45

3.4K 186 15
                                        

Kedah

DAPUR rumah kayu moden itu penuh dengan bunyi lagaan sudip dan kuali. Menandakan dapur sedang berasap dengan masakan.

"Hang masak apa tu?" sergah Tokma tanpa basa basi.

Melompat sedikit Dahlia dengan sergahan Tokma itu. Dada diurut perlahan. Dahlia pusing tubuh menghadap Tokma.

"El masak mee goreng dan goreng cucoq bilis," jawab Dahlia bersama dengan loghat Kedah nya yang pincang.

"Patutlah boleh bau sampai ke bilik tu. Lapaq teruih perut ni hah," kerusi meja makan ditarik. Tokma labuhkan duduk.

Dahlia yang masih sibuk memasak, diperhati. Hatinya sedikit terkejut apabila melihat kemunculan Dahlia dan Delisha di hadapan rumahnya beberapa hari yang lepas. Lagi-lagi tanpa kehadiran Kasyaf. Mana taknya, hanya Hafiy Lutfan yang ada memaklumkan bakal pulang bercuti ke Kedah bersama dengan isteri dan anak-anaknya.

Jauh di sudut hati, dia dapat mengesan ada pergolakan yang berlaku ke atas rumah tangga cucunya itu. Tetapi, dia tidak mahu menyoal banyak.

Dahlia menghidangkan mee dan cucur bilis yang telah siap digoreng. Teh dan kopi turut dibancuh dalam teko.

"Auliya dan Lut mana tokma?" soal Dahlia.

"Tu panjang umoq," jawab Tokma sambil menjuih bibir ke arah Auliya dan Hafiy Lutfan yang bersama dengan anak-anak. Mereka baru pulang selepas membeli kuih-muih di hadapan masjid atas permintaan Tokma.

Mereka bukan ramai sangat di rumah tetapi mereka faham Tokma yang gembira menerima kedatangan cucu-cicitnya. Walaupun sudah banyak yang dimasak, kuih-muih dihidang untuk menjamu mereka. Memang begitulah sifat Tokma dari dulu hingga sekarang.

"Delisha mana?" soal Auliya apabila sedar ketidak hadiran anak Dahlia itu.

"Demam dia subuh tadi baru nak kebah. Saya dah bagi Delisha makan tadi sebab bagi dia makan ubat. Tengah tidur lagi tu. Liat sikit dia nak bangun kalau tengah sakit," perjelas Dahlia.

Auliya mengangguk faham. Terlalu faham dengan sikap Delisha kerana anak-anaknya juga begitu lagi-lagi ketika sakit.

Masing-masing mengambil tempat duduk. Hidangan sarapan di atas meja dijamah tanpa banyak bicara. Hanya pinggan dan sudu yang kadang-kala berdeting.

Tokma kelihatan berselera. Lagi-lagi bertemankan cucu dan cicitnya.

Usai bersarapan, Auliya membasuh pinggan di dapur. Dahlia menyimpan makanan yang tidak habis ke dalam bekas. Masih boleh dijamah lagi kalau-kalau ada yang lapar lagi sejam dua. Hafiy membawa Tokma berehat di bilik memandangkan keadaan kesihatan Tokma sejak kebelakangan ini tidak begitu baik.

Tokma kini sudah di ambang usia 85 tahun. Tubuhnya semakin susut, langkahnya perlahan, dan batuk kecil sering menjadi teman di setiap pagi. Kesihatannya juga tidak seperti dahulu. Semua tahu, masa bersama Tokma semakin berharga setiap tawa, setiap cerita, menjadi kenangan yang ingin disimpan selama-lamanya.

Dahlia kemudian melabuhkan duduk di ruang tamu. Pandangan dibuang ke arah luar rumah. Kehijauan dan suasana kampung yang sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada dirinya walaupun hatinya sedang dilanda badai.

Auliya Lufyaa dan Hafiy Lutfan turut melabuhkan duduk di sofa bertentangan dengan Dahlia. Anak-anak mereka turut di bawa bersama. Masing-masing sudah mulai reti merangkak dan mulai berjinak-jinak untuk berjalan.

"Kitaorang petang nanti nak ke pekan. Nak ikut tak El?" soal Auliya.

"Boleh juga, tak sempat nak explore lagi," jawab Dahlia menerima ajakan Auliya.

 His Amore [COMPLETED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang