Anak Izrail: Episod 18 - Pendapat

233 20 5
                                    

Sambil menghela nafas yang panjang, aku menjatuhkan badan ke atas sofa. Perut terasa begitu berat dan tidak selesa. Mungkin makan terlalu banyak. Ayah terus masuk ke dalam biliknya manakala Safwa pula entah buat apa terus ke dapur.

"Hei, baru lepas balik makan dah ke dapur?"

"Orang haus lah, ish abang ni!" cebik Safwa. Aku gelakkan saja.

Aku mengambil alat kawalan jauh dan cuba mencari siaran tv yang menarik untuk ditonton tetapi kecewa. Semua yang di siaran adalah hambar. Tidak tahu mahu membuat apa, aku cuba mengisi kebosanan dengan bermain telefon, buka internet atau apa-apa.

"Mana telefon?" tiba-tiba baru aku teringat akan telefon pintar yang sudah beberapa hari aku biarkan di ruang tamu.

"Safwa, ada nampak telefon tak?" aku meninggikan suara sedikit, menanyakan Safwa dari jauh.

"Dalam bilik Safwa!" jawabnya acuh tak acuh.

Eh? Patutlah Safwa dua tiga hari ni asyik memerap dalam bilik. Main telefon rupa-rupanya.

Aku kemudian bangun dan berjalan menuju ke bilik Safwa untuk mengambil telefon itu, tetapi Safwa yang baru sahaja selesai meletakkan gelasnya di atas meja makan tanpa membuang masa terus berlari menuju ke biliknya. Oh? Tak mahu bagi ya? Nasib baik tangan dan kaki Safwa itu pendek. Aku yang berjalan pantas sedikit berjaya mencapai telefon yang terletak di atas katil biliknya.

"Ala..." kecewa Safwa apabila dia gagal untuk mendapatkan telefon itu sebelum aku.

"Haha! Ini bukan telefon Safwa seorang ya, ini telefon kita berdua. Bagi la abang main pula Safwa dah pakai lama dah."

Aku membelek-belek apa yang ada dalam telefon itu, tetapi tidak ada permainan pun dalamnya. Jadi, apa yang Safwa buat?

"Hm? Tak ada game apa-apa pun. Safwa main apa?" tanyaku.

"Mana ada Safwa main game. Safwa main mesej-mesej sajalah!" sambil tangannya cuba mencapai telefon yang berada dalam genggamanku.

"Mesej dengan siapa?" sedikit terkejut. Terus aku membuka aplikasi permesejan.

"Abang, dalam telefon tu ada dua nombor je...Nombor ayah dengan nombor Kak Lysa. Abang rasa?"

Oh!? Jadi dari sinilah Safwa rapat dengan Lysa?

"Eh abang ni! Apa baca mesej orang! Ini hal orang perempuanlah, abang tak payah sibuk!" cekap Safwa menyambar telefon dari tanganku tanpa sempat aku membaca apa-apa.

"Amboi...dah ada kawan baru...sampai hati Safwa buat abang macam ni..."

Safwa hanya tertawa kecil, sambil mendepani aku dan memegang telefon itu pada paras bahunya, tidak mahu aku melihat apa yang sedang dia lakukan pada telefon itu. Aku hanya boleh menggaru kepala, kagum dengan kemahiran Safwa menggunakan telefon pintar dengan sendiri tanpa bantuan dan pertolongan.

"Tada!! Dah padam! Nah!" Safwa menghulurkan telefon itu kepadaku sambil tergelak-gelak apabila berjaya menggagalkan aku dari membaca mesej-mesejnya.

"Okey...tak apa...tak apa...ada hari boleh balas..." aku layankan saja. Nasib baik juga aku lebih awal memadam setiap mesej antara aku dan Lysa terlebih dahulu dalam telefon itu setiap kali aku selesai menghubungi dia.

"Eh, tapi betul-betullah, Safwa. Macam mana kau boleh tiba-tiba main mesej dengan Lysa? Abang pelik ni," aku masih cuba untuk menggali maklumat.

"Hmm...hari tu ada mesej masuk. Kak Lysa taip beri salam je, jadi Safwa balaslah,"

"Dia...ada tanya nak cakap dengan abang ke...?"

Safwa menggelengkan kepala. "Tak ada. Tapi Safwa tahulah, Safwa mana ada nombor telefon kawan, Kak Lysa ni nombornya dari abang. Safwa pun beritahulah abang tengah mandi waktu tu, dan lepas tu entah macam mana terus kitorang bersembang macam-macam. Hahaha,"

"Oh...okey," risau juga kalau-kalau adik aku ini ada terjebak perkara pelik-pelik macam yang aku alami bila bersama dengan Lysa. Tapi rasa-rasanya tak adalah. Kalau ada tentu Safwa sudah beritahu aku. Lagipun Safwa tak pernah keluar rumah tanpa aku. Harapnya betullah, yang Safwa hanya sembang kosong dengan Lysa.

