Anak Izrail: Episod 4 - Jiran

1.1K 84 7
                                    

Kipas siling itu aku pandang untuk seberapa lamanya. Ianya laju, tetapi tidak cukup untuk menghilangkan peluh di badan dan panas di bilik. Aku telah pun melajukan kipas itu pada kelajuan tertinggi sebelum tidur tadi. Aku bangun, mengeluh. Entah kenapa, malam ini terasa begitu panas sekali. Tidak pernah malam-malam yang lalu aku dibangunkan kerana bahang sebegini.

Jam tangan yang terletak di tepi katil itu aku ambil; jarumnya menunjukkan jam 12.30 pagi. Tekak terasa kering. Aku bangun dari katil dan menuju ke dapur, mengidam segelas air.

Malam yang gelap itu hanya disinari oleh satu cahaya lampu di meja makan. Satu lembaga aku lihat dari jauh sedang duduk di meja makan, menyantap makanan yang aku tinggalkan di bawah tudung saji. Ianya adalah ayah. Nampaknya hari ini dia balik jauh lebih lewat daripada kebiasaannya.

"Tak tidur lagi?" ayah menegurku yang sedang berjalan menuju ke arah peti sejuk.

"Terbangun. Panas," aku menjawab, sambil membuka pintu peti ais dan mengeluarkan sebotol air sejuk.

"Oh?" ayah memandang sekeliling dan ke atas, cuba untuk menyedari kepanasan malam.

Aku mengambil gelas dari atas kabinet dapur dan menuang air botol ke dalamnya sehingga penuh. Aku teguk berkali-kali sehingga habis. Masih tidak puas, aku menuang lagi segelas untuk menghilangkan dahaga.

Sementara ayah pula, aku perhatikan, meneruskan makannya. Ayam masak kicap yang aku masak petang tadi digigit dan dicarik menggunakan giginya dengan gelojoh sekali. Tidak cukup, disuap pula dengan nasi ke dalam mulut sebelum habis mengunyah ayam tadi. Tangan ayah tidak berhenti dari bergerak menyumbat makanan ke dalam mulutnya.

"Sedap," ayah memberitahu.

Aku tersenyum kecil mendengarnya.

"Kau ada bakat memasak macam mak kau. Ayah tak pernah lupa masakan mak kau, dan ayam yang kau masak ni, memang serupa," ayah menambah.

"Yalah, mak yang ajar, kan?" Sejak kecil, aku memang sentiasa bersama dengan mak. Ke mana-mana dia pergi, aku pasti mengekorinya. Ke dapur untuk memasak, ke ruang tamu untuk mengemas, ke luar untuk membeli-belah, semuanya ditunjuk ajar oleh mak. Kalau tidak kerana mak, tak mungkin aku boleh buat semua; memasak, mengemas rumah, dan menjaga adik.

"Kucing Safwa mana? Ayah tak nampak pun kucing tu dalam sangkar dekat luar tu seminggu dua ni. Safwa bawa dia masuk dalam bilik ke?" ayah menukar topik, menyedari Sumi tidak ada beberapa hari kebelakangan.

"Ah...pasal itu..." aku kemudiannya menceritakan segalanya yang terjadi kepada ayah, bermula dari kehilangan Sumi, sehinggalah kepada kematiannya yang tidak berkepala, dan juga dengan laporan polis yang aku buat beberapa hari lepas. Ayah terhenti daripada makan. Dia memandang tepat ke dalam mataku sambil mendengar dengan penuh perhatian. Setelah habis aku menerangkan, dia merenung jauh ke arah makanan di hadapannya. Terkejut mendengar berita tersebut.

"Siapa yang sanggup buat macam tu?" ayah menyatakan kehairanannya.

"Entah. Polis pun tak beritahu apa-apa maklumat baru pasal tu,"

"Heh!" ayah merengus. "Kalau tak ada kes yang sama macam apa yang terjadi pada Sumi, ayah tak rasa polis akan siasat. Tak ada saksi, tak ada bukti. Lagi pun, kes pasal kucing–polis tak pandang," terang ayah lagi. Aku hanya mengangguk, ada benar dalam kata-kata ayah tadi.

"Safwa macam mana?"

"Mula-mula, dia agak terkejut jugalah dan sedih. Tapi dua tiga hari ni, dia semakin pulih seperti biasa," aku memberitahu.

"Perlu ke ayah berikan dia kucing yang baru?" tanya ayah.

"Entahlah. Tapi buat masa sekarang tak perlu kot, Safwa macam sudah boleh terima dan lupakan Sumi. Takut kalau kita beri kucing yang baru nanti dia teringat Sumi balik dan rasa sedih,"

Anak IzrailWhere stories live. Discover now