Dalam perjalanan pulang dari sekolah, aku hanya mendiamkan diri memikirkan tentang Badri. Tidak tahu kenapa, setelah hilang rasa gementar dan gemuruh yang diakibatkan oleh dia semalam, terasa simpati pula, lebih-lebih lagi setelah berbual dengan Lysa di perpustakaan. Dia adalah mangsa yang dipergunakan. Mesti sukar bagi dia untuk berada terlantar di atas katil hospital, dengan kecederaan dan luka yang masih belum sembuh, ditambah pula dikatakan akan dibunuh. Mungkin sebab itu perangai dia ketika aku melawatnya semalam pelik sebegitu?
Patutkah aku pergi melawat dia semula?
"Kenapa ni, muram je?" tegur Safwa.
Aku mengangkat bahu. "Entahlah," jawapku ringkas.
"Tak habis pasal semalam lagi ke?"
Sekali lagi aku mengangkat bahu. "Entahlah."
"Amboi, macam masalah negara! Ayah pun tak serabut macam ni!" sambil Safwa memukul bahuku.
Aku ketawa kecil mendengarnya. "Ha'ah. Memang masalah negara ni," cuba untuk menghilangkan serabut kepala dengan sedikit seloroh.
"Apa dia masalahnya?" tanya Safwa, ingin tahu.
Tidak pernah lagi sepanjang hidup aku bersama dengan Safwa aku tidak menceritakan masalahku kepadanya. Dia adalah satu-satunya ahli keluarga yang paling rapat dan hampir sepanjang masa bersama. Sudah tentu, aku akan menceritakan perihal Badri semalam dan kebuntuan yang melanda sekarang, tapi mungkin dengan sedikit olahan supaya tidak terlalu jelas. Aku tidak mahu Safwa tahu siapa yang terlibat, terutamanya mengenai Lysa.
"Semalam, kawan abang minta tolong abang untuk pergi ke hospital, kan? Jadi abang pergilah. Sebenarnya sebab nak minta tolong tengok-tengokkan kawan dia yang sakit," terangku.
"Kenapa dia tak pergi tengok sendiri?"
"Dia...takut. Dia takut kalau dia pergi melawat kawan dia tu, kawan dia tu nanti tak suka dia datang, atau mungkin marah-marah. Sebab tu abang wakilkan."
"Habis tu, apa masalahnya? Semalam abang balik pun macam baru lepas tengok hantu."
"Itu...heheh..." macam mana aku nak terangkan ya.
"Budak yang terlantar dekat hospital tu, memang kasihan abang tengok. Sampai...jadi dah tak berapa betul...mental dia...sampai abang teringat-ingat sampai tak boleh tidur," aku menipu sedikit.
"Sampai macam tu sekali? Ish ish..." Safwa melahirkan rasa simpati.
"Jadi...abang tak pastilah sama ada nak pergi tengok dia sekali lagi hari ni atau tak."
Sekali lagi Safwa mengulang soalan, tidak faham. "Habis tu apa masalahnya?"
"Memang bukan masalah pun...cuma...entahlah..." aku memang tak perlu ceritakan perkara itu dengan lebih terperinci. Cukuplah Safwa mengetahui sampai situ. Kalau menipu panjang-panjang lagi senang pecahnya nanti.
"Pergi sajalah...mesti dia suka kalau orang datang melawat dia selalu. Lagipun, semalam abang datang sebagai wakil kawan dia, hari ni abang datang sebagai abanglah," Safwa memberi pendapatnya.
Aku mengangguk kecil. Ada benar cakapnya itu. Malahan, ada eloknya aku terangkan kejadian semalam kepada jururawat di situ. Takut pula aku difitnah yang bukan-bukan oleh Badri atau sesiapa.
Dan pada itu, akhirnya aku putuskan untuk datang kembali menziarahi Badri. Apa nak jadi, jadilah.
***************************
Seperti semalam, aku berjalan kaki bergerak menuju ke perhentian bas. Langkahku sederhana sambil hanya memandang ke bawah, cuba untuk mengelak sinaran matahari yang terik itu menerjah tepat ke mukaku. Menyesal pula tidak memakai topi walhal di rumah tadi seperti mahu diambil saja topi yang tergantung di dalam bilik itu.
YOU ARE READING
Anak Izrail
Mystery / ThrillerMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...