BAB 1

1K 59 11
                                    


"On behalf on Malaysian Airlines, I-......" Pengumuman dari juruterbang itu tidak diendahkan. Tayar kapal terbang sudahpun mencecah bumi Malaysia. Penerbangan selama hampir satu hari itu sungguh memenatkannya walaupun dia hanya duduk sahaja di atas kerusi tanpa melakukan sebarang aktiviti.

Beg galasnya dicapai lalu terus meninggalkan anak kapal yang masih mengukir senyuman terpaksa menunggu pergerakan keluar penumpang-penumpangnya lembab untuk keluar dari kapal terbang. Usai menemui bagasi miliknya, dia terus keluar mencari teksi. Tangannya tidak putus-putus menyentuh skrin telefon pintarnya mendail nombor telefon kakaknya, Kak Ros. Panggilan tidak dijawab. Dia hampa, malas mahu memanggil semula. Dia yakin jika dia memanggil sebanyak 2.6 billion kali sekalipun pasti tidak akan terjawab jua. Daripada membazir kredit akibat caj mel suara, lebih baik dia menghentikan tindakannya.

Setelah dia melanjutkan pelajaran mengambil Master of Business Administration di Philadelphia selama hampir empat tahun dan bekerja di sana selama tiga tahun, tidak pernah sekalipun kakaknya menghubunginya. Pendek kata, hubungannya dengan kakaknya sudah lama terpisah.

Segala bagasi dan barangannya yang lain disumbat ke dalam but teksi. Seorang lelaki pertengahan usia mula memandu teksinya. Teksi itu hampir sahaja melanggar teksi lain di hadapan, nasib baik cepat tekan brek. "Orang tua ni kalau nak mati pun jangan angkut aku sekali."gumam Upin.

**

Teksi tersebut akhirnya melepasi papan tanda besar 'Selamat Datang ke Kampung Durian Runtuh'. Dilihat bendera parti politik lain terpacak di sepanjang jalan. Bendera parti politik yang sebelum ini sudah tidak nampak bayang. Siapa sangka hanya dalam beberapa tahun sahaja dia meninggalkan kampung, kampung ini sudah berada di bawah naungan parti politik lain. Upin tertanya-tanya adakah Tok Dalang selaku ketua kampung turut bertukar parti?

Upin mengarahkan pemandu teksi itu supaya berhenti di hadapan sebuah masjid yang dibelakangnya ada sebuah tanah perkuburan Islam. Usai menunaikan solat Asar, Upin membiarkan sahaja barangannya ke dalam masjid. Dia terus menuju ke kawasan perkuburan.

Pusara arwah ibu dan bapanya diziarahi terlebih dahulu. Dalam hatinya menyeranah adik-beradiknya yang lain kerana tidak pernah menziarahi pusara arwah ibu bapa mereka. Buktinya, semak-samun memenuhi sekitar kepok kedua-dua pusara itu seperti sudah lama terbiar. Yassin dan surah-surah lain disedekahkan kepada arwah ibu bapa mereka. Diharap supaya mereka mendapat ketenangan di sana.

Dia berjalan lebih hadapan sedikit untuk menziarahi pusara arwah opahnya pula. Ya, opahnya sudah lama meninggal dunia. Setahun sebelum dia ditawarkan biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat.

"Assalamualaikum opah. Upin ni. Cucu Ipah. Opah apa khabar sihat?" Upin tersenyum. Cuba menahan air matanya yang sedang bertakung. "Upin sihat je. Alhamdulillah. Sekarang ni Upin dah berjaya Opah. Upin dah mampu nak bawak Opah pergi haji. Kan Upin pernah janji nak bawak Opah pergi Mekah? Opah ingat tak?" Manik-manik jernih mula bercucuran. Opah lah yang menjaganya ketika dia masih bayi setelah arwah ibu dan bapanya kembali ke rahmatullah. Demi membalas jasa, dia berjanji untuk membawa opahnya ke tanah suci. Dia berasa ralat kerana tidak sempat menunaikan janjinya terhadap arwah Opah. Yassin dan surah-surah yang sama disedekahkan. Setelah membersihkan serba sedikit pusara opahnya itu, dia terus pulang ke rumah pusaka milik opahnya.

"Assalamualaikum opah. Upin pergi dulu ya."

**

Lalang sudah memenuhi segenap ruang di sekitar kawasan rumah. Nasib baik sebahagian tanah sudah ditar. Jika tidak, pasti akan turut sama dinaiki lalang. Rumah pusaka opah secara keseluruhannya sama seperti dulu. Tidak banyak berubah cuma yang berubahnya hanyalah dibahagian dapur yang telah dinaik taraf beberapa tahun sebelum pemergian opah.

Catnya sudah ditukar, namun menggunakan warna yang sama. Tidak nampak banyak perbezaan dari sudut pandangan luaran. Dia bercadang untuk membersihkan kawasan rumah pusaka ini. Memandangkan hari sudah senja, dia batalkan sahaja hasratnya. Penerbangan dari Amerika Syarikat ke Malaysia sungguh memenatkan baginya. Dia membuat keputusan untuk merehatkan sahaja dirinya di rumah itu.

Berada di dalam rumah itu membuatkannya terimbau memori silam. Memori di zaman kanak-kanaknya. Memori bersama opahnya. Memori sering dimarahi kakaknya. Memori bersama kembarnya, Ipin. Ipin. Sudah hampir sepuluh tahun tidak bersua, berhubung. Terputus hubungan begitu sahaja. Semasa Opah mengucapkan dua kalimah syahadah dia tiada berada di sisi. Berombak dadanya menahan amarah pada masa yang sama turut menyimpan rasa rindu terhadap satu-satunya adik kembarnya itu.

Upin tahu mengapa sebabnya Ipin tidak mahu menjenguk Opah semasa arwah Opah sedang nazak. Upin juga yakin Ipin penyebab Opah sakit. Beberapa tahun sebelum Opah diserang penyakit strok, Ipin telah kahwin lari di Siam. Opah ketika itu amat berduka, tidak sangka cucunya yang dicurahkan didikan agama sanggup melakukan perbuatan sebegitu. Jadi, sebab utama yang mendorong Ipin tidak menjenguk Opah adalah dia malu. Tetapi Upin, dia tidak dapat menerima alasan sebegitu.

UPINWhere stories live. Discover now