"Kenapa kau tak balas mesej aku semalam?" tanyaku kepada Lysa yang sedang duduk membaca buku di bawah pokok, tempat biasa dia melepakkan diri. Kali ini kelihatan dia sedang membaca buku teks Sejarah dengan membawa satu buku nota kecil di sebelah. Lysa tidak terkejut dengan kehadiranku. Seperti biasa dia hanya memandang dan mengambil sedikit masa untuk mengeluarkan suaranya itu.
"Maaf. Aku berubah fikiran semalam. Tak jadi," katanya, acuh tak acuh.
Seperti dalam jangkaan. Tetapi agak tidak sopan apabila dia membiarkan sahaja begitu tanpa memberitahu aku balik. "Kenapa tak beritahu aku balik? Kan dah menyusahkan aku? Buat aku tertunggu-tunggu!" aku menambah, geram.
Raut wajah Lysa mula berubah. Rasa bersalah. Sekali lagi dia meminta maaf, dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Kadangkala aku tidak pasti dengan tingkahlaku Lysa. Dia sama ada sedang serius dan muram, atau risau dan gelisah. Dan pada waktu itu, aku melihat kedua-duanya hanya dalam beberapa minit. Nampaknya dalam perwatakannya yang dingin itu, dia sebenarnya sangat lembut. Mudah sahaja mengalah apabila aku meninggikan sedikit suaraku tadi.
"Tak apalah. Aku maafkan. Tak adalah kisah sangat," aku menenangkannya. Lysa mengangguk perlahan, sambil cuba untuk membaca bukunya semula.
"Terima kasih," jawab Lysa perlahan, tidak memandang.
Angin bertiup nyaman untuk beberapa ketika. Rasanya sungguh segar sekali. Patutlah Lysa suka berada di situ. Suasananya tenang, dan pemandangan juga cantik. Suara guru-guru yang mengajar hanya sayup-sayup kedengaran, walaupun dekat. Kalau aku, aku juga suka untuk berada di situ.
Lysa sudah mula tidak mengendahkan aku yang masih berdiri di situ. Dia terus menyambung menatap membaca buku. Aku cuba untuk meneruskan bicara dengannya.
"Lysa, saja nak tanya, sebab aku ada terfikir. Em...kiranya...kau tahulah kan ajal aku bila? Aku mati bila?" tanyaku berseloroh, cuba untuk tidak bertanyakan soalan itu dengan serius.
Mendengar sahaja pertanyaan aku tersebut, Lysa kembali memandang ke arahku, dengan muka yang penuh dalam ketidakpercayaan. "Kenapa kau tanya begitu?" tanya Lysa kembali.
"Erm...entah? Sebab kau boleh lihat ajal orang lain? Rasa-rasanya kau boleh tahulah ajal aku bila, bukan?"
Lysa menggelengkan kepala. "Bukan macam tu,".
"Oh, jadi macam mana lah?" rupa-rupanya tidaklah semudah dan seringkas yang aku fikirkan.
Lysa akhirnya menutup bukunya dan memberi sepenuh perhatian dalam perbualan.
"Aku hanya boleh tahu seseorang itu akan mati bila aku memandang wajahnya. Bila wajahnya berubah, aku tahu, yang orang itu akan menemui ajalnya dalam lebih kurang sehari, 24 jam. Mungkin awal, mungkin lambat, tapi aku tak pernah lagi, nampak seseorang yang sudah berubah wajahnya—masih hidup selepas 2 hari," terang Lysa.
"Berubah wajah? Berubah macam mana?"
"Aku saja yang boleh nampak. Orang lain nampak macam biasa,"
"Tapi macam mana lah? Berubah macam mana?"
Lysa mengeluh. Dia selalu mengeluh apabila terpaksa menerangkan perkara yang panjang atau susah untuk diterangkan.
"Wajah mereka...akan berubah...menjadi ngeri," Lysa menerangkan dalam suara yang tersekat-sekat.
"Betulkah...? Dahsyatnya..." aku hanya mampu untuk menzahirkan kekagumanku dengan apa yang diperkatakan sambil cuba membayangkan bagaimana rupa yang hanya Lysa dapat melihat. Rasa-rasanya sukar untuk dia terangkan dengan lebih teliti bagaimana keadaan wajah yang dia lihat.
"Menakutkan?" aku bertanya lagi.
"Menyedihkan," Lysa menjawab. "Aku rasa sedih bila melihat mereka begitu daripada rasa takut, walaupun ya, agak menakutkan,"
"Oh..." balasku. Tidak tahu untuk berkata apa lagi.
Lysa hanya mengangguk membalas. Kemudian kami berdua terdiam seketika. Tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Janggal.
"Kau tahu..." Lysa cuba membuka bicara, tetapi terhenti.
"...Ya?" aku memberi respons.
"Aku sebenarnya nak minta tolong kau untuk pergi ke hospital semalam," akhirnya Lysa memberitahu tujuan sebenarnya semalam.
"Hospital? Hospital Widara?"
Lysa mengangguk. "Tapi aku batalkan niat aku sebab menyusahkan kau saja nak pergi ke sana, tak ada kenderaan, kena naik bas,".
"Petang ni boleh? Atau memang semalam saja?" aku bertanya, bercadang untuk menolong.
"Eh? Em..." terkejut Lysa dengan pelawaan aku. Dia berfikir sebentar sambil memandang ke tepi.
"Tak...tak apalah. Tak perlu rasanya. Bukan perkara penting pun...Terima kasihlah sebab nak tolong...tapi..."
Lysa masih lagi teragak-agak. Kata-katanya sekejap dikeluarkan sekejap ditelan balik. Aku sabar menanti dia membuat keputusan.
"Em...tapi kalau kau tak rasa keberatan..."
"Tak langsung. Petang ni aku tak ada apa-apa hal," pantas aku memberitahu.
"Baiklah. Petang nanti tolong pergi ke hospital. Ada benda yang aku perlukan pertolongan. Apa-apa nanti aku mesej," Lysa memberitahu. Mukanya kelihatan nekad setelah aku meyakinkan dia akan pertolongan aku.
"Okeylah Lysa. Aku kena balik kelas dulu. Sepatutnya aku keluar sekejap saja pergi ke tandas. Terlalu dan ternampak engkau pula dekat sini. Hehe," beritahuku setelah aku rasa terlalu lama aku keluar dari kelas. Sememangnya aku keluar untuk ke tandas tadi tapi hajat itu terus hilang apabila teringat dan ternampak akan Lysa yang sedang asyik duduk di bawah pohon yang redup dan sejuk itu.
Aku toleh ke belakang, berjalan menuju ke kelas.
Beberapa orang pelajar yang lalu-lalang di kawasan itu sedang memandangku sambil berbisik-bisik antara mereka. Pada mulanya aku tak terasa apa-apa tetapi semakin aku berjalan melalui kawasan mereka, semakin jauh mereka pergi dariku. Aku pandang ke tingkat atas blok juga, ada beberapa orang pelajar yang memandangku dengan pandangan yang sama.
Alamak.
Nampaknya aku sudah dipandang sebagai kawan Lysa. Takut dengan Lysa takutlah dengan aku.

ANDA SEDANG MEMBACA
Anak Izrail
Misterio / SuspensoMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...