BAB 23

180 21 0
                                    

Ros menggoreng tiga ekor ikan talapia yang ditangkap oleh adik-adiknya. Ikan talapia itu disaluti dengan Tepung Bestari berperisa pedas sebelum digoreng agar menjadikan ikan itu lebih rangup dan pedas. Upin dan Ipin yang duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen terus turun ke dapur disebabkan aroma ikan goreng yang telah menarik perhatian mereka. "Sedapnya bau~..." kata Upin dan Ipin serentak. Ros kemudian mengangkat ikan-ikan yang digoreng lalu ditapis minyaknya sebelum diletakkan ke atas pinggan. Dia kemudian menghidangkan ikan goreng talapia bersalut tepung pedas yang rangup ke atas meja makan. Ros memasukkan pula ikan tenggiri dan telurnya secara berasingan. Kali ini dia hanya menyalut ikan dan telur ikan yang diperap dengan kunyit dan garam. "Ni pun korang tangkap dekat sungai ke?" soal Ros mengenai ikan tenggiri yang sedang digorengnya.

Upin dan Ipin saling berpandangan. Upin kemudian mengiyakan. "Haah, tu pun tangkap kat sungai."

Usai menggoreng Ros kembali ke meja makan bersama sepinggan ikan tenggiri dan telur ikan itu. Dia melabuhkan punggunya lalu mencedok nasi panas dari bekas ke dalam pinggannya. "Akak tak tau pulak ikan tenggiri boleh dapat dekat sungai."

Upin dan Ipin tersentak. "Baru nak tunjuk hebat haih... Yelah ikan talapia je tangkap sungai. Ikan tenggiri tu tangkap kat kedai Wak Usop. Si Ipin ni ha katanya mengidam nak makan telur ikan," balas Upin sambil tersengih.

Ros hanya tersenyum mendengar jawapan adiknya. Mereka kemudian makan setelah Upin mengetuai bacaan doa makan. "Ikan talapia tu sedap kalau makan dengan sambal belacan. Bibik akak yang ajar cara makan camtu. Sedap."

"Ya Allah nikmatnya..." kata Ipin sejurus mengunyah telur ikan tenggiri. Gembira sungguh hatinya sempat juga dia merasai telur ikan yang dimasak kakaknya setelah sekian lama.

Ros tersenyum melihat telatah adiknya. Kotak fikirannya terimbas memori lama. Memori kali pertama Upin dan Ipin menerokai rasa sebenar telur ikan setelah mereka dipaksa olehnya untuk makan. "Dulu, korang punya ghairah nak makan telur ikan, sampai Opah punya pun korang sapu. Sampai merajuk dia."

"Kau lah ni Upin. Kalau kau tak gedik nak pergi kencing malam-malam, takdanya aku ikut kau sampai ke dapur." kata Ipin dengan nada bergurau lalu mengambil lagi satu gigitan telur ikan tenggiri itu.

"Eleh, kau yang ajak aku makan telur ikan Opah tu. Siap tolong patahkan dua lagi. Sekali Opah keluar bilik air. Dua-dua menggelabah." kata Upin. Mereka bertiga kemudian ketawa. "Tapi last-last Opah tak merajuk pun. Dia takda mood sebab sakit gigi rupanya."

"Padan muka korang kena game dengan Opah." Ros terkekek-kekek ketawa. Masih segar dalam ingatannya memori itu. Dia dan Opah telah merancang untuk memberi pengajaran terhadap adik-adiknya supaya tidak mengambil hak orang sesuka hati. 

"Hmm akaklah pi komplot dengan Opah." kata Upin lalu mendengus.

"Opah nak didik korang. Korang ni dulu masa kecik-kecik boleh tahan nakal. Kalau tak kerana Opah dulu dah lama akak kurung korang dalam reban ayam. Asyik nak pergi main je dulu. Susah betul nak lekat dekat rumah. Nasib baik Aslam tak ikut kenakalan Ipin." balas Ros.

"Memanglah tak nakal kak. Tak ada beregu. Cuba kalau dia ada kembar jugak. Hmm sama aje macam kitorang." kata Ipin. Mereka bertiga ketawa. Sudah lama tidak dapat berborak mesra seperti ini. Malam ini hanya mereka bertiga memandangkan Dahlia dan Aslam makan malam di rumah Mak Munah. Dapat juga mereka bertiga meluangkan masa bersama macam dulu-dulu. Usai makan malam, mereka menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Setelah itu, Upin dan Ipin duduk di beranda. Tidak lama kemudian, Ros datang dengan seteko air kopi O panas, sebalang biskut mayat dan kuih-muih yang dibuat oleh dia dan Dahlia pagi tadi. 

"Susah-susah je kak ni." kata Upin.

"Minumlah. Tuang air tu sendiri." kata Ros. Dia duduk di atas sebuah kerusi lalu menyemak telefonnya. "Eh ada 1 missed call from Ara."

UPINWhere stories live. Discover now