Bunyi mesin monitor berdegup perlahan memenuhi bilik itu. Tidak cemas. Tidak tergesa-gesa. Tetapi cukup untuk mengingatkan bahawa masa sedang bergerak walaupun seseorang masih belum sedar.
Kasyaf berdiri di sisi sebuah bassinet jernih. Di dalamnya, seorang bayi lelaki tidur lena. Nafasnya kecil, teratur. Dadanya naik turun dengan yakin, seolah-olah dunia belum lagi sempat menyentuhnya dengan keras.
Danny Evan.
Nama itu masih terasa asing di lidah Kasyaf, tetapi juga satu-satunya perkara yang membuatkan dia bernafas dengan betul sejak beberapa jam lalu.
Dia menghulurkan jari telunjuk. Danny menggenggamnya serta-merta. Cengkaman itu kuat untuk sesuatu yang baru sahaja melihat dunia.
Di atas katil hospital tidak jauh dari situ, Dahlia terbaring kaku. Wajahnya pucat, tetapi tenang. Rambutnya sedikit kusut, peluh masih melekat di dahi. Mesin di sisi katil berbunyi perlahan, memantau degupan yang masih setia bertahan.
Doktor sudah bercakap. Perlahan. Berhati-hati.
"Tak pasti bila dia akan sedar. Tubuhnya penat. Bersalin bukan perkara kecil."
Kasyaf mengangguk ketika itu. Dia dengar. Tetapi otaknya hanya menangkap satu perkara. Dahlia belum bangun.
Pintu bilik dibuka perlahan.
Datuk Darwisy dan Datin Eliza melangkah masuk dahulu. Wajah mereka cuba dikawal, tetapi mata Datin Eliza berkaca sebaik melihat Dahlia tidak bergerak.
“El…” Datin Eliza bersuara perlahan. Kasyaf memberi ruang.
Datuk Darwisy berdiri di hujung katil, tangan tua itu diletakkan di sisi, diam lebih lama daripada biasa. Lelaki itu tidak banyak bercakap, tetapi bahunya jelas menegang.
Danish masuk selepas itu bersama isterinya, Clarissa Zenia. Clarissa terus menghampiri bassinet, senyumannya lembut tetapi mata jelas menahan sesuatu.
Danish menepuk bahu Kasyaf sekali. Tidak berkata apa-apa. Tidak perlu.
Daniyal berdiri di sisi lain bilik, tangan bersilang, rahangnya mengeras. Dareeq si bongsu kelihatan paling gelisah. Matanya berulang kali memandang Dahlia, kemudian bayi kecil itu, seolah-olah cuba memahami bagaimana hidup boleh berubah terlalu cepat.
Tidak lama kemudian, Puan Kamelia dan Tuan Emir tiba bersama Khalish, Khalaf dan Khalif. Suasana bilik menjadi penuh, tetapi sunyi itu masih mendominasi.
“Kasyaf,” Puan Kamelia memanggil lembut. “Kamu dah makan?”
Kasyaf menggeleng perlahan.
“Pergi ambil wuduk, solat kejap,” sambungnya. “Kami tengokkan Danny.”
Kasyaf mengangguk. Tetapi kakinya tidak bergerak. Seolah-olah kalau dia melangkah pergi, sesuatu akan hilang.
Pintu terbuka sekali lagi.
Hafiy Lutfan melangkah masuk dengan pakaian tenteranya, masih lengkap. Auliya Lufyaa di sisinya, wajahnya jelas risau. Hafiy berdiri tegak seketika sebelum menundukkan kepala dari terus melihat ke arah Dahlia yang tidak bertudung.
“Dia kuat,” kata Hafiy akhirnya. “Dia akan bangun.”
Ayat itu bukan janji. Tetapi ia cukup untuk membuatkan dada Kasyaf bergetar sedikit.
Malam itu, hospital tidak pernah benar-benar tidur. Lampu malap. Bunyi langkah jururawat. Bunyi mesin.
Kasyaf duduk di antara dua dunia. Satu di bassinet, satu di atas katil.
Seorang bayi yang memerlukan segalanya.
Seorang isteri yang belum pasti bila akan kembali.
Dia belajar menukar lampin dengan tangan yang masih menggigil. Belajar mendukung tubuh kecil itu dengan penuh waspada. Belajar menjadi ayah tanpa sempat bersedia.
ANDA SEDANG MEMBACA
His Amore [COMPLETED]
Roman d'amour#2 𝓗𝓲𝓼 𝓢𝓮𝓻𝓲𝓮𝓼 𝙆𝙖𝙨𝙮𝙖𝙛 𝙀𝙫𝙧𝙚𝙣 | 𝘿𝙖𝙝𝙡𝙞𝙖 𝙀𝙡𝙫𝙞𝙣𝙖 Kasyaf's Obsession⚠️ Pertemuan pertama mereka bukanlah yang terbaik. Pertemuan pertama menjadi saksi kejadian yang menimpa mereka. Andai boleh, pertemuan itu ingin dihapuskan...
![His Amore [COMPLETED]](https://img.wattpad.com/cover/328588060-64-k42053.jpg)