Anak Izrail: Episod 3 - Pancung

1.2K 93 3
                                    

Aku memegang bahu Safwa. Cuba menenangkannya. Safwa tidak kelihatan terkejut atau pun menangis; hanya diam terpaku. Kami berdua tercegat di situ untuk seketika sehinggalah aku membuka kata, "Adik, sabarlah. Ini semua ketentuan Tuhan. Sumi ni, sama macam kita, makhluk Dia. Ada sebab Dia ambil Sumi daripada kita... Kita...kita pergi sekolah dulu, nanti kita lewat. Balik sekolah nanti kita ambil dan tanam, ya?" Safwa masih lagi diam, tidak menjawab. Aku sedikit bingung menenangkan Safwa, dan juga untuk menjelaskan kepada diri aku sendiri bagaimana Sumi boleh jadi begitu.

Aku memandang sekeliling mencari alas untuk menutup bangkai Sumi. Tiada kain atau kertas, hanyalah daun-daun mati yang basah. Aku kumpulkan daun-daun itu dan timbunkannya ke atas bangkai Sumi sehinggalah tertutup sepenuhnya. Hujan yang masih turun dengan lebat itu membuatkan aku basah.

"Dah siap. Balik nanti kita datang balik, okey?"

Lalu kami berdua pun pergi meninggalkan Sumi. Hujan yang lebat itu semakin lama semakin menenggelamkan jalan yang berada di belakang. Kami mempercepatkan jalan, khuatir jika kami akan ditenggelami banjir juga.

"Kau pergi sekolah awal ke?" tanya Azmin, rakan sekelas yang baru sampai. Aku berseorangan di dalam kelas selama hampir satu jam. Tepat pada jam 7.30 pagi aku sampai dan pada masa itu tiada seorang pun di dalam kelas lagi, sehinggalah Azmin yang baru datang ini, itu pun pada pukul 8.20 pagi.

"Kalau hujan lebat kita biasanya datang lambat—atau tak datang langsung! Hahaha!!" dia ketawa. Azmin memberitahu bahawa kadangkala, jalan utama menuju ke sekolah senang untuk dilanda banjir kilat. Oleh sebab itu, rata-rata pelajar bahkan guru-guru dan kakitangan sekolah akan datang lambat, biasanya selepas hujan berhenti, takut-takut kalau banjir dan hujan berterusan, tidak dapat pulang ke rumah. Pernah saja terjadi begitu walaupun tidak selalu, katanya. Lebih malang lagi, kalau hujan lebat semasa waktu sekolah, bila petang tak dapat balik, kena tunggu banjir surut untuk beberapa jam.

Nasib baik, hujan yang lebat itu turun hanya pada awal pagi. Setelah cuaca kembali tenang, ramai pelajar yang mula datang ke sekolah. Cikgu Rina, yang sepatutnya memulakan kelas pada waktu pertama juga baru sampai ke kelas. Namun dia tidak terus mengajar, malah menunggu untuk beberapa orang pelajar lagi yang belum sampai.

Semuanya berjalan seperti biasa pada pagi itu. Kesan basah dan lopak-lopak lecak yang terbentuk mula pergi meninggalkan semua. Sebaik sahaja loceng terakhir persekolahan berbunyi, terikan mentari yang kuat pula menjadi topik bualan dan rungutan para pelajar.

Aku menunggu adikku di hadapan pintu utama sekolahnya seperti semalam. Kali ini, aku berdiri sambil memandang ke bahagian dalam sekolah, ingin melihat Safwa dari jauh.

Setelah menjumpai Sumi pagi tadi, Safwa langsung diam membisu hinggalah aku membawanya masuk ke dalam sekolah. Aku cuba bercakap-cakap dengan dia namun tak diendahkannya. Paling-paling hanya mengangguk, menggeleng, atau mengangkat bahu.

Kelibat Safwa dari jauh dapat aku perhatikan. Dia sedang berjalan seorang diri sambil melihat ke bawah. Wajah Safwa masih lagi kelihatan muram dan sedih. Langkahnya juga kelihatan tidak begitu bermaya.

Aku memanggil Safwa dari luar. Dia dengar dan memandangku, dan tanpa sebarang kata-kata dia meneruskan langkah pulang ke rumah. Aku hanya mengikutinya di belakang. Kami berdua berjalan sehinggalah sampai ke tempat bangkai Sumi pagi tadi.

Akibat hujan lebat yang turun, daun-daun yang menutupi bangkai Sumi bersepah dan berderai, melihatkan keadaannya yang mengerikan itu kepada khalayak ramai. Semua yang melalui jalan ini pasti sudah ternampak akan Sumi. Beberapa pelajar yang berjalan di hadapan kami tadi menunding ke arah bangkai Sumi dan melahirkan rasa jijik dan mual mereka melihatnya.

Anak IzrailWhere stories live. Discover now