Anak Izrail: Episod 2 - Hilang

1.3K 99 14
                                    

"Abang tadi dekat sekolah pilih yang mana? Satu-B ke Dua-B?" Safwa bertanya membuka bicara di antara kedua-dua kami yang sedang duduk makan malam di meja makan. Sebutan Satu-B dan Dua-B Safwa menjadikan ianya lebih jelas difahami berbanding yang disebutkan oleh Razlan menggunakan Bahasa Inggeris.

"Eh...adik pilih apalah?" aku bertanya kembali kepada Safwa.

Ianya rupa-rupanya hanyalah pertandingan bola sepak antara dua pasukan dari Melilia ini. Jika di tempat lain, ianya tidaklah se-gah mana, tetapi oleh kerana pekan Melilia ini kecil, dan tidak ramai penduduk, makanya pertandingan bola sepak itu adalah antara peristiwa yang popular di sini, dan boleh dikatakan hampir semua penduduk Melilia akan menyaksikan perlawanan tersebut setiap tahun. Pertandingan itu akan diadakan dua bulan lagi. Aku bukanlah peminat bola sepak, tetapi aku mungkin akan turut serta menontonnya nanti, ingin tahu dengan budaya masyarakat di sini. Malah, bagaimana mereka boleh memilih nama tersebut? Ianya seperti nama kod atau label untuk buku-buku di perpustakaan. Pasti ada sebab yang jelas kenapa kedua-dua pasukan tersebut dinamakan sedemikian.

"1B, abang?"

"1B jugak, macam mana adik pilih?"

"Oh, diorang kata kalau minat warna biru pilih 1B, minat merah pilih 2B," terang Safwa.

"Senangnya! Abang diorang suruh main pilih ikut gerak hati. Diorang siap cakap 'to be or not to be' macam apa entah!" terangku.

Kami berdua hanya tergelak sahaja, sambil meneruskan makan malam dan berbual mengenai hari pertama kami di sekolah baru. Kami tinggalkan sedikit lauk dan nasi untuk ayah yang tidak pasti akan balik pada pukul berapa. Dua tiga hari di tempat baru ini, dia selalu balik lewat melepasi pukul 10 malam. Pada waktu itu Safwa sudah pun tidur dan aku biasanya masih menonton televisyen.

Selepas selesai makan malam, kami berdua mengemas, membasuh pinggan mangkuk dan juga mengelap meja. Safwa kemudiannya mengambil sisa ikan dan beberapa gumpal nasi juga terung dan kuah pajerinya untuk diletakkan di dalam mangkuk untuk diberikan kepada Sumi. Aku pula pergi ke ruang tamu membuka siaran televisyen.

Sebenarnya aku agak terkejut apabila melihat siaran televisyen di rumah kami begitu cantik dan lancar, untuk sebuah kawasan yang terpencil dan dikelilingi gunung-ganang. Kami tidak membeli siaran kabel berbayar, jadi kami hanya bergantung dengan aerial utama di atas bumbung rumah. Rumah sebelum ini, siarannya agak teruk, dan kami terpaksa memusing-musing antena di atas televisyen setiap kali kami menukar siaran. Di sini tidak.

Aku duduk terlentang di hadapan televisyen untuk beberapa minit lamanya sehinggalah aku sedari bahawa pintu masih terbuka dan Safwa masih berada di luar rumah. Aku bangun dan pergi menuju ke arah pintu, dan aku dapati Safwa berada di halaman rumah mencari-cari sesuatu sambil masih memegang mangkuk makanan Sumi.

"Kenapa?" aku bertanya kepada Safwa, meninggikan sedikit suara kerana jauh.

"Sumi! Sumi tak ada!" balas Safwa. Suaranya kedengaran resah.

Aku menghulurkan kaki memakai selipar dan pergi ke arah Safwa. Dia masih lagi mencari-cari di hujung hadapan rumah dalam keadaan gelap sambil memanggil-manggil Sumi. Tak pernah lagi keadaan sebegini terjadi. Sumi itu masih kecil dan tidak pandai untuk merayau-rayau sendiri, apatah lagi di tempat baru.

"Sejak bila dia tak ada ni?" aku bertanya kepada Safwa.

"Petang tadi ada, Safwa main dengan dia dekat luar ni," jawab Safwa, sedih.

Aku tak pasti, dan aku tidaklah arif mengenai hal-hal kucing. Mungkinkah Sumi hanya keluar bersiar-siar? Berdasarkan apa yang aku perhatikan sejak berada di sini, ada jugalah kucing liar walaupun tidak banyak di beberapa kawasan. Anjing hampir tiada–aku tidak pasti, tidak pernah nampak. Hendak dikatakan kalau ada yang mencuri Sumi adalah hampir tidak mungkin. Sumi hanyalah seekor kucing kampung yang biasa, tidaklah secantik dan secomel mana kalau hendak dicuri sekali pun.

Anak IzrailWhere stories live. Discover now