Langit pagi yang cerah perlahan-lahan berubah menjadi mendung. Titisan air dari langit satu persatu menghentam bumi. Hujan mula turun dengan renyai. Upin menghidupkan wiper keretanya. Butang pendingin hawa kereta dipulas negatif satu menjadikan sekarang peringkat kesejukan pada tahap kedua yang pada asalnya tiga. Cuaca hujan diluar yang sejuk sedikit sebanyak mempengaruhi suhu di dalam kereta. Seperti yang dirancang, hari ini Upin dan Kak Ros membawa Ipin pulang ke kampung halaman mereka, Kampung Durian Runtuh. Ipin tidak keseorangan kerana dia ditemani oleh isteri dan anaknya. Upin mengerling ke arah cermin rear-view bagi mendapatkan pandangan di tempat duduk belakang. Ipin, Dahlia dan Aslam sedang lena tidur di tempat duduk penumpang belakang. Upin tersenyum melihat Aslam yang sedang lena tidur sambil baring di atas riba Ipin. Wajah Aslam saling tidak tumpah seperti Ipin, dan seperti wajahnya juga. Teringat kenangan mereka masa kecil-kecil dahulu.
Dia kemudian mengerling ke arah Ros yang sedang duduk termenung memandang ke arah tingkap yang dihentam lembut dek titisan hujan gerimis. Upin tahu apa yang ada di dalam fikiran kakaknya. Kakaknya yang merupakan seorang doktor lebih arif berkenaan penyakit yang dihidapi Ipin. Dan sudah pasti pengetahuannya itu sedikit sebanyak menzahirkan rasa kerisauan di dalam hati kerana tahu akan mudarat yang boleh dibawa oleh penyakit leukimia terhadap pesakitnya. Radio kereta mula kehilangan signal kerana mereka telah memasuki ke negeri yang menggunakan frekuensi yang berbeza. Upin segera menukar siaran radio secara rambang sebanyak beberapa kali. Lagu Pulang, nyanyian kumpulan Insomniacks berkumandang di corong radio. Upin kemudian menghentikan perbuatannya yang menukar radio bagi menghayati lagi yang sedang berkumandang,
Hariku...
Lebih indah...
Pabila... Kau ada.. Ku menunggu kau pulang..
Pulang sekarang
Ku rindu wajahmu..
senyuman manismu sayang...------
Tayar BMW milik Upin akhirnya berhenti berpusing di halaman rumah pusaka arwah Opah. Upin kemudian menyandar sebelum meregangkan tubuhnya. Ros yang terlelap menggosok-gosok matanya setelah tersedar kereta sudah pun berhenti bergerak, begitu juga dengan Ipin dan keluarganya. Pintu belakang dibuka. Ipin segera keluar dari perut kereta. Dia terus berjalan meninjau halaman rumah arwah Opah. Rumah di mana tempat mereka membesar. Rumah di mana tempat mereka berlindung. Ipin kemudian melangkah masuk lalu melabuhkan punggungnya di beranda. Di beranda inilah tempatnya selalu bersantai pada waktu petang. Selalunya mereka berempat akan duduk mengeteh di sini. Ada masa Tok Dalang akan sertai. Kadangkala, Opah akan mengajak rakan-rakannya sekali untuk minum petang disitu. Kotak memorinya terus memainkan kenangan di mana mereka baru sahaja bermain tembak-tembak lalu Opah memanggil mereka semua untuk makan ubi rebus yang dicicah bersama gula. Ipin terus menelan air liur. Rindu dengan air tangan Opah walaupun hanya sekadar ubi rebus.
Malangnya, semua itu hanya mampu diputar sebagai kenangan terindah. Opah sudah tiada lagi di muka bumi. Dan dia masih rasa ralat tidak dapat berada di sisi Opah pada penghujung usia arwah neneknya yang membesarkannya dengan segala kudrat yang tersisa. Semua ini tak akan berlaku jika ibu bapa Dahlia tidak memaksa Dahlia untuk berkahwin dengan seorang ustaz dari kampung sebelah sebagai isteri ketiga. Semua ini akan berakhir dengan aman sekiranya ibu bapa Dahlia memberikan restu kepada mereka untuk berkahwin. Namun apa yang berlaku adalah disebaliknya menyebabkan hidupnya sedikit kucar-kacir. Dahulu dia menyesal meninggalkan Opah dan adik-beradiknya semata-mata mahu mengahwini Dahlia. Kini, rasa menyesalnya kian pudar setelah kelahiran anak lelakinya Aslam yang telah mewarnai hidupnya. Ipin mula sedar tiada gunanya dia menunding jari ke arah orang lain kerana tiada gunanya dia melakukan sedemikian. Dia harus terima dan redha dengan qada dan qadar Allah yang telah tertulis untuk mereka semua.
