Padang jarak padang tekukur. Itu sahaja yang dapat aku gambarkan buat masa ini. Siapa sangka walaupun Semenanjung Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik namun semalam telah membuktikan bahawasanya amarah Sang Pencipta itu lebih kuat. Bertempiaran manusia lari. Ke sana sini mencari perlindungan. Menara jagung KLCC ranap menyembah bumi. Lesap, tenggelam di dalam tanah.
Kuala Lumpur yang telah dibuka pada tahun 1850an kini telah musnah sama sekali. Bangunan tinggi yang mencakar dada langit semuanya tenggelam. Layaknya seperti Sodom dan Gomorrah. Kota metropolitan penuh noda maksiat ini menerima pembalasan Tuhan atas segala kemungkaran yang telah berleluasa. Kota konkrit ini sudah lama bermandikan cahaya alpa, dipancutkan kemewahan dan mencetuskan orgasma bernama kekayaan duniawi. It's who's who and how much you worth over here.
Aku sendiri kecewa. Kita boleh mengurangkan impak gegaran ini. Cuma pihak kerajaan tidak menghiraukan amaran yang telah diberikan. Projek pembinaan Menara Cooler Lumpure tetap diteruskan walaupun cerucuknya telah merosakkan sistem gua semulajadi yang terletak jauh di dalam perut bumi Kuala Lumpur. Projek yang bakal memahatkan nama Malaysia dalam rekod dunia itu dilebihkan. Walaupun menggadai nyawa masyarakat.
Gempa bumi dengan magnitud 6.3 telah melanda pagi semalam. Lebih kuat daripada yang melanda Sabah dengan hanya 5.9 pada Skala Richter. Seakan-akan letupan berlaku di tapak kaki dipijak, perlahan dan kuat. Hingga sekarang masih ada gegaran susulan dalam skala 3 ke bawah masih terjadi. Bagaikan ada raksasa yang bergerak dibawah sana. Dia masih belum reda.
Perdana Menteri sendiri menolak untuk bertemu semula dengan Prof selepas Prof Zack telah memberikan amaran dan ramalan awal kepada beliau dalam pertemuan ketika merasmikan Pusat Seismik Negara di Bukit Kiara dua bulan yang lalu. Datuk Seri Noble berkata kajian EIA menyatakan projek itu selamat sama sekali. Seminggu kemudian Prof telah dipecat sebagai Pengarah Pusat Seismik Negara atas tuduhan salah laku.
Aku sendiri tidak percaya dengan permainan politik seperti ini. Ahli politik tidak faham dan mengerti sains yang berlaku disebalik gempa bumi. Anggap mereka, Malaysia selamat daripada segala bencana kerana terletak luar daripada Lingkaran Api Pasifik. Disebabkan itu mereka hanya memandang enteng akan perkara ini. Sehingga terlambat.
Beberapa maklumat kajian di Pusat Seismik seperti bukti sejarah dan kajian awal telah dirampas semasa Prof dipecat. Data tersebut dengan jelas telah menyatakan pergerakan abnormal plat tektonik di kawasan sekitar Kuala Lumpur semenjak 50 tahun yang lalu. Pergerakannya sedikit dan perlahan. Namun tetap ada pergerakan.
Berdasarkan data yang direkodkan di sensor Bukit Tinggi, Pahang membuktikan pergerakan plat tektonik dan garis plat ini telah menyebabkan runtuhan kecil di banjaran perbukitan di Cameron Highland. Runtuhan yang telah dicanangkan di media sebagai kesan gondolan hutan untuk aktiviti pertanian. Semuanya untuk mengaburi mata rakyat.
YOU ARE READING
FABULA
Short StoryMungkin ada pengakhiran; atau hanya tergantung begitu sahaja dek kerana writer's block; mungkin sengaja dibiarkan untuk kamu menilaikannya. Selalunya memang begitu.