Menjejakkan kaki ke luar bas, aku mendongak memandang bangunan hospital itu. Tidak tahu apa yang aku harapkan apabila masuk ke dalam nanti. Hanya berdoa agar segalanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah seperti semalam.
Aku memandang ke sebelah, ingatkan Lysa berada di sisi, tetapi tidak. Dia ke belakang dan duduk di perhentian bas di hadapan hospital. Pelik, tetapi aku ikutkan saja dia ke situ.
"Kenapa?" tanyaku kepada Lysa.
"Tak...tak ada apa-apa. Aku cuma...bagi aku sedikit masa sebelum masuk ke dalam hospital," jawab Lysa.
"Oh...okey," balasku tanpa banyak soal.
"Kau tahu...aku sebenarnya tak suka pergi ke hospital. Aku tak suka...kalau aku ternampak sesiapa dekat sini, dan aku akan tahu dia akan mati tak lama lagi. Ia buat aku sedih."
Lysa tiba-tiba bercerita, tanpa menoleh memandangku. Dia hanya memerhatikan pintu utama hospital yang dipenuhi dengan orang ramai keluar masuk dari jauh. Mukanya kelihatan sedikit sedih. Aku memang tak tahu untuk memberi respon apa kepadanya.
Lysa menambah, "Aku boleh lihat ajal orang sejak dari kecil lagi, tapi masih, aku tak boleh biasakan diri melihat keadaan mereka. Setiap kali aku ternampak, setiap kali itulah aku berasa sedih dan takut..."
"Apa yang lagi menyedihkan, apabila bukan pesakit dalam hospital tu yang aku lihat akan mati, tetapi kawan dan keluarga yang datang melawat mereka..."
"...dan mereka tak tahu pun..."
"Kau...tak boleh tolong mereka? Orang-orang yang kau lihat akan mati tu?" aku mencelah sedikit, dengan nada simpati.
Lysa menggelengkan kepala. "Tak ada apa yang aku boleh buat..." katanya.
Kemudian Lysa memandang aku dan menambah, "Percayalah, sebab aku pernah cuba."
"Kau tahu apa lagi teruk? Bila aku cuba selamatkan diorang, tetapi kemudian akulah punca kematian diorang."
Aku hanya diam mendengar luahan Lysa. Tak dapat aku bayangkan perasaan dia selama ini yang hanya mampu melihat tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.
"Ia adalah sumpahan, bukan kurniaan," simpul Lysa menyudahkan kata-kata.
Lysa kemudiannya menarik nafas dengan panjang, bangun dari duduknya, dan bersedia untuk pergi.
"Tapi walaubagaimana pun, bukannya tiap-tiap hari ada kematian di sini," Lysa cuba menyedapkan hatinya sendiri.
"Aku pergi jumpa Nek Ros dulu, kau pergilah ke Badri. Dalam 5 ke 10 minit nanti aku ke sana. Apa-apa hal mesej aku," cadang Lysa.
"Okey," aku bersetuju sahaja dengan mudah.
***********************
Berjalan keseorangan menuju ke Wad 3-C, sambil dalam hati tidak putus-putus berdoa. Beberapa titik peluh juga keluar dari atas kepala menunjukkan perasaan gementar. Tak apa...tak apa... Aku cuba menenangkan diri sendiri.
Seperti biasa pada waktu petang sebegini adalah waktu melawat, jadi masih ada beberapa orang luar yang lain yang turut menuju ke wad yang sama. Aku mengekori belakang mereka, cuba untuk tidak menonjolkan diri ini. Melangkah dengan senyap dan perlahan, sehinggalah aku menuju ke wad itu.
Aku memandang dari luar pintu yang terbuka, jauh ke hujung katil sebelah kanan.
Badri tiada di situ.
Aku terkejut. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan, kemudian mengetuk pintu tandas berhampiran, juga tiada.
Adakah Badri...betul-betul sudah meninggal?
YOU ARE READING
Anak Izrail
Misteri / ThrillerMelilia adalah sebuah pekan kecil yang aman. Jauh terpencil dari haruk-piruk bandar yang menyesakkan, penduduk Melilia begitu selesa dan bersyukur dengan kehidupan mereka. Walau pun begitu, Fawzan dan keluarganya yang baru berpindah ke situ mendapat...