Anak Izrail: Episod 5 - Bertiga

1.2K 80 5
                                    

PIALA PERDANA MELILIA
PERLAWANAN TERULUNG ANTARA PASUKAN-PASUKAN BOLA SEPAK MELILIA!
SIAPAKAH BAKAL PEMENANGNYA? ADAKAH SANG BITARA? ADAKAH DAMAK BISA? ATAU PADA TAHUN INI, PASUKAN BARU?

Poster pertandingan bola sepak itu aku perhatikan dengan begitu minat, sehingga membuatkan langkahku untuk pergi ke kantin terhenti demi menatap poster yang ditampal di laluan koridor itu. Piala Perdana Melilia; pertandingan bola sepak terulung yang diadakan saban tahun di sini.

"Sang Bitara dan Damak Bisa? Macam mana nama yang hebat macam tu boleh jadi 1B dan 2B?" aku bertanyakan kepada Azmin, yang terpaksa berpatah balik ke belakang setelah melihat aku terhenti di hadapan poster itu. Persoalan yang keluar pada hari pertama aku masuk ke sekolah ini.

"Ah? Pertama kali dengar memang macam bodoh je kan? Ha ha. Ya, itu hanya singkatan. Kalau tak salah, semua orang sebut macam tu sebab dulu-dulu, papan markah di stadium hanya boleh tulis tiga abjad, makanya, Sang Bitara disingkatkan kepada SBI dan Damak Bisa disingkatkan kepada DBI. Sejak itu, orang ramai hanya memanggil mereka sebagai Satu-Bi dan Dua-Bi. Kelakar, kan?"

Kelakar, tetapi boleh diterima. Sedangkan Manchester United pun disingkat dan disebut sebagai M.U. (baca: emyu) dan Man U. (baca: menyu), inikan pula pasukan lain.

"Tapi...aku tak suka sebut macam tu, macam sebut nama kod apa entah," aku memberitahu.

"Itu, aku tak boleh tolong, benda tu dah disebut macam tu sejak sebelum kita lahir lagi,"

"Sejak sebelum kita lahir? Pasukan-pasukan tu dah lama ditubuhkan lah?" aku sedikit terkejut.

"Antara yang paling tua. Ada juga beberapa kumpulan yang lain tapi kebanyakkannya dah bubar dan sebagainya. Berdasarkan apa yang aku tahu, masa mula-mula pertandingan bola sepak ni diadakan, dalam 20 tahun lalu, 1B dan 2B ni hanyalah gabungan kumpulan anak-anak muda dan lelaki dewasa yang bekerja di sini. Sekarang, kedua-dua kumpulan itu menjadi salah satu platform remaja di sini untuk mendapatkan kerjaya dalam sukan bola sepak. Dah ramai yang berjaya menjadi ahli kelab ternama negeri dan juga mewakili negara. Kenal Ahmadi penyerang kebangsaan? Dia asal dari sini lah, main dengan 2B,"

Azmin terus menyambung ceritanya mengenai kedua-dua pasukan 1B dan 2B dalam perjalanan kami ke kantin. Dia bercerita bagaimana kedua-dua pasukan itu menjadi seteru setelah setiap tahun bertembung di perlawanan akhir, sehinggakan pihak penganjur terpaksa meletakkan kedua-dua kumpulan itu jauh di awal dan di hujung susunan kalah mati dengan harapan kedua-duanya akan bertemu dalam perlawanan akhir—seperti yang dikehendaki oleh penduduk-penduduk di sini. Dan, hampir setiap tahun; kecuali 4 kali, mereka berdua pasti akan bertembung dalam perlawanan akhir. Kedua-dua mereka mempunyai statistik kemenangan yang sama untuk tahun ini, 8 kali menang dan 8 kali kalah dalam 16 pertembungan.

Secara ringkasnya aku boleh katakan, 1B dan 2B ini seperti Real Madrid dan Barcelona. Hatta mereka yang tidak mengetahui tentang bola sepak pun; seperti makcik-makcik yang duduk di rumah, turut menyokong salah satu antara kedua-duanya. Seperti bukan penduduk Melilia jika tidak menyokong antara 1B atau 2B. Pasukan-pasukan lain pula, yang kebanyakannya sebagai wakil seperti pasukan sekolah menengah, pasukan bomba, pasukan polis, pasukan komuniti tetangga dan lain-lain, jarang sekali untuk berjaya menentang mereka. Azmin, yang juga merupakan pemain bola sepak yang mewakili sekolah menengah tidak pernah berjaya untuk sampai ke pusingan separuh akhir pun.

"Cakap pasal bola ni, baru aku teringat, kokurikulum kau masuk apa?" tanya Azmin sedang kami berdua beratur membeli makanan.

"Hari ni ke?" aku terkejut. Baru aku teringat setiap hari Khamis minggu pertama hingga minggu ketiga, selepas sesi persekolahan, adalah waktu kokurikulum. Setiap pelajar dikehendaki menyertai satu sukan, persatuan atau kelab, dan badan beruniform. Minggu pertama adalah untuk sukan, minggu kedua untuk kelab dan persatuan, dan minggu ketiga untuk badan beruniform. Minggu ini adalah minggu kedua, masa untuk kelab dan persatuan.

Anak IzrailWhere stories live. Discover now