DAHLIA mula sedar perubahan itu ketika kandungannya memasuki bulan terakhir.
Bukan perubahan fizikal semata-mata walaupun tubuhnya semakin berat, nafas semakin pendek, dan tidur semakin sukar. Perubahan itu datang dari dalam. Dari rasa resah yang tidak tahu punca.
Seperti ada sesuatu yang sedang bergerak di sekeliling hidupnya. Bukan menyentuh, cuma mengelilingi. Menunggu masa.
Telefon bimbit Dahlia bergetar ketika dia sedang duduk di sofa ruang tamu. Kasyaf tiada di rumah. Mesyuarat panjang, katanya. Dahlia tidak bertanya lanjut. Sejak kebelakangan ini, mereka berdua banyak memilih untuk diam. Bukan kerana tiada cerita, tetapi kerana terlalu banyak yang tidak tahu bagaimana hendak diceritakan.
Satu mesej masuk.
Nombor tidak disimpan.
Kau masih di sini rupanya.
-unknown
Dahlia memandang skrin lama. Jantungnya berdegup sedikit laju, tidak keterlaluan, tetapi cukup untuk membuatkan nafasnya terasa sempit.
Aku ingat kehilangan dah cukup buat kau hilang. -unknown
Bukan kerana nada ayat. Bukan kerana perkataan. Tetapi kerana hanya satu orang yang pernah memanggilnya dengan nada begitu seolah-olah mengenali retaknya, bukan sekadar wajahnya.
Orked.
Jari Dahlia menggigil sedikit. Dia tidak membalas. Telefon diletakkan di atas meja kopi, seperti objek itu sendiri punya berat yang berlebihan. Nafas ditarik panjang, cuba mengatur semula degup yang mula bercelaru.
Ingatan lama menyerbu tanpa jemputan.
Orked yang dulu bertudung labuh, sentiasa berpakaian kemas walaupun hanya ke kelas pagi. Orked yang jarang bercakap, tetapi bila bersuara, ayatnya tepat. Orked yang selalu duduk di penjuru studio reka bentuk, melukis senyap-senyap sambil mendengar Dahlia meluah.
“Dahl, kau tahu tak rasanya bila hidup orang lain dah ditentukan untuk kau?”
Itu soalan Orked suatu petang dahulu, ketika Dahlia sedang mengeluh tentang ayahnya.
Dahlia menelan air liur.
“Tak mungkin,” bisiknya sendiri, walaupun dia tahu itu satu penafian yang rapuh.
Telefon bergetar lagi.
Tenanglah. Aku bukan datang nak runtuhkan apa-apa. Aku cuma nak tengok… kau dah sembuh ke belum.
Dahlia bangun. Langkahnya perlahan ke tingkap. Cahaya petang masuk lembut, menyentuh lantai. Tangannya memegang perut, seolah-olah mencari pegangan daripada sesuatu yang lebih besar daripada rasa takut.
Dia menaip balasan, kemudian memadamnya. Menaip lagi. Memadam lagi.
Akhirnya, dia menulis.
Apa kau nak?
Balasan datang hampir serta-merta.
Aku cuma nak kau tahu… ada perkara yang kau tak tahu. Dan lucunya dia pun tak tahu.
Dahlia terduduk semula.
“Dia?”
Satu perkataan itu berlegar lama dalam fikirannya sebelum satu nama muncul tanpa dipanggil.
Kasyaf.
Jantung Dahlia berdegup lebih laju kali ini. Dia yakin selama ini, Orked hanya wujud dalam hidupnya. Sebagai kawan universiti. Sebagai saksi kepada konflik keluarga hanya kerana dia tidak mahu menyambung legasi keluarga. Sebagai satu-satunya orang yang tahu betapa Dahlia pernah hampir memilih untuk pergi jauh bukan dari cinta, tetapi dari dirinya sendiri.
Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa lelaki itu juga mengenali Orked. Tidak pernah.
Telefon itu senyap selepas itu. Tiada sambungan mesej. Tiada penjelasan. Tetapi ayat itu sudah cukup untuk mengganggu seluruh ketenangan yang sedia rapuh.
ANDA SEDANG MEMBACA
His Amore [COMPLETED]
Roman d'amour#2 𝓗𝓲𝓼 𝓢𝓮𝓻𝓲𝓮𝓼 𝙆𝙖𝙨𝙮𝙖𝙛 𝙀𝙫𝙧𝙚𝙣 | 𝘿𝙖𝙝𝙡𝙞𝙖 𝙀𝙡𝙫𝙞𝙣𝙖 Kasyaf's Obsession⚠️ Pertemuan pertama mereka bukanlah yang terbaik. Pertemuan pertama menjadi saksi kejadian yang menimpa mereka. Andai boleh, pertemuan itu ingin dihapuskan...
![His Amore [COMPLETED]](https://img.wattpad.com/cover/328588060-64-k42053.jpg)