"Merepeklah!" aku menjawab spontan. Shazana memandang aku kembali sambil mengangkat keningnya.
"Kenapa kau tak percaya?" tanya Shazana.
"Kenapa dia nak buat macam tu?" aku bertanya kembali.
"Itu...entahlah...tapi budak-budak lain cakap macam tu, aku ikut sajalah," Shazana mencebik, sedikit kecewa kerana aku tidak mempercayainya.
"Betul tu, Sha. Tak boleh tuduh semberono macam tu," Azmin menyampuk menyebelahi aku.
"Ya lah, ya lah. Aku salah...aku minta maaf...main tuduh saja..." Shazana meminta maaf. Dia sedar dia tidak ada hujah yang kuat untuk membuktikan tuduhannya tadi melainkan ianya hanyalah dengar-dengar sahaja.
Aku tidak bercadang untuk memberitahu mereka bahawa bangkai kucing tidak berkepala itu adalah Sumi, kerana ianya akan menambah menjadi cerita yang bukan-bukan sahaja nanti kalau tersebar ke telinga budak-budak yang lain.
Masa terluang semasa ketiadaan guru aku gunakan dengan sebaik-baiknya membuat kerja sekolah. Tidaklah rajin, tetapi motivasi tunggal untuk menyiapkan kerja sekolah dengan cepat adalah supaya aku boleh menonton televisyen dengan tenang tanpa memikirkan apa-apa pada waktu malam. Aku membelek buku-buku di dalam beg untuk menyemak kerja rumah yang boleh aku buat pada waktu itu. Entah bagaimana, aku teringat akan perjumpaan Kelab Pencinta Alam minggu lepas, dan baru aku tersedar bahawa aku belum buat apa-apa mengenai projek kelab itu. Malah, aku tidak tahu bagaimana untuk mulakannnya pun.
Alasan yang baik untuk berjumpa dengan Lysa.
***********************************************************************
Waktu rehat aku gunakan untuk pergi ke perpustakaan. Aku tahu Lysa berada di situ. Perpustakaan sekolah terasa cukup sunyi. Hanya bunyi kipas berputar memecah hening ruang. Ada beberapa orang pelajar dan pustakawan di dalam, tetapi masing-masing sibuk melayan hal mereka sendiri. Di satu sudut, Lysa sedang asyik menatap buku yang diletakkan dihadapannya. Perlahan-lahan aku menghampiri—menuju ke hadapan Lysa. Menyedari akan kedatanganku, dia memandang sambil mengerut dahi, mempersoalkan kewujudanku di situ. Tanpa membuang masa, aku memberi salam—yang dijawabnya dengan perlahan.
"Aku nak minta tolong. Aku tak tahu apa-apa langsung untuk mengendali program kelab kita tu nanti,"
"Oh..." Lysa menjawab bersahaja. Kemudian dia menyambung, "Apa dia?"
Aku meminta izin Lysa untuk duduk di hadapannya, dan dia mengangguk boleh. Buku nota kecil aku keluarkan bersama dengan pen, bersedia untuk mencatat segala yang akan keluar dari mulut Lysa nanti. Lysa kagum melihat aku yang bersungguh-sungguh itu, kemudian dengan tenang dia memberitahu, "Semua salinan dan contoh surat untuk tajaan barang, surat minta peruntukan dari sekolah, memo perjumpaan, minit mesyuarat, semuanya ada dengan Amina, dan dia yang akan tulis dan keluarkan surat-surat tu. Tugas kau, hantar surat-surat tu kepada orang-orang yang sepatutnya, aku tak ingat siapa, tapi adalah dalam surat-surat tu nanti,"
Tak ada satu perkataan pun yang aku catat dalam buku notaku. "Itu saja?"
Lysa mengangkat bahu, "Tunggu sajalah penganjur nak suruh apa-apa, atau perjumpaan bila-bila, sebab benda ni tiap-tiap tahun ada, jadi tak ada banyak masalah pun. Mereka semua dah biasa,"
Aku menarik nafas lega. Tidaklah sesusah yang aku sangka. Aku menutup semula buku notaku dan menyempilkan pen di tepinya. Aku cuba untuk bangun dari kerusi dan beredar tetapi aku ingin sangat bertanyakan Lysa akan apa yang diceritakan oleh Shazana dan Azmin pagi tadi.
"Aku ada dengar...budak-budak kelas aku kata..."
"Maaf, aku nak pergi tandas, kita bincang lain kali," Lysa menutup buku yang dibacanya dan terus bangun tanpa aku sempat menghabiskan kata-kata. Tak pasti sama ada dia sengaja mahu mengelak pertanyaan aku atau tidak, aku membiarkan sahaja dia pergi. Tak apalah, bukannya tak boleh jumpa dia dan tanya dia lain kali.
YOU ARE READING
Anak Izrail
Mistero / ThrillerMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...