57

2K 113 5
                                        

MALAM di hospital tidak pernah benar-benar gelap. Lampu koridor sentiasa menyala. Bunyi roda katil, bunyi kasut jururawat, dan bunyi mesin monitor bergaung perlahan, berselang-seli seperti nafas yang dipaksa terus berjalan walaupun tubuh sudah meminta berhenti.

Dahlia duduk di kerusi sisi katil Delisha sejak petang tadi. Punggungnya terasa kebas, belakangnya lenguh, tetapi dia tidak berganjak. Tangannya masih menggenggam jari kecil anaknya itu, seolah-olah dengan melepaskan genggaman, dia akan kehilangan lebih daripada sekadar sentuhan.

Delisha tidur. Tidurnya bukan lena yang tenang, tetapi tidur yang datang kerana tubuhnya terlalu penat untuk berjaga. Nafasnya teratur, tetapi sesekali dada kecil itu turun naik sedikit lebih dalam daripada biasa.

Dahlia memerhati setiap gerakan. Setiap nafas. Setiap detik.

Perutnya terasa berat malam itu. Bukan sakit, tetapi tegang. Seolah-olah rahimnya sedang bekerja lebih kuat, menuntut perhatian yang dia sendiri tidak mampu beri sepenuhnya.

"Love, awak kena rehat." Suara garau itu datang perlahan dari belakang.

Dahlia berpaling. Kasyaf berdiri di ambang pintu wad, blazer hitam masih tersarung walaupun jam sudah hampir sebelas malam.

Wajahnya kelihatan letih. Bukan letih badan, tetapi letih kerana terlalu lama berjaga dengan fikiran yang tidak pernah berhenti.

"Saya okay," jawab Dahlia, seperti biasa.

Kasyaf tidak membalas. Dia melangkah masuk, menarik kerusi dan duduk di sisi Dahlia. Tangannya naik perlahan, menyentuh belakang tangan isterinya.

"Awak dah duduk lama," katanya. "Saya temankan Delisha. Awak baring sekejap."

Dahlia menggeleng perlahan. "Saya nak ada kat sini."

Kasyaf memandang wajah itu lama. Wajah yang semakin pucat dari hari ke hari. Mata yang sering merah, tetapi tetap berkeras untuk tidak menangis di hadapan anak mereka.

"Ada benda yang awak tak boleh paksa," katanya perlahan. "Badan awak pun perlukan awak."

Dahlia menelan liur. Akhirnya dia mengangguk perlahan, seolah-olah keputusan itu berat untuk diterima. Dia bangun dengan bantuan Kasyaf, langkahnya berhati-hati.

Sebelum pergi, Dahlia menunduk, mencium dahi Delisha.

"Mummy dekat je," bisiknya. "Tidur elok-elok."

Dahlia melangkah ke bilik rehat ibu bapa, tidak jauh dari wad. Kasyaf kembali duduk di sisi katil Delisha, mengambil alih tempat yang Dahlia tinggalkan. Tempat yang kini terasa terlalu besar untuk seorang lelaki yang cuba kelihatan tenang.

Kasyaf menyentuh rambut Delisha perlahan.

"Daddy ada," bisiknya. "Selalu ada."

MONITOR di sisi katil berbunyi perlahan.

Beep.
Beep.

Irama itu sepatutnya menenangkan. Tetapi malam itu, setiap bunyi terasa seperti peringatan bahawa masa sedang berjalan, dan tiada siapa tahu ke mana arahnya.

Telefon Kasyaf bergetar di dalam poket. Dia melihat skrin.

Izz.

Kasyaf keluar dari wad, kemudian menutup pintu perlahan.

"Ada apa?" soalnya sebaik menjawab panggilan.

"Aku tak nak ganggu lama," suara Izz kedengaran rendah. "Aku cuma nak bagi kau tahu... ada pergerakan yang aku susah nak tutup sepenuhnya."

"Pergerakan apa?" tanya Kasyaf, nada suaranya tidak tinggi, tetapi tegang.

"Fail lama kau. Ada orang cuba kaitkan jadual hospital kau, nama keluarga kau... aku dah padam sebanyak yang aku boleh."
Kasyaf memejamkan mata seketika.

 His Amore [COMPLETED]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang