan ruang itu terasa lebih luas daripada biasa. Semua yang dia bina daripada sisa hidupnya sendiri berdiri di sekelilingnya kemas, teratur, stabil.
Dan sunyi.
Kebanyakan staf sudah pulang. Dahlia sengaja tidak balik awal. Ada hari, rumah terasa terlalu penuh dengan ingatan. Pejabat ini, walaupun lahir daripada luka, sekurang-kurangnya jujur. Ia hanya ruang kerja. Tidak bertanya apa-apa.
Telefon bimbitnya menyala.
Dahl, kau ingat aku dengki pada hidup kau.
Dahlia membaca ayat itu beberapa kali. Orked masih memanggilnya dengan nama yang sama. Seolah-olah lima tahun, dua kematian, satu perkahwinan dan segunung kehilangan tidak pernah berlaku. Seolah-olah mereka masih dua pelajar universiti di bandar asing, duduk di sudut kafe kecil, bercakap tentang masa depan.
Dia tidak membalas.
Mesej seterusnya masuk.
Aku tak pernah nak hidup kau. Aku cuma nak kau faham kenapa aku rosakkan satu malam itu.
Dahlia meletakkan telefon menghadap ke bawah. Jari-jarinya menggigil halus, hampir tidak disedari. Dia berdiri perlahan, melangkah ke arah tingkap pejabat, memandang hujan yang membasahi bandar. Kereta bergerak perlahan di bawah. Orang lalu-lalang dengan payung, masing-masing menuju ke tempat yang perlu.
Dia tahu. Jika Orked sudah mula menjelaskan, ini bukan lagi permainan psikologi.
Ini pengakuan.
Mesej itu datang lagi.
Kau ingat cerita kau paling berat, Dahl. Tapi kau tak pernah tanya cerita aku.
Dahlia menarik nafas panjang sebelum akhirnya menaip.
Aku tak paksa kau buat apa-apa. Kau yang pilih.
Balasan Orked lambat kali ini. Tidak seperti mesej-mesej sebelumnya. Seolah-olah ayat itu perlu dicerna, bukan sekadar dijawab.
Aku tahu.
Sebab itu aku pilih kau.
Ayat itu membuatkan dada Dahlia terasa sempit. Bukan kerana marah semata-mata, tetapi kerana buat pertama kali, Orked mengaku tanpa berselindung.
Mesej Orked datang panjang selepas itu, seolah-olah pintu yang dibuka tidak lagi ditutup.
Aku dan kau datang dari universiti yang sama. Dari bandar asing yang sama. Tapi kita tak pernah hidup cerita yang sama.
Kau balik dengan impian. Aku balik dengan kegagalan yang dibungkus cantik.
Dahlia teringat Orked yang jarang bercakap tentang keluarganya. Tentang asal-usulnya. Tentang sebab dia begitu diam. Dahlia selalu menyangka Orked hanya pendengar yang baik. Rupanya, Orked hanya pandai menyembunyikan luka.
Aku juga anak yang diharapkan menyambung legasi.
Tapi bezanya, aku tak pernah cukup baik untuk mereka.
Kau ada bakat. Aku cuma ada kelulusan.
ANDA SEDANG MEMBACA
His Amore [COMPLETED]
Romansa#2 𝓗𝓲𝓼 𝓢𝓮𝓻𝓲𝓮𝓼 𝙆𝙖𝙨𝙮𝙖𝙛 𝙀𝙫𝙧𝙚𝙣 | 𝘿𝙖𝙝𝙡𝙞𝙖 𝙀𝙡𝙫𝙞𝙣𝙖 Kasyaf's Obsession⚠️ Pertemuan pertama mereka bukanlah yang terbaik. Pertemuan pertama menjadi saksi kejadian yang menimpa mereka. Andai boleh, pertemuan itu ingin dihapuskan...
![His Amore [COMPLETED]](https://img.wattpad.com/cover/328588060-64-k42053.jpg)