60

2K 108 8
                                        

HOSPITAL itu akhirnya sunyi. Bukan kerana tiada manusia, tetapi kerana satu suara kecil tidak lagi memenuhi ruangnya.

Dahlia berdiri di sisi katil, memandang tubuh Delisha yang kini terbaring kaku. Tiada mesin. Tiada bunyi beep. Hanya kain putih yang disusun rapi, menutup tubuh kecil yang suatu ketika dahulu berlari memanggilnya mummy.

Dia tidak menangis. Belum.

Tangannya menyentuh pipi Delisha perlahan. Sejuk. Terlalu sejuk untuk anak sekecil itu.

Kasyaf berdiri di belakangnya. Lelaki itu kelihatan lebih tua malam itu. Bahunya jatuh. Matanya merah, tetapi tidak menangis. Dia sudah menangis terlalu banyak di tempat yang tidak sesiapa lihat.

Apabila jururawat datang meminta izin, Dahlia mengangguk tanpa suara. Dia melangkah ke tepi, memberi laluan kepada dunia untuk mengambil semula apa yang dia sayangi. Dan ketika kain putih itu ditarik menutupi wajah Delisha sepenuhnya, sesuatu dalam diri Dahlia mati bersama.

Bukan semua kehilangan datang dengan jeritan. Ada kehilangan yang datang dengan sunyi.

Beberapa jam kemudian, pintu wad dibuka berkali-kali.

Datin Eliza dan Datuk Darwisy datang dengan mata merah. Mereka memeluk Kasyaf dan Dahlia tanpa kata.

Abang-abang dan adik Dahlia tiba. Tangis tidak lagi ditahan. Tuan Emir dan Puan Kamelia datang, memegang bahu Kasyaf lama.

“Sabarlah, Kasy…”

Hafiy Lutfan dan Auliya Lufyaa datang, masing-masing memeluk Kasyaf dan Dahlia erat. Menyalurkan kekuatan.

“Kau tak sendirian…”

Di tengah kekalutan itu, dua lelaki berdiri seketika sebelum melangkah masuk.

Izz… dan di sisinya, Tengku Qaisy.

Tengku Qaisy tidak bersuara. Wajahnya tenang, tetapi mata itu menyimpan sesuatu yang berat. Dia memandang katil kosong itu lama, kemudian menunduk sedikit. Bukan kepada sesiapa, tetapi kepada kehilangan itu sendiri.

Izz melangkah dahulu.

“Kasy…” suaranya serak.

Kasyaf berpaling. Mata mereka bertemu tanpa kata. Izz melangkah dan memeluknya kuat, tidak peduli siapa melihat.

“Aku minta maaf,” bisiknya. “Aku tahu aku tak boleh ubah apa-apa… tapi aku ada.”

Kasyaf tidak menjawab. Dia hanya menggenggam bahu sahabatnya seperti orang yang berpaut pada sesuatu supaya tidak tenggelam.

Tengku Qaisy menghampiri perlahan. Dia tidak memeluk. Dia hanya berdiri di sisi Kasyaf, meletakkan tangan di bahunya.

“Kau tak perlu kuat malam ni,” katanya perlahan. “Kau cuma perlu hidup.”

Kemudian dia berpaling kepada Dahlia. Tunduk sedikit.

“Salam Takziah. I'm sorry for your lost.”

Dahlia tidak mampu menjawab. Air matanya jatuh senyap. Tengku Qaisy hanya mengangguk memahami bahawa ada kesedihan yang tidak perlu dibalas dengan kata.

Izz kemudian menghampiri Dahlia. Tidak berkata apa-apa. Hanya tunduk sedikit dan menyentuh bahunya perlahan. Hormat kepada seorang ibu yang baru kehilangan dunia kecilnya.

Di sekeliling mereka, tangisan tidak lagi teratur.

Doa tidak lagi berbunga. Pelukan tidak lagi kuat kerana semua orang terlalu letih untuk menjadi kuat.

Di antara Izz dan Tengku Qaisy, Kasyaf berdiri seperti lelaki yang baru kehilangan sebahagian daripada dirinya. Dan buat pertama kali sejak semua ini bermula,
dia tidak berdiri sendirian.

 His Amore [COMPLETED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang