BAB 24

287 35 7
                                    

Ros menghirup nafas segar di halaman rumah ditemani dengan bunyi ayam berkokok yang menyerikan lagi suasana pagi di kampung. Jam menunjukkan 7.30 pagi. Dia kemudian masuk kembali ke dapur untuk menyediakan sarapan namun Dahlia telah pun mendahuluinya. Dahlia sedang mengacau satu teko air kopi jenama 434 yang dibeli oleh Upin semasa pergi ke pekan bersama Aslam kelmarin. Ros mengeluarkan barang-barang masakan yang akan digunakan untuk memasak sarapan pagi memandangkan ramai yang akan singgah untuk bersarapan di rumahnya. "Akak nak masak apa harini?" soal Dahlia.

"Nasi lemak. Sebab haritu Upin ada bagitau Uncle Muthu request nak makan nasi lemak yang akak masak ni. Sementara akak masih dekat kampung ni akak masakkanlah bagi dia makan dah lama sangat dia tak merasa masakan akak, nak dekat 10 tahun jugak dia tak merasa nasi lemak akak. Dulu masa zaman-zaman akak sekolah dulu akak selalu hantar nasi lemak dekat kedai dia. Tumpang jual." maklum Ros. Sempat dia bercerita serba-sedikit bagaimana dia mencari duit poket semasa dia dibangku sekolah dahulu.

"Lia dengan abang Ipin pun, sebelum kitorang jadi pemilik restoran tu, kitorang jual nasi lemak je depan rumah." kata Lia yang mengimbau kembali kenangan di awal perkahwinan mereka. Detik-detik di mana dia dan Ipin yang ketika itu baru memulakan proses pembinaan keluarga. "Lauk kami masa tu hari-hari makan nasi lemak. Tapi tulah abang Ipin hari-hari duk teringatkan nasi lemak yang akak masak."

Ros tersenyum. Dahlia menyambung tugasnya mengupas kulit bawang putih dan merah untuk digunakan ketika memasak nanti. Ros teringat kembali kejadian tujuh tahun yang lalu, ketika Ipin dan Dahlia baru bernikah secara senyap-senyap di Thailand. Ipin dan Dahlia ada kembali semula ke kampung ketika itu namun kepulangan mereka ke kampung tidak diketahui sesiapa kecuali Ros. Ipin ketika itu yang meminta bantuan kakaknya supaya memujuk Upin dan Opah supaya memaafkan mereka hanya pergi dengan perasaan hampa. Ros yakin Dahlia masih ingat akan kejadian itu. Dan Ros masih belum lagi memohon maaf kepada Dahlia dan Ipin berkenaan dengan kejadian itu. Kini dia menyesal, sekiranya dia tidak memberi ruang terhadap egonya ketika itu pasti semua ini tidak akan berlaku. Sudah pasti hubungan keluarganya tidak akan menjadi huru-hara seperti yang telah berlaku sebelum ini. "Lia."

Dahlia yang sedang mengupas kulit bawang merah terus memandang kakak iparnya. "Ya Kak Ros?"

"Akak dah lama sebenarnya nak cakap pasal ni. Akak nak mintak maaf dengan Lia, dengan Ipin." kata Ros. Matanya mula berkaca. Namun dia masih menahan sebak.

"Eh? Kenapa pulak Kak Ros? Mintak maaf sebab apa ni?" kata Dahlia sambil tersengih. Dia sedang terpinga-pinga kehairanan kerana kakak iparnya tiba-tiba sahaja meminta maaf.

"Dahlia ingat tak, beberapa minggu lepas Lia dengan Ipin kahwin dekat Siam, Lia dengan Ipin ada balik kampung jumpa dengan akak? Mintak tolong akak pujuk Opah dengan Upin? Masih ingat lagi?" soal Ros.

Dahlia terdiam seketika. Dia cuba mengimbau kembali satu persatu peristiwa silam di dalam kotak memorinya. Dia kemudian mengangguk setelah berjaya mengingati tentang insiden yang disebut Ros. "Ingat kak.."

"Masa tu korang merayu dekat akak, pujuk akak, mintak tolong akak, terdesak sangat masa tu. Tapi akak buat apa? Akak marah korang. Akak halau Lia, akak halau Ipin. Akak tak nak langsung dengar penjelasan korang. Akak langsung tak terdetik sikit pun dalam hati untuk cuba bantu Lia dan Ipin. Akak biarkan kemarahan dan ego menguasai diri akak sampai akak lupa ada lebih penting yang akan perlu utamakan. Silaturahim keluarga ni. Tapi masa tu akak gagal. Akak sepatutnya bantu korang berbaik semula dengan arwah Opah dan Upin. Tapi akak tak buat. Akak menyesal Dahlia. Akak menyesal. Selama ni akak fikir Dahlia dengan Ipin punca perpecahan keluarga ni, tapi hakikatnya keluarga ni jadi berpecah-belah disebabkan kekhilafan akak! Akak mintak maaf!" Ros terus menumpahkan air mata jernihnya.

Dahlia segera mendapatkan Ros. Dia mengusap-usap belakang Ros untuk menenangkannya. "Akak, kita semua buat silap kak. Akak buat silap, Lia dengan abang Ipin pun ada buat silap. Kita ni manusia kak, kadang-kadang kita tak sedar pun yang kita buat silap. Tak apalah kak, itu semua perkara yang lepas. Yang penting sekarangnya keluarga kita dah bersatu semula. Lia dengan Ipin pun tak pernah marahkan akak atau simpan dendam terhadap akak pasal perkara tu. Ini semua dah tertulis buat kita kak..."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 02, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

UPINWhere stories live. Discover now