"Jauh termenung." tegur Ros. Dia yang baru selesai meletakkan barang-barangnya di bilik kembali ke beranda hadapan menuju kearah adiknya. Ros kemudian duduk bersimpuh di sebelah Ipin.
Ipin yang tersentak dari lamunan terus melemparkan senyuman kelat. "Terimbau kenangan lama, kenangan masa kecik-kecik dulu." kata Ipin. Diam kemudian terdiam seketika. Imej Opah mula bermain di dalam fikirannya. Matanya mula berkaca. Ipin memalingkan wajah ke arah Ros. "Ipin rindu Opah..." Manik-manik jernih terus berjurai membasahi pipi Ipin. Ros turut tidak semena-mena mengalirkan air mata. Dia kemudian memeluk erat adiknya. "Kakak pun rindu Opah.. kita semua rindukan dia... Sabar ya Ipin..." Upin hanya berdiri di pintu utama rumah kayu itu. Dia yang mendengar perbualan di antara adik dan kakaknya turut berasa sebak.
-----
Ros memeriksa setiap rak dan kabinet di dapur yang berhabuk. Tiada satu pun bahan makanan yang boleh digunakan, semuanya sudah melepasi tarikh luput. Jam menunjukkan pukul 11 pagi, lagi beberapa jam sahaja waktu makan tengah hari nak masuk. Ros membuang semua bahan-bahan memasak yang telah tamat tempoh. Dia kemudian mendapatkan Upin untuk mengajaknya ke kedai runcit yang berada tidak jauh dari rumah mereka. "Akak nak masak apa harini?" soal Upin setelah diajak ke kedai runcit oleh kakaknya.
"Nasi lemak ayam goreng." balas Ros sambil tersenyum. Dia tahu makanan itu merupakan makanan kegemaran adik kembarnya terutama sekali Ipin yang memang gila dengan ayam goreng. Upin memaparkan reaksi gembira pada wajahnya.
"Nasi lemak ayam goreng?!!!" celah Ipin dari belakang. Dia benar-benar gembira dan teruja mendengar tentang menu makanan tengah hari Ros. "Ya Allah kak... Sedapnya.."
Sekali lagi Ros tersenyum dengan reaksi daripada adik kembarnya. Dia rindu dengan gelagat adik-adiknya. Dia bersyukur kerana Allah masih mengizinkannya untuk merasai semula bagaimana perasaan gembira dan bahagia bersama adik-adiknya. "Terima kasih ya Allah." ucap Ros di dalam hati.
Upin menghidupkan enjin keretanya. Dia kemudian menyelak-nyelak telefon pintarnya. Peti simpanan e-mel disemaknya terlebih dahulu untuk memastikan tiada e-mel penting yang dilepas pandang. Ros menjengah dari daun pintu bilik yang akan dijadikan tempat tidur Ipin dan keluarganya. Dahlia sedang sibuk mengeluarkan baju dari beg-beg bagasi untuk disusun ke dalam almari. "Dahlia, nak ikut akak dengan Upin pergi kedai?"
Dahlia menggeleng perlahan sambil tersenyum. "Tak apalah kak Ros, Lia jaga rumah jelah. Lagipun Aslam tengah tidur, abang Ipin pulak keadaan dia tengah tak berapa nak okay kan sekarang, risau pulak kalau tinggal diorang berdua je.." balas Dahlia.
"Betul jugak tu." Ros bersetuju. "Ni Dahlia ada nak kirim pape tak? Roti-roti ke? Biskut ke?"
"Tak apalah kak. Tak ada rasanya." balas Dahlia.
Ros mengangguk faham. Dia meminta diri sebelum meninggalkan rumah kayu itu lalu menuju masuk ke dalam perut kereta Upin. Kereta itu kemudian bergerak meninggalkan halaman rumah pusaka.
Beberapa meter dari rumah itu, seorang lelaki yang berada di kerusi pemandu sebuah kereta Proton Wira menghidupkan enjin keretanya setelah memastikan kereta BMW Upin telah hilang dari pandangan. Dia kemudian mencapai sebatang kayu hoki dari ruang belakang lalu diletakkan di ruang tempat duduk penumpang di sebelah bagi memudahkannya untuk menggunakannya bila perlu. Kereta lelaki itu dipandu masuk ke dalam kawasan rumah pusaka arwah Opah. Dia ada urusan yang perlu diselesaikan.
10 VOTES untuk chapter seterusnya. Terima kasih atas sokongan anda semua.

ANDA SEDANG MEMBACA
UPIN
Hayran KurguBerdasarkan animasi Upin & Ipin, sebuah fiksyen peminat (fan fiction) dipersembahkan mengisahkan perjalanan hidup Upin, Ipin dan sahabat-sahabatnya ketika di alam dewasa. Upin yang baru pulang dari Philadelphia cuba untuk menjejaki kakaknya, serta a...