***************************

Jam menunjukkan pukul 10.25 minit malam. Aku dan ayah masih lagi duduk di hadapan televisyen menonton filem aksi Hollywood. Safwa pula sudah lama tidur di dalam biliknya, meninggalkan kami berdua di situ sejak dari pukul 9.45. Iklan sedang bersiaran, maka aku membelek-belek telefon yang dipegang, mengisi masa.

"Kau tak nak cakap apa-apa ke?" tiba-tiba ayah bersuara dan menjeling ke arahku, setelah hampir satu jam khusyuk dan diam menonton tv.

"Pasal apa?"

"Pasal apa lagi..." ayah tertawa kecil melihat aku berbalas soal.

"...ya, Lysa..." memang aku ada terfikir untuk bercakap tentang Lysa selepas makan bersama tengahari tadi. Tapi...

"Kau takut ke, kalau-kalau lepas ayah kenal dia tadi, persepsi ayah tentang dia dah tak sehaluan dengan kau?"

"Mungkin..?" aku tidak pasti.

Ayah mengambil gelas berisi air milo yang terletak di atas meja kopi dan meminumnya sebelum menyambung, "Ayah rasa dia okey je. Tak nampak macam budak jahat. Cuma, pemalulah. Dan pendiam. Ayah boleh faham bila kau kata dia tu macam...pelik dan suka bersendirian. Dan...ayah juga boleh rasa macam mana khabar angin boleh membunuh dia tu, atau lihat ajal itu, diterjemahkan dalam penampilan dia. Tak dinafikan...Lysa tu misteri, dan boleh juga ayah katakan seperti...sedikit psikopat?"

"Kawan-kawan di sekolah sudah mula beri amaran pada saya supaya jangan berjumpa dengan Lysa lagi," beritahuku.

"Oh? Sampai macam tu sekali?" ayah mengangkat sebelah kening.

Aku mengangguk.

Patutkah aku memberitahu tentang kejadian yang berlaku semasa ayah tiada di rumah tempoh hari? Tentang Badri, tentang penuduhan dia terhadap aku?

"Kalau ayah jadi saya, apa ayah akan buat? Berkawan dan berjumpa dengan Lysa lagi, atau tak?"

"Hah, kenapa nak ikut ayah pula?" gelak ayah, sambil kembali menonton tv, bercakap tanpa memandangku.

"Saja...nak dengar pendapat." aku mengangkat bahu.

"Heheh. Kalau ayah ada dekat tempat kau, ayah senang saja, ayah tak pedulikan semua. Biarlah budak-budak sekolah dengan amaran mereka. Lysa pula, pun ayah akan biarkan. Ayah rasa tak perlu ayah serabut dan peningkan kepala seorang diri dengan benda yang bukan betul-betul ada kena mengena dengan ayah.

Aku hanya menganggukkan kepala perlahan-lahan, sambil mata juga tetap memandang kaca tv. Tak boleh fokus dengan apa yang ditontonkan di televisyen.

"Cuma...itulah. Saya tak puas hati lagi. Saya sudah terjebak dengan masalah dan misteri Lysa, budak-budak sekolah juga dah tahu tentang saya dan Lysa. Saya nak cari jawapan, cuba memahami, cuba menyelesaikan, cuba menolong. Tapi...makin lama makin..." suara aku tersekat. Tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya.

Ayah menoleh ke arahku dan memandang mataku dengan serius. "Hidup kita ni, bukan macam dalam filem. Kita tak dapat penerangan dan pendedahan panjang lebar dari musuh kita, atau dari orang yang kita sayang, tentang apa yang sebenarnya yang telah terjadi sebelum ini. Dan walau kita berusaha mencari dan menyelesaikan misteri dan masalah yang pernah kita alami, tak semua dapat kita buat. Dalam filem, orang jahat pasti akhirnya akan tertangkap dan tewas. Semua salah faham dalam setiap watak dapat diselesaikan pada penghujung cerita. Malangnya realiti bukanlah semudah dan sebaik itu."

"Kau tahu, kalau mak engkau berada dalam keadaan kau? Dia dengan Lysa akan jadi kawan baik hari pertama mereka berjumpa. Dia...mak kau..." ayah menggerakkan tangannya berulang-ulang kali, cuba menyampaikan, tetapi seperti tersekat-sekat juga, apabila berceritakan tentang emak. "Emak kau hebat macam tu..."

"Tapi...iyalah, kau bukan mak kau. Kau pun bukan ayah. Dan kau tak perlu pun ikut jejak dan langkah kami. Kau ni Fawzan, bukannya budak jahat, bukannya budak bodoh. Jadi ayah tak rasa mana-mana keputusan yang kau buat akan jadi teruk. Tak pernah, tak pernah lagi selama 16 tahun kau hidup, ayah rasa dalam kehidupan kau, kau buat keputusan yang menyesalkan diri kau."

Ayah mengambil semula gelas air milonya dan menghirup kali ini sampai habis.

"Tak ada masalah lah untuk kau hadapi semua ini," kata-kata terakhir ayah untuk malam itu.

Anak IzrailWhere stories live. Discover now