Ada satu kejadian pelik berlaku semasa aku masih di sekolah rendah. Menurut beberapa orang, aku sebenarnya sudah mati lemas. Nadiku terhenti. Badanku pucat dan dingin. Ditemui hanyut di kuala sungai. Tersangkut pada akar pokok bakau. Namun apabila mayat aku pulang ke rumah, aku tersedar dan terbatuk memuntahkan kembali air sungai. Itu selepas satu jam mayat aku diletakkan di ruang tamu.
Cerita ajaib yang menjadi buah mulut masyarakat kampung. Bagaimana aku hidup semula. Pelbagai teori telah dicadangkan. Datukku yang juga seorang Tok Bilal tidak henti-henti mengucapkan syukur. Kenduri doa selamat dan kesyukuran diadakan seminggu kemudian.
Namun bukan itu yang aku hendak ceritakan. Selepas kejadian itu, aku mula melihat dia. Dia datang secara tiba-tiba apabila aku bermain berhampiran dengan kuala sungai di satu petang. Aku memandang dia. Dia memandang aku. Wajah kami serupa. Kembar. Aku terus teringat akan cerita atuk mengenai qarin. Si kembar kita sejak lahir. Yang akan muncul apabila kita telah meninggal dunia. Qarin semua orang adalah jahat. Yang menghasut kita kearah kejahatan dan kemurkaan Tuhan. Hanya qarin Nabi sahaja yang baik menurut atuk.
"Kenapa kau tidak melintas ke seberang hari itu?"
"Ada suara memanggil aku dan melarang aku untuk melintas. Jadi aku berpatah balik daripada cahaya terang itu."
"Kau tahu sekarang aku sudah terperangkap disini? Semuanya salah kau."
"Apa masalahnya kalau kau disini? Kita boleh hidup bersama."
"Kau tak faham. Aku sepatutnya hidup selepas kau mati. Bukan hidup semasa kau hidup!"
"Jadi kenapa kau tak mati pulak apabila aku hidup? Kenapa kau masih di sini?"
"Aku tak tahu yang itu. Aku tiada jawapannya. Yang pasti aku terperangkap disini."
"Kau tinggal je disini. Jom ikut aku pulang ke rumah. Kita boleh jadi kembar. Aku dari kecik lagi mahukan kembar."
"Kau tak faham. Kita tak boleh wujud bersama di ruang masa yang sama. Ini salah sama sekali."
"Habis tu kau nak aku mati. Lepas tu kau hidup?"
"Bukan macam itu kerana itu mustahil. Kau mati dan aku pon akan mati."
"Jadinya aku tak boleh mati? "
"Kau mati dan aku pon mati jugak!"
"Jadi kau kena jaga aku selamanya. "
"Mungkin! Aku tidak tahu. Aku buntu."
"Sudah. Jom balik ke rumah. Orang lain tak boleh nampak kau kan?"
"Ya. Hanya kau saja yang boleh nampak aku."
"Okay. Jom balik. Dah nak senja ni."
"Okay. "
Aku tersenyum. Dia tidak tahu bahawasanya kami telah bertukar. Aku adalah qarinnya. Dia sebenarnya sudah mati. Cuma rohnya terperangkap di sini.
YOU ARE READING
FABULA
PovídkyMungkin ada pengakhiran; atau hanya tergantung begitu sahaja dek kerana writer's block; mungkin sengaja dibiarkan untuk kamu menilaikannya. Selalunya memang begitu.