Anak Izrail: Episod 22 - Pulang

92 12 1
                                    

Semasa aku mula-mula berpindah ke Melilia, aku hanya terbayangkan sebuah tempat yang aman damai, kecil, dan tenang. Duduk di dalam rumah tanpa sebarang gangguan daripada jurujual yang datang mengetuk pintu, tiada bunyi deruman kenderaan yang membingitkan telinga dari pagi hingga malam, juga tanpa sebarang bunyi radio atau televisyen yang kuat dari jiran sebelah menyebelah. Aku juga membayangkan suasana persekolahan yang baik. Guru-guru yang prihatin, pandai untuk menarik minat aku belajar dengan mereka, tidak terlalu rigid, dan rakan-rakan yang boleh boleh menjadi kawan baik. Terlintas juga, kalau ada teman wanita, apa salahnya. Heh.

Sudah tentu, ini semua hanyalah khayalan dan angan-angan sahaja.

Serpihan batu konkrit yang kini sedang perlahan-lahan jatuh membasahi bumi, menjadi saksi kepada malam yang pahit ini. Ketulan asap yang banyak sedikit demi sedikit melerai, menandakan habisnya proses runtuhan itu. Buat pertama kalinya aku rasa seperti kurang upaya, kerana tidak mampu untuk bangun. Kaki menggigil dengan begitu teruk sekali, dan seperti tanpa berpenghujung. Terlalu banyak yang berlegar di fikiran sehingga tidak tahu bagaimana untuk menghadam semua ini.

Tidak tahu berapa lama aku terpegun di situ, tetapi cukup lama sehinggalah bunyi siren bomba dan ambulans kedengaran, menandakan kedatangan para penyelamat itu. Sudah terlambat, kata hati aku. Sungguh pun begitu, para bomba yang datang lengkap dengan pelbagai peralatan tidak berputus asa dan lekas menggunakan segala yang ada untuk mencari jika ada yang masih hidup dan terselamat dari timbunan konkrit yang besar itu.

"Dik? Adik!? Adik okey tak?" sapa seorang ahli paramedik yang juga baru datang apabila melihat aku keseorangan di hadapan timbunan itu.

Lidahku kelu untuk mengeluarkan sebarang kata tetapi ahli paramedik itu tidak membuang masa menunggu aku menjawab, dia terus memikul dan memapahku sehingga sampai di belakang ambulans. Aku kemudian diletakkan di barisan kerusi dan ahli paramedik yang lain pula ditugaskan untuk memeriksa keadaan aku. Sambil bertanyakan soalan-soalan seperti nama dan tempat tinggal, ahli paramedik itu memeriksa mataku dengan menyuluh juga memeriksa badan dan anggota-anggota badan lain yang disyaksi cedera. Aku masih terpaku dan seperti sudah lali, beliau teruskan sahaja pemeriksaannya terhadapku.

"Okey, tak ada apa-apa. Adik sila tunggu di sebelah sana ya," pesan paramedik itu setelah selesai menguruskanku. Aku juga sudah semakin tenang. Aku mengangguk iya dan bergerak seperti yang diarahkan. Sempat juga beliau memberi aku sebotol air mineral.

Keadaan di perkarangan stadium sekarang adalah saling tak tumpah seperti apa yang pernah kita semua lihat di kaca televisyen di kala waktu bencana. Empat buah ambulans, tiga buah kereta polis, empat buah kereta bomba, dan beberapa buah jentera berat mengelilingi perkarangan stadium. Lampu limpah di pasang di setiap sudut selagi boleh, menerangi kawasan parkir dan kawasan lapang yang menghimpunkan ratusan orang yang terselamat. Walau pun ada didengari jeritan dan hilai tangis beberapa orang, tetapi kebanyakkan mereka yang terselamat berada dalam keadaan senyap dan suram, sedih dan hiba, takut dan tergamam.

Kelihatan beberapa orang polis sedang berbual dengan beberapa orang penonton yang terselamat. Mungkin mereka sedang menyoal siasat dan mencari punca keruntuhan.

Alamak! Kalau mereka tahu akulah yang menekan loceng penggera kebakaran, dan menjerit-jerit mengatakan ada kebakaran, tentu mereka akan cari aku. Lebih lagi, apabila mereka tahu nanti bahawa tiada kebakaran pun!

Perlahan-lahan, dan senyap-senyap, aku cuba melarikan diri dari kawasan perhimpunan itu. Kalau disiasat, aku tak tahu bagaimana untuk memberitahu mereka, tentang Lysa, dan penipuan kebakaran, serta runtuhan stadium. Setidak-tidaknya aku pasti bersalah kerana menipu, dan paling teruk menjadi pesalah kepada runtuhan stadium dan ragutan nyawa ratusan orang!

Aku harus pulang dengan segera, tetapi memandangkan keadaan kini, berjalan kaki berseorangan di tengah-tengah kemelut, juga dengan banyak kenderaan keluar masuk di sepanjang jalan, boleh menimbulkan syak wasangka.

"Fawzan!"

Satu suara tiba-tiba singgah di telinga. Terkejut aku dibuatnya. Sapaan dari tepi itu keluar dari sebuah kereta sedan berwarna kelabu yang bergerak perlahan menghampiriku di tepi.

"Cik Nafisa?" sedikit terkejut. Tidak menyangka keberadaan Cik Nafisa di situ.

"Jom. Masuklah," pelawanya sambil membuka pintu kereta di bahagian kiri yang sedikit sukar dicapai dan dibuka dari tempat duduk pemandunya.

"Terima kasih," aku tanpa berlengah duduk di sebelahnya. Sedikit lega dengan sejuknya penghawa dingin kereta.

"Mana...oh," aku menoleh dan melihat Lysa berada di belakang. Dia tidak memandangku kembali tetapi hanya menundukkan kepala tanpa sepatah kata.

Cik Nafisa menekan pedal enjin dan terus bergerak meninggalkan stadium itu. Aku melihat ke luar tingkap dan memandang stadium yang semakin lama semakin jauh dari penglihatan.

Ketiga-tiga kami hanya mendiamkan diri di sepanjang perjalanan. Masing-masing dengan fikiran masing-masing.

Tidak beberapa lama kemudian kami sampai di rumah. Aku turun dan mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua. Cik Nafisa hanya mengangguk-angguk sambil memandangku dengan perasaan yang sedih dan risau. Aku menoleh ke arah Lysa pula, dan dia juga hanya menunduk kecil kepadaku tanpa sebarang perasaan.

Dengan lemah-longlai aku menuju ke depan pintu, yang kemudian dibuka dan disambut oleh Safwa, yang masih tidak mengetahui tentang apa yang telah berlaku. Ayah pula masih belum pulang. Jam menunjukkan pukul 11.23 minit malam. Aku merebahkan badan ke atas sofa, sambil mataku menatap siling rumah yang buruk dan berhabuk.

Aku hanya mampu berharap aku boleh tidur dan melupakan semua ini apabila bangun nanti. Jauh dalam hati, betapa berharapnya aku akan angan-angan dahulu menjadi kenyataan. Juga betapa benci dan dukanya aku mengenang segala yang menimpa diri ini sejak berada di sini.

Azab apakah ini?

Dan mengapa mesti aku?

Ia merupakan malam yang begitu panjang. Mengenang dan mengimbas segala dari awal hingga akhir, tetapi tanpa sebarang petunjuk mahu pun jawapan, hanya membuatkan aku menjadi lebih hiba. Aku rasa aku sudah cukup kuat sebelum malam ini, tetapi hakikatnya tidak. Berapa banyak lagikah perkara buruk yang akan berlaku terhadap aku? Adakah ini sumpahan Lysa? Betulkah segala yang aku buat sebelum ini?

Fikiran yang berkecamuk ini hanya menambah air mata untuk bergelinang, dan menekan-nekan jiwa dan raga yang luruh.

Anak IzrailWhere stories live. Discover now