HARI-HARI selepas itu berjalan seperti biasa. Terlalu biasa, sehingga hampir meyakinkan sesiapa bahawa tiada apa-apa yang sedang menunggu di hujung waktu.
Seperti hari-hari lain yang berlalu tanpa peristiwa besar, tanpa kejutan yang mengganggu, tanpa tragedi yang memaksa mereka berhenti dan memerhati. Matahari terbit dan terbenam pada waktunya. Jam berdetik dengan setia. Dan hidup, dari luar, kelihatan patuh kepada rutin.
Dahlia bangun pagi, menyiapkan sarapan. Kasyaf menghantar Delisha ke sekolah. Malam mereka bertiga duduk di ruang tamu, berkongsi cerita kecil yang tidak penting. Namun dalam kebiasaan itu, ada retakan yang tidak berbunyi.
Retakan yang tidak menjerit. Tidak memanggil perhatian. Tetapi perlahan-lahan melebar, cukup untuk membiarkan rasa tidak selesa menyelinap masuk tanpa disedari.
Dahlia kini mudah penat. Tangannya sering berhenti di tengah kerja, nafasnya perlu ditarik lebih dalam walaupun hanya berjalan dari dapur ke ruang tamu. Dia tidak mengadu. Dia tahu tubuhnya sedang bekerja lebih keras daripada biasa.
Setiap denyut letih itu diterimanya sebagai harga kepada satu kehidupan yang sedang tumbuh. Dia tidak mahu mengeluh, tidak mahu kelihatan rapuh di mata sesiapa terutama di mata dirinya sendiri.
Kasyaf perasan dan diam.
Dia belajar untuk tidak terlalu menyoal, tetapi tangannya sentiasa bersedia. Segelas air muncul tanpa diminta. Kerusi ditarik sebelum Dahlia sempat berdiri lama. Selimut diletakkan di bahu isterinya walaupun cuaca tidak sejuk.
Gerakan-gerakan kecil itu menjadi bahasa baharu antara mereka. Bahasa yang tidak memerlukan penjelasan. Bahasa yang dibina daripada kebimbangan yang tidak dilafazkan.
“Awak ni…” Dahlia pernah bersuara satu malam bersama senyuman nipis.
“Awak buat saya rasa macam pesakit.”
Nada itu berseloroh, tetapi matanya memerhati reaksi Kasyaf. Mencari sama ada lelaki itu sedar betapa perhatiannya kini terlalu berhati-hati.
Kasyaf tidak tersenyum. “Saya cuma buat apa yang patut.”
Nada itu tidak berlebihan. Tetapi tegas.
Sementara itu, Delisha mula berubah dengan cara yang terlalu kecil untuk digelar sakit. Dia masih ketawa. Masih bercerita tentang sekolah. Masih berlari tetapi tidak sejauh dulu.
Dia masih menjadi Delisha tetapi seolah-olah dengan bateri yang semakin cepat habis.
Kadang-kadang, dia duduk sendiri di sofa selepas pulang dari sekolah, memeluk bantal sambil menonton televisyen tanpa benar-benar menonton.
Matanya tertancap ke skrin, tetapi fikirannya entah di mana. Seolah-olah tubuh kecil itu sedang belajar bagaimana untuk diam.
“Mummy, Isha nak baring kejap,” katanya suatu petang.
“Penat?” tanya Dahlia.
Delisha mengangguk. “Penat sikit je.”
Dahlia menyentuh dahi anaknya. Normal. Nafasnya, normal. Wajahnya sedikit pucat, tetapi Dahlia menolak rasa tidak sedap itu. Mungkin penat sekolah. Mungkin cuaca.
Mungkin.
Perkataan itu diulang dalam hati Dahlia lebih lama daripada sepatutnya.
MALAM itu, Delisha tertidur lebih awal daripada biasa. Kasyaf berdiri lama di sisi katil anaknya. Tangannya menyelak rambut Delisha perlahan. Nafas kecil itu masih teratur. Terlalu teratur. Namun, Kasyaf tidak bergerak.
Seolah-olah jika dia bergerak, sesuatu akan berubah. Seolah-olah diam itu satu-satunya cara untuk memastikan dunia kekal seperti sediakala.
“Awak takut apa sebenarnya?” suara Dahlia datang dari belakang.
ANDA SEDANG MEMBACA
His Amore [COMPLETED]
Roman d'amour#2 𝓗𝓲𝓼 𝓢𝓮𝓻𝓲𝓮𝓼 𝙆𝙖𝙨𝙮𝙖𝙛 𝙀𝙫𝙧𝙚𝙣 | 𝘿𝙖𝙝𝙡𝙞𝙖 𝙀𝙡𝙫𝙞𝙣𝙖 Kasyaf's Obsession⚠️ Pertemuan pertama mereka bukanlah yang terbaik. Pertemuan pertama menjadi saksi kejadian yang menimpa mereka. Andai boleh, pertemuan itu ingin dihapuskan...
![His Amore [COMPLETED]](https://img.wattpad.com/cover/328588060-64-k42053.jpg)