55

2.2K 105 9
                                        

HOSPITAL mula menjadi tempat yang terlalu biasa. Bukan kerana tragedi besar, tetapi kerana kekerapan. Datang, tunggu, pulang. Datang lagi. Ulang.

Ia bukan lagi bangunan asing. Bau antiseptik, bunyi kasut jururawat di lantai, suara pengumuman di pembesar suara semuanya kini terasa seperti sebahagian daripada rutin yang tidak diminta. Seolah-olah hidup mereka sudah memindahkan sebahagian alamatnya ke sini.

Delisha duduk di kerusi roda kecil hari itu, bukan kerana tidak boleh berjalan, tetapi kerana jururawat kata dia perlu jimat tenaga. Patung lembut masih di tangannya, jari kecil itu memicit kain patung tersebut setiap kali namanya dipanggil.

Setiap kali roda kerusi bergerak, Delisha akan menunduk memandang kakinya sendiri, seolah-olah cuba memahami kenapa tubuhnya tidak lagi sekuat dulu.

Nada itu cepat. Terlalu cepat. Seolah-olah dia mahu memotong kebimbangan ibunya sebelum sempat membesar.

“Isha okay,” katanya setiap kali Dahlia bertanya.

Setiap kali itu juga, Dahlia tersenyum sambil mengangguk walaupun hatinya semakin sukar percaya.

Dia tahu senyum itu semakin nipis. Dia tahu kebohongan kecil itu semakin berat di lidahnya.

Di bilik rawatan, Delisha disambungkan pada monitor ringkas. Bunyi beep itu tidak kuat, tetapi cukup untuk membuatkan Kasyaf berdiri terlalu dekat dengan katil.

Dia tidak duduk. Tidak bersandar. Seolah-olah jika dia bergerak walau sedikit, sesuatu akan terlepas dari kawalannya.

“Encik Kasyaf,” tegur doktor perlahan.

“Kami masih belum dapat jawapan muktamad. Tapi keletihan Delisha bukan sekadar fizikal.”

“Kami boleh buat apa lagi?” soal Kasyaf, suaranya terkawal, tetapi jelas tegang.

“Pantau. Rekodkan setiap perubahan. Dan… bersedia.”

Satu perkataan itu cukup membuatkan udara terasa berat.

Bersedia. Untuk apa? Tiada siapa berani jelaskan.

Ia dibiarkan tergantung, seperti bayang yang tidak mahu menunjukkan bentuknya.

Di luar bilik, Dahlia duduk perlahan di kerusi. Perutnya terasa mencengkam, bukan sakit yang tajam, tetapi tekanan yang tidak selesa. Tangannya menggenggam beg, jari-jemarinya sejuk.

Dia cuba menarik nafas perlahan, mengira degupan sendiri supaya tidak tenggelam dalam rasa cemas.

Dia bangun untuk mengambil air, tetapi langkahnya terhenti. Pandangannya berpinar. Dinding terasa menjauh. Bunyi sekitar menjadi kabur.

“Kasy…” suaranya hampir tidak kedengaran.

Kasyaf berpaling tepat pada waktunya. Tubuh Dahlia sudah terhuyung. Dia menyambar isterinya, mendukung ke kerusi terdekat.

Love, Hey, look at me.”

Jururawat datang pantas. Tekanan darah diperiksa. Wajah Dahlia pucat.

“Puan perlu rehat. Ini tanda keletihan dan tekanan,” kata jururawat.

“Kehamilan awal memang sensitif.”

Kasyaf menutup mata seketika. Dua dunia.
Dua nyawa. Dan dia berdiri di tengah-tengahnya.

Tiada pilihan yang tidak menyakitkan.

Demi Delisha, mereka pulang sebelum petang. Anak kecil itu tertidur sebaik tiba di rumah, kepenatan walaupun hari itu dia hanya berbaring.

Seolah-olah tubuh kecil itu sudah terlalu penat melawan sesuatu yang belum diberi nama.

 His Amore [COMPLETED